Saturday, 7 December 2013

PRU 14 : ABAI 7 ANCAMAN MELAYU - ISLAM ATAU HADAPI 'TSUNAMI KRISTIAN'

The 7 threats against Muslims in Malaysia, according to Perkasa’s Zulkifli Noordin

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Zulkifli Noordin (gambar) mengatakan terdapat tujuh ancaman kepada Melayu-Islam dan jika tidak ditangani akan mampu menukar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU14) menjadi "Tsunami Kristian".

Zulkifli menggariskan tujuh ancaman kepada survival perjuangan Melayu-Islam di Malaysia iaitu parti Pakatan Rakyat (PR), Singapura, badan bukan kerajaan (NGO) liberal, gerakan Kristianisasi dan Melayu liberal.
“Kalau Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dilabel sebagai 'Tsunami Cina', saya tidak terkejut sekiranya PRU14 kelak akan menjadi 'Tsunami Kristianisasi',” katanya dalam akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini.
Selain itu katanya, DAP adalah ancaman utama bagi bangsa Melayu-Islam kerana sikap cauvinis, rasis, ekstremis dan anti Melayu-Islam begitu menebal dalam parti itu.
“Sikap perwakilan DAP menjerit ‘boo’ kepada Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi apabila dalam keadaan terpaksa meminta maaf atas keceluparan memanggil kakitangan Majlis Perbandaran
Pulau Pinang (MPPP) yang kebanyakannya berbangsa Melayu dengan gelaran 'kucing kurap' membuktikan betapa cauvinis dan rasisnya mereka ini.
“Meminta maaf kepada orang Melayu seperti sesuatu yang hina untuk dilakukan! Ingat semula kenyataan Ketua Publisiti DAP Tony Pua yang melabel pegawai dan kakitangan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebagai 'anjing Umno' cukup membuktikan sikap cauvinis, ekstremis dan pelampau perkauman mereka,” katanya.
Ancaman kedua yang disebutkan Zulkifli adalah PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menurutnya parti picisan yang ditubuhkan itu dikutip untuk survival politik bekas timbalan perdana menteri itu.
Katanya, nafsu besar pemimpin PKR untuk bertakhta di Putrajaya menyebabkan perpecahan bangsa Melayu-Islam dan parti itu katanya memberi talian hayat politik kepada DAP untuk menembus masuk ke kawasan yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.
“Inilah parti yang dipimpin oleh manusia dua kali diheret ke mahkamah atas pertuduhan moral melibatkan dua orang kakitangannya sendiri Azizan dan Saiful Bukhari.
“Masih ingat pembohongan Kampung Buah Pala? Masih ingat pembohongan jam Omega? Masih ingat pembohongan Lynas? Masih ingat pembohongan pengundi Bangladesh? Inilah parti yang dipimpin oleh pemimpin yang pembohongan dan putar belit menjadi alat perkakas mereka,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu menyifatkan ancaman ketiga adalah datangnya daripada PAS, sebuah parti yang menjadi tunggangan DAP dan Anwar.
Katanya, PAS adalah parti yang sanggup mendoakan kehancuran orang Melayu yang tidak sehaluan dan sealiran politik dengan mereka sehingga sanggup mendoakan supaya pemimpin Melayu pecah perut.
“Inilah parti yang bersekongkol dengan Anwar dan Penasihat DAP Lim Kit Siang untuk membenarkan Kristian mengguna pakai kalimah Allah.
“Inilah parti yang sanggup memecat tanpa memberi notis dan hak bela diri ke atas Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali, bekas pemimpin parti, Nasharuddin Mat Isa dan penceramah bebas Mohamed Kazim Elias yang ditawarkan tempat untuk menduduki Majlis Tertinggi Umno,” katanya.
Zulkifli menggariskan ancaman keempat kepada Melayu-Islam adalah Singapura kerana kenyataan bekas Perdana Menteri republik itu Lee Kuan Yew yang tidak menolak kemungkinan menyertai semula Malaysia setelah PR berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum 2008.
Katanya, jika PR menang kerusi Parlimen dan berjaya membentuk kerajaan, mereka boleh membawa usul ke Parlimen menurut Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan untuk menjemput Singapura menyertai Malaysia.
“Usul ini hanya memerlukan majoriti mudah 112 kerusi untuk diluluskan. Jika itu berlaku dan usul itu diterima oleh Parlimen Singapura, apakah akan terjadi? Parlimen Singapura dan Parlimen Malaysia akan bergabung.
“Dengan Parlimen Singapura mempunyai 89 kerusi, kita pun tahu siapa yang menguasai kerusi ini. Mereka akan dapat menguasai Parlimen Malaysia dengan majoriti besar malah kemungkinan dua pertiga,” katanya.
Beliau berkata ancaman kelima adalah NGO liberal apabila baru-baru ini dalam sidang Semakan Berkala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva. Mereka dengan kerjasama NGO asing mendesak badan antarabangsa itu supaya menekan Malaysia menerima beberapa tuntutan.
“Antara desakan mereka adalah membenarkan Kristian mengguna pakai kalimah Allah, membenarkan orang Islam murtad, menghalalkan amalan seks bebas, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) termasuk kahwin sesama jenis, membenarkan Syiah serta menghapuskan Artikel 153 Hak Keistimewaan Melayu.
“Kita tahu kebanyakan NGO ini pro pembangkang termasuk parti PR,” katanya.
Zulkifli turut menggariskan ancaman keenam adalah gerakan Kristianisasi dan cubaan mengheret isu kalimah Allah sehingga ke mahkamah adalah satu tindakan provokatif menghina umat Melayu-Islam.
“Kegagalan mereka di mahkamah tidak berhenti di situ. Mereka mengheret isu ini ke peringkat antarabangsa menggunakan platform PBB! Mereka juga menerima sokongan daripada segelintir bangsa Melayu yang sudah terlalu kemaruk untuk menduduki takhta Putrajaya," katanya.
Ancaman terakhir kepada Melayu-Islam yang digariskan Zulkifli adalah Neo-Melayu Liberal yang langsung tidak menghargai sejarah perjuangan Melayu-Islam di negara ini.
Katanya, Neo-Melayu liberal asas keagamaan, sifat patriotisme dan kenegaraan sangat cetek selain kesetiaan meragukan dan sikap terlalu mementingkan diri sendiri.
“Mereka ini terlalu mempertuhankan Barat, berselindung di sebalik sistem demokrasi, hak asasi tanpa batas dan kebebasan bersuara. Mereka merasakan bahawa agama Islam itu menyusahkan serta bangsa Melayu ini lekeh dan mundur.
“Kumpulan tersebut juga berasa fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah jumud dan mundur, sebab itu ada antara mereka mudah terpikat dengan ajaran Syiah yang lebih menyeronokkan,” katanya. – 7 Disember, 2013. SUMBER

No comments: