Pegawai polis cedera di siku kanan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki dalam Ops Cantas Khas Narkotik di Klang, semalam. - Foto: Ihsan facebook Polis
|
KLANG - Seorang inspektor polis cedera di lengan selepas terkena libasan parang ketika membuat serbuan Ops Cantas Khas Narkotik di sebuah rumah di Jalan Telok Gong, Kampung Nelayan, di sini, malam kelmarin.
Menurut sumber, pada awal ketika mangsa dan sepasukan anggotanya tiba di depan rumah terbabit kira-kira jam 11.50 malam seorang lelaki keluar, dalam keadaan mencurigakan.
Mangsa berusia 28 tahun terus keluar dari kenderaan untuk membuat pemeriksaan, sebelum dia tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki.
"Lelaki itu melibas objek dipercayai senjata tajam ke arah mangsa menyebabkan siku kanan mangsa cedera.
"Lelaki berusia 20-an itu kemudian melarikan diri dan belum dapat dikesan," katanya, semalam.
Menurutnya, mangsa cedera ringan dan menerima tujuh jahitan di siku kanan.
Sumber itu berkata, berikutan kejadian itu, polis menyerbu rumah tersebut dan menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.
"Satu paket dadah dipercayai heroin, ditemui dalam bilik rumah itu," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
No comments:
Post a Comment