Monday, 25 November 2013

( VIDEO ) - MUFTI KEDAH TUDUH USTAZ FATHUL BARI DAN DR. MAZA BUKAN AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH




Perbezaan fahaman dalam Ahli Sunnah Wal jamaah

Saya yakin satu Malaysia dah tahu pertentangan antara fahaman yang berbeza di antara kumpulan-kumpulan berbeza yang masing-masing mengakui adalah dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Masa belajar agama di sekolah menengah dahulu, mereka yang seangkatan dengan saya tentu masih ingat pertentangan antara Fahaman kaum Muda dan juga Fahaman Kaum Tua.

Sekarang apa yang dikatakan sebagai fahaman kaum muda itu lebih dikenali sebagai Wahabi. Perkataan Wahabi ini pada satu ketika dulu sebelum zaman internet belum semeriah sekarang, tak berapa kerat orang yang tahu. Hanya mereka yang mendalami ilmu agama di pondok-pondok sahaja yang tahu akan perkataan Wahabi dan duduk sebenar perkara itu kerana golongan Pondok di negara kita mengambil aliran pendekatan yang menolak fahaman Wahabi.
Mufti Kedah kritik Fathul Bari

Dunia internet membuka hijab kejahilan buat mereka yang rajin mencari

Bila dunia komunikasi internet dah menjadi begitu popular dan cukup meriah, maka terbukalah segala hijab pengetahuan yang dulunya orang jahil tak tahu. Perkataan kejahilan itu mungkin sudah tidak begitu relevan lagi buat mereka yang rajin mencari dan membaca segala maklumat dari dunia internet. Apa saja perkataan yang tak biasa di dengar sudah biasa dibaca sekarang, malah siap sekali dengan penerangan dengan berbagai versi yang berbeza.

Taip saja perkataan Wahabi di Google, lihat akan ada berjuta maklumat yang menceritakan pasal apa itu Wahabi. Taip saja perkataan Syiah, akan keluar maklumat berkenaan perkataan itu. Taip perkataan Tawassul, Tabarruk, Karamah, Takwil, Mutashabihat, Muhkamat dan apa saja yang anda jumpa terlintas depan mata, boleh didalami apa maknanya.

Jadi kalau nak kata jahil, memang tak patut sangat sebab pernah nampak dan pernah baca. Cumanya masalah pemahaman akan menjadi berbeza bergantung maklumat mana yang terlebih dahulu yang didapatinya lalu terus diyakininya. jika awalnya bertemu dengan yang salah, maka agak sukar sedikit untuk mengubahnya bila bertemu dengan pendapat yang kedua yang berbeza. Itulah masalah utama sekarang, bukan jahil, tapi masalah membuat pilihan.

Masalah fahaman Wahabi yang ditolak oleh Ulama Tradisional Ahli Sunnah Wal Jamaah

Dunia internet ini sebenarnya lebih berpihak pada kaum muda. Ya lah ! namapun kaum muda dan dunia internet ini pula adalah dunia kaum orang muda yang lebih arif dan mesra terhadap maklumat diinternet berbanding kaum tua atau orang tua-tua yang lulusan pondok.

Sebab itulah tidak hairan apabila pandangan ulama muda seperti Dr Asri, Fathul Bari dan lain-lain seumpamanya mendapat tempat lebih tinggi dan popular di kalangan orang muda yang banyak mencedok ilmu dari dunia internet. Segala pendapat kaum muda disebarkan dengan agresif sekali oleh pelopor mereka yang celik internet dengan menjadikan orang muda sebagai sasaran.

Apabila ulama tradisional menolak kaum muda orang muda terkezut!

Seperti yang saya sebutkan tadi, maklumat atau pengetahuan awal yang diyakini dan kemudiannya menjadi popular akan bertempat dalam kepala dan bila datangnya sanggahan pendapat kedua, membuatkan kita jadi terkezut!. Eh! apahal pulak mufti ni tolak Dr Asri, kenapa pulak Mufti ni tolak Fathul Bari...? timbul persoalan.

Nak ditolak bulat-bulat, yang berkata itu bukanlah calang-calang orangnya, seumpama apa yang diperkatakan olleh Mufti Kedah dalam video yang saya paparkan dalam posting ini. Maka menjadi kelirulah orang ramai yang tidak faham dan tidak cuba untuk memahaminya. Bukankah ulama muda itu begitu progresif dan logik segala pendapatnya? kenapa pulak dikatakan sesat?.

Jika sekadar masalah Fiqah, ok lagi. Tapi bukan masalah akidah

Jika ada yang kata tak perlu doa qunut waktu subuh mungkin tak apa kerana memang ada mazhab lain yang kata begitu. Itu masalah amalan dalam fiqah sahaja. kalau ada yang kata tak perlu basuh tengkok ketika berwuduk, juga masih ok. Namun begitu ada pendapat kaum muda yang terus menghukum penambahan sebegitu membuatkan pengamalnya masuk neraka, itulah yang membuatkan golongan fahaman tua marah dan tidak bersetuju.

Sebagai contohnya amalan solat sunat sebelum solat jumaat selepas azan pertama, amalan bacaan surah Yaasin di malam Jumaat, amalan talkin atas kubur selepas kebumikan jenazah dan amalan solat sunat tarawih lebih dari 8 rakaat di bulan ramadan dan sebagainya ditolak oleh golongan fahaman muda dengan menghukum sebagai sesat, itulah yang ditolak oleh fahaman tua.

Terlebih lagi bila masuk dalam bab mengatakan Allah itu ada tangan, Allah itu ada muka, Allah itu duduk di atas Arash dan seumpamanya dan ditambah pulak mengatakan takwil akan kesemua perkataan itu dari Al-Quran dikatakan sesat, ia memerlukan penelitian yang serius. Antara cedikiawan agama yang menggelarkan dirinya pejuang Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenar yang aktif berdakwah menentang golongan Wahabi di negara kita ini adalah seorang Ustaz yang dikenali sebagai Abu Syafik. Boleh lihat blognya dengan klik di sini

Itulah masalah yang menjadikan para ulama tradisional kita seperti Mufti Kedah ini terpaksa bersuara dan mempertahankan serta menjelaskannya pada orang ramai. Tak perlu saya jelaskan di sini kerana semua yang boleh baca blog ini pandai-pandai belaka dalam bab agama dan mampu mencari dan cuba memahaminya sendiri...tonton penerangan Mufti Kedah dan cari lagi maklumat jika berminat...dan sewajibnya mereka yang nak selamat perlu berminat. SUMBER




BERIKUT DIPAPARKAN PULA JAWAPAN DR. ASRI MENGENAI TUDUHAN MUFTI KEDAH TERSEBUT :


Ada pihak menunjukkan kepada saya satu rakaman fitnah yang sedang disebarkan, yang dibuat oleh Dato’ Badaruddin Mufti Negeri Kedah. Walaupun pada asasnya beliau bercakap tentang nama satu pihak dan isu wahabi namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama saya.


Bagi mengulas hal ini, saya menyebut beberapa perkara berikut; tuduhan tersebut boleh rujuk disini


1. Adapun tuduhan beliau kepada aliran wahabi, itu urusan beliau dengan mereka. Pun begitu, saya katakan bahawa walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pandangan ulama Saudi, tapi menuduh puak yang berbeza dengan sewenang-wenang perlulah berhati-hati. 


Ada kiraan dosa dan pahala di sisi Allah. Saya fikir sebodoh mana pun muslim tidak akan berkata bahawa ‘Allah memegang najis’, ‘Allah macam kera’. Tiada siapa yang dapat menerima perkara yang seperti itu. Apakah mungkin untuk kita berkata kepada mereka yang menjadi imam-imam di Masjidil Haram dan Masjid Nabi ada kepercayaan yang seperti itu. Walaupun mungkin ada beberapa perkara yang kita tidak setuju dengan mereka, tidak wajar membuat ‘tembakan rambang’ kepada mereka.

2. Ada pun beberapa fitnah yang beliau sebut dan seakan macam saya juga bersetuju dengan hal itu maka katakana WALLAHI, wa BILLAH wa TALLAHI itu adalah fitnah beliau semata. Beliau hendaklah membuktikan tuduhan-tuduhan beliau samada melalui rakaman atau tulisan saya sendiri. Satu akhlak yang buruk bagi sesiapa yang menuduh orang tanpa bukti yang boleh dijadikan asas.

3. Isu tidak mengiktiraf keberkatan Nabi s.a.w dan menafikan boleh mengambil keberkataan Nabi s.a.w (tabarruk) termasuk tentang rambut Nabi s.a.w jika hendak dikaitkan dengan saya, adalah dusta. Sesiapa yang menonton video saya di youtube bertajuk: “Memburu Barakah” akan mengetahui pendirian saya tentang hal tersebut. Saya tidak nafikan tetapi berusaha memberikan makna dan panduan.

4. Isu tidak membenarkan orang solat tarawih lebih dari lapan rakaat bahkan menyatakan Perlis tidak membenarkan dan menganggap masuk neraka sesiapa yang bersolat lapan rakaat ke atas, adalah fitnah beliau yang beliau bertanggungjawab di hadapan Allah. Sejak sekian lama artikel saya bertajuk “Kekeliruan Tentang Solat Tarawih” yang di siar di web saya (Minda Tajdid), Akhbar Sinar Harian dan pelbagai laman web menyebut -antara lain- tentang solat tarawih: “Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah”.

5. Isu tentang kononnya menyamakan Allah dengan makhluk seperti manusia dan kera adalah pembohongan dan fitnah beliau yang amat besar. Beliau boleh cari di manakah kenyataan yang di seperti itu dalam tulisan ataupun ucapan saya yang begitu mudah di dapati di dunia siber. Tapi hendak ucapan dan tulisan yang tidak diedit dan dalam konteks yang betul. Jawapan saya dalam masalah ‘Arasy umpamanya sama dengan apa yang Hasan al-Banna sebut dalam ‘Usul al-‘Isyrin’, apa yang Sayyid Qutb sebut dalam Zilal al-Quran dan Dr Wahbah al-Zuhaili sebut dalam Tafsir al-Munir (lihat tafsir ayat 54, Surah al-‘Araf). Saya sebut nama-nama itu kerana mereka dikenali oleh orang melayu. Jawapan yang sama disebut oleh TG Nik Abd Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh yang lain. Sila tonton pelbagai video saya dalam hal ini.

6. Menuduh orang secara dusta adalah dosa yang besar. Saya akan bertemu dengan beliau di mahkamah Masyar dan juga Allah ada urusan dan tindakanNYA di dunia ini. Saya meminta beliau menarik balik kaitan itu, jika beliau rasa beliau tersilap ataupun diberikan maklumat yang salah. Sabda Nabi s.a.w: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dos orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).

7. Jika tidak, saya mengajak beliau BERMUBAHALAH iaitu bersumpah laknat atas nama Allah. Jika saya menyebut seperti tuduhan-tudahan beliau maka laknat Allah ke atas saya. Jika tidak, maka laknat Allah ke atas beliau.

8. Saya pohon kemaafan kerana terpaksa menjawab secara terbuka kerana tuduhan beliau disiarkan terbuka.


9. Kepada Allah kembali segala urusan. Sabda Nabi: ‘Takutlah kamu doa orang yang kena zalim’. "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani). Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Wallahua'lam

No comments: