KUANTAN – Pengaruh media sosial turut dilihat sebagai punca ancaman penyebaran fahaman sesat di negara ini terutama dalam kalangan golongan muda.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mengikut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) umur golongan yang terlibat dengan ajaran Syiah adalah sekitar 25 hingga 39 tahun.
(Syiah difatwakan bertentangan dengan fahaman Sunnah).
“Ini adalah kelompok generasi yang kita katakan generasi muda yang begitu mudah untuk terpengaruh dengan fahaman dan ideologi-ideologi menyesatkan,” kata beliau kepada pemberita selepas Seminar Dakwah Intelektual Isu-isu Akidah peringkat negeri di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu mewujudkan satu bahagian agama bagi memantau kandungan media sosial yang menjurus kepada menyesatkan umat Islam.
Dr Asyraf berkata, dewasa ini terdapat banyak ancaman yang dilihat mahu menyesatkan umat Islam secara sistematik di laman media sosial seperti Facebook, twitter atau blog dengan mendakwa Islam adalah agama yang tidak toleran.
“Dengan cara itu, mereka mahu umat Islam melatah setelah umat Islam sendiri menzahirkan kemarahan terhadap isu-isu yang dibawa di laman sosial tersebut,” kata beliau.
Katanya usaha itu perlu bagi mengekang tekanan terhadap umat Islam di negara ini yang bukan sahaja datang dari dalam malah ancaman dari pihak luar termasuk pengaruh internet dan laman media sosial.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat merasmikan seminar tersebut.
- Bernama
No comments:
Post a Comment