Friday, 15 November 2013

PEMUDA BERZIKIR DI TENGAH LEBUHRAYA MAUT


MARAN - Seorang anggota polis peronda tidak menyangka tindakannya meminta seorang lelaki supaya berhenti berzikir di tengah Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Plaza Tol Chenor di sini berakhir dengan tragedi apabila lelaki itu merampas pistol dan melarikan kereta peronda yang dipandu peronda berkenaan.

Lebih mengejutkan, drama rampas pistol dan bawa lari kereta peronda itu yang berlarutan selama empat jam, turut mengakibatkan lelaki tersebut, Muhd. Nasrulfahmi Abdul Nasir, 22, mati ketika dirawat di Hospital Temerloh di sini semalam.

Dia menerima rawatan tersebut selepas cedera di kepala apabila kereta peronda yang dilarikannya itu berlanggar dengan kenderaan polis yang mengejar dan kemudian mengepungnya.

Kereta peronda polis jenis Proton Inspira dan pistol jenis P99 tersebut dilarikan oleh lelaki tersebut dari Plaza Tol Chenor memasuki Pekan Awah sebelum ia berjaya disekat di Kilometer 107, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Bukit Lada.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Sulaiman A. Hamid berkata, sebelum itu pada pukul 12.45 tengah malam, polis menerima aduan terdapat seorang lelaki duduk di atas sebuah motosikal di lorong tengah lebuh raya dekat Plaza Tol Chenor.

Katanya, tindakan lelaki itu didapati mengganggu lalu lintas selain membahayakan dirinya.

Berikutan itu katanya, dua buah kereta peronda polis ditugaskan ke plaza tol berkenaan bagi menyuraikan keadaan.

"Anggota polis yang tiba di plaza tol itu mendapati seorang lelaki sedang berzikir di atas sebuah motosikal.

"Seorang anggota polis kemudian menghampiri lelaki itu lalu menepuk bahunya sambil memujuk supaya dia beredar," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. KOSMO

No comments: