Wednesday 13 November 2013

MB PAHANG DISYAKI TERKENA VIRUS KENCING TIKUS

MB disyaki  kena virus kencing tikus

Kuantan : Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, dirawat di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur sejak kira-kira seminggu lalu, disyaki dijangkiti Leptospirosis (kencing tikus) atau Melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah).

Dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar kepada media semalam, Adnan berkata, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) petang 4 November lalu selepas berasa tidak sihat sehari sebelum itu ketika dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam, Selangor bagi menyaksikan final Piala Malaysia di antara Pahang dan Kelantan. 

“Saya kemudian dirawat di ICU hampir empat hari. Alhamdulillah sudah dipindahkan ke wad biasa sejak Jumaat lalu selepas disahkan pulih sepenuhnya. 

“Pihak hospital membenarkan saya pulang Ahad lalu selepas menerima rawatan seminggu, tetapi saya memilih untuk terus berehat sehingga hujung minggu ini.

Tugas minggu depan

“Insya-Allah, saya akan mula bertugas mulai minggu depan,” katanya sambil memaklumkan, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga sedia maklum mengenai perkara berkenaan.

Sebelum disyaki dijangkiti wabak itu, Adnan hadir di majlis ramah mesra bersama pemain dan pengurusan skuad bola sepak Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, 1 November lalu. 
Kira-kira seminggu sebelum itu, beliau merasmikan Hari Profesional 1BestariNet anjuran Jabatan Pendidikan Pahang dan YTL Communications di Hotel Zenith, Kuantan.

Pada 27 Oktober lalu pula, beliau meninjau beberapa projek Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang di kawasan pedalaman di Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, manakala tiga hari sebelum itu, mengiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat mangsa banjir lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands. BH

No comments: