Wednesday, 13 November 2013

ANAK GELANDANGAN : MENGEMIS UNTUK AYAH, JUMPA MB NEGERI SEMBILAN MINTA RUMAH BARU

Foto

Tidak dapat membayangkan betapa perit dan sengsaranya kehidupan seorang kanak-kanak berumur 8 tahun yang terpaksa mengemis untuk meneruskan kehidupan bersama bapanya yang sakit, setelah kematian ibu kandung. Berwajah comel, kanak-kanak itu malah sungguh berani berjumpe Menteri Besar Negeri Sembilan untuk memohon sebuah rumah kediaman untuknya berdua. Ikuti kisah selanjutnya................

Seremban : Demi memastikan nasib ayahnya seorang gelandangan serta menghidap pelbagai penyakit terbela, seorang kanak-kanak bukan saja sanggup menebalkan muka meminta sedekah di bandar ini, malah tampil berjumpa Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memohon sebuah rumah, lapan bulan lalu.
Kanak-kanak berusia lapan tahun itu tabah melakukan apa saja demi bapanya termasuk mengorbankan persekolahannya kerana kedaifan. 
Nasib malang itu dilalui Zainul Ariffin Adnan sejak dua tahun lalu sehingga menjadi pengemis bersama bapanya di pusat bandar ini. 

Menurut Zainul Ariffin, dia tiada pilihan dan tidak bersekolah kerana bapanya, Adnan Ismail, 56, diserang pelbagai penyakit dan mereka tinggal secara gelandangan selepas kematian ibunya.
“Sejak kematian ibu empat tahun lalu, bapa diserang kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang, batu karang dan semput menyebabkan saya terpaksa mengemis bagi mendapatkan sesuap nasi untuk ayah yang kini tenat,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, kehidupannya menjadi daif selepas berhenti kerja sebagai kakitangan awam dan kematian isteri pada 2009. 

“Pada 1974 sehingga 1995, saya bekerja sebagai jurubahasa di Mahkamah Seremban sebelum berhenti kerana memulakan perniagaan kedai makan kecil-kecilan di Sungai Gadut. 

“Pada 1996, saya berkahwin dengan seorang wanita dari Jawa Timur, Indonesia dan kami menyewa di Taman Seremban Selatan,” katanya. 

Adnan berkata, isterinya meninggal dunia akibat kanser payudara dan kencing manis dan ketika itu anak tunggalnya berusia empat tahun. 

“Ketika itu, saya perlu menguruskan penghantaran jenazah arwah isteri ke Indonesia dan memerlukan kos RM8,000 menyebabkan saya terpaksa menjual kedai makan,” katanya. 

Adnan dari Bandar Kaba, Melaka berkata, setahun kemudian dia diserang pelbagai penyakit hingga tidak mampu bekerja apatah lagi semua wang simpanan habis membiayai pengurusan jenazah. 

“Kerana tidak mampu menyewa rumah dan sakit, saya membawa Zainul ke Seremban dengan meminta sedekah dan hidup gelandangan di kawasan itu,” katanya. 

“Dulu saya sempat menghantar Zainul ke Tadika Taman Seri Mawar, tetapi selepas menjadi pengemis, saya tidak mampu,” katanya yang turut mendakwa enam adik-beradiknya tidak mempedulikannya. 

Menurutnya, hasil meminta sedekah dia meraih antara RM5 hingga RM15 sehari dan wang itu digunakan membeli makanan. 

“Lapan bulan lalu, ketika kami meminta sedekah di Seremban, Zainul memasuki Wisma UMNO Negeri berjumpa Datuk Mohamad (Menteri Besar) dan memaklumkan tiada rumah dan tidak bersekolah. 

“Syukurlah, kami menerima flat ini dan sudah tiga bulan menetap di sini,” katanya. 

Adnan turut memaklumkan sewa rumah RM750 masih tertunggak kerana tidak mampu membayar disebabkan sakit. 

Katanya, dia turut menemui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun lalu memohon bantuan, namun permohonan ditolak tanpa diberitahu alasan. 

Sementara itu, Pengarah JKM negeri Abdullah Hanafi berkata, beliau meminta Adnan dan anaknya hadir semula ke pejabatnya dan membuat permohonan baru. myMetro

No comments: