Wednesday 23 October 2013

PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA PARLIMEN LUMUT


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan cadangan persempadanan semula kawasan Lumut untuk pilihan raya akan datang merupakan idea yang baik.

Katanya, peningkatan jumlah penduduk di kawasan Manjung dan Lumut menjadi alasan kukuh untuk menyuarakan hasrat atau cadangan perwakilan UMNO Bahagian itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tambah Zambry, idea ini akan dikemukakan kepada pihak SPR untuk diteliti sebelum kajian berhubung kesannya terhadap semua pihak dilaksanakan oleh agensi terbabit.
BERIKUT adalah usul/cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya Parlimen Lumut yang telah dibentang, disokong dan dibahaskan di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2013 yang lalu :
Pembentangan usul politik :
AGENDA MEMPERKASAKAN BANGSA MELAYU
MELALUI PROSES PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

MENYEDARI bahawa lanskap politik kawasan pilihanraya kita iaitu P. 074 Parlimen Lumut sedang mengalami proses populasi pengundi yang pesat di mana jumlah pengundi pada PRU 12 sebanyak 73,364 telah meningkat sehingga 88,445 pengundi pada PRU 13 iaitu pertambahan melebihi 15,000 pengundi dalam tempoh selang lima (5) tahun pilihanraya iaitu di antara tahun 2008 hingga 2013

MENGINSAFI bahawa peratusan pengundi Melayu dalam Parlimen Lumut telah mengecil kepada 52% pada PRU 13 berbanding 60% pada PRU 12 yang lalu manakala jumlah ahli UMNO hanyalah 12% daripada jumlah keseluruhan pengundi Parlimen Lumut

MENGAKUI bahawa kawasan-kawasan dalam Parlimen Lumut sedang mengalami proses urbanisasi yang amat pesat. Projek perumahan baru dibuka seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Contohnya Apartment Bukit Permata di Padang Tembak, Taman Nakhoda di sebelah UniKL, Taman Seri Sitiawan di Kg Sitiawan, Taman Desa Manjung Point di Manjung dan berbagai taman lagi dibuka di Kampung Serdang, Kampung Sungai Wangi, Lumut dan sebagainya

MEYAKINI bahawa UMNO, sebagai parti tunggak orang Melayu telah membuktikan keunggulannya untuk bertahan dan berjaya merentasi zaman dengan melalui pelbagai krisis dan cabaran terdahulu. Kemampuan UMNO yang telah teruji diyakini dapat menangani pula persaingan dan cabaran baru yang akan datang kerana parti keramat UMNO didokong oleh nasionalis-nasionalis Melayu tulen yang tidak berjuang dengan berpaksi kepada apa-apa falsafah materialistik dan kebendaan

MAKA MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN LUMUT YANG BERSIDANG PADA HARI INI MENGUSULKAN SUPAYA :

  1. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melakukan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya P.074 Lumut dengan memecahkannya kepada dua (2) Parlimen seperti berikut:-
    1. Parlimen Lumut yang terdiri daripada DUN Pangkor dan DUN Manjung; dan
    2. Parlimen Pasir Panjang yang terdiri daripada DUN Lekir dan DUN Sitiawan

  1. UMNO Bahagian Lumut melakukan gerakan secara bersepadu dan berterusan untuk menambah jumlah ahli UMNO dan Daftar Pemilih sebagai persediaan menghadapi PRU 14 yang akan datang. Cawangan-cawangan baru yang mewakili taman dan kawasan perumahan Bandar perlu dibuka dengan segera bagi memudamenarik sokongan Melayu Bandar kepada UMNO dan BN

  1. UMNO Bahagian Lumut melakukan proses peremajaan parti di samping menyemarakkan roh perjuangan UMNO yang asal kepada ahli-ahlinya. Transformasi sikap dan minda adalah lebih penting daripada transformasi umur di mana setiap ahli UMNO perlu menyedari bahawa UMNO ialah parti  untuk membela agama, bangsa dan Negara dengan mengenepikan segala kepentingan yang bersifat material atau peribadi.
SAYA DENGAN RENDAH HATI MEMBUKA USUL INI UNTUK DISOKONG DAN DIBAHASKAN

Pembentangan usul disokong : 

AGENDA MEMPERKASAKAN BANGSA MELAYU
MELALUI PROSES PERSEMPADAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

Lanskap politik kawasan pilihanraya kita iaitu P. 074 Parlimen Lumut sedang mengalami proses populasi pengundi yang pesat di mana jumlah pengundi pada PRU 12 sebanyak 73,364 telah meningkat sehingga 88,445 pengundi pada PRU 13 iaitu pertambahan melebihi 15,000 pengundi dalam tempoh selang lima (5) tahun pilihanraya iaitu di antara tahun 2008 hingga 2013. Walaupun data menunjukkan jumlah pengundi Parlimen Lumut meningkat, namun sebenarnya peratusan pengundi Melayu telah mengecil kepada 52% pada PRU 13 berbanding 60% pada PRU 12 yang lalu. Keadaan ini jika tidak kita tangani dengan serius dan berkesan akan menyebabkan orang Melayu tidak lagi menjadi kaum majoriti pengundi bagi Parlimen Lumut dalam PRU 14 yang akan datang. Kita bimbang Lumut kemudiannya akan menjadi seperti juga kawasan minoriti Melayu yang lain, di mana peluang BN untuk menang adalah tipis.

Mengikut data daripada UMNO Bahagian, kedudukan ahli UMNO Bahagian Lumut setakat tahun ini ialah seramai 10,691 orang untuk keseluruhan Parlimen. Jika dipecahkan mengikut DUN, ahli UMNO hanya merupakan 20% daripada jumlah pengundi DUN Pasir Panjang, 4% daripada jumlah pengundi DUN Sitiawan dan 10% daripada jumlah pengundi DUN Pangkor. Angka ini merupakan satu petunjuk bahawa kemenangan Barisan Nasional di Parlimen Lumut selama ini banyak dibantu oleh para pengundi atas pagar yang bukan merupakan ahli UMNO. Mereka-mereka ini walaupun tidak terlibat secara langsung dan aktif dalam arena politik tetapi merekalah penyumbang kepada kemenangan BN. 

Maka dengan sebab itu mereka ini perlu didekati dan didaftarkan sebagai ahli UMNO supaya mereka menjadi sebahagian daripada kita, memahami dan mendokong perjuangan kita dan dapat memperkasakan kekuatan kita.  Apabila golongan atas pagar ini kita dekati, mereka akan mengenali, menyayangi dan menyumbang di dalam parti  

Maka cabaran kita seterusnya ialah untuk menggerakkan tindakan bersepadu dan berterusan untuk mendaftarkan ahli UMNO dan Daftar Pemilih supaya UMNO dan BN terus relevan, segar dan gagah bagi mendepani cabaran zaman, khususnya cabaran polarisasi bangsa yang akan kita hadapi sekali lagi dalam PRu 14 yang akan datang.

Saya amat bersetuju dengan cadangan supaya Parlimen Lumut disempadankan semula oleh SPR kepada dua (2) Parlimen seperti berikut:-
    1. Parlimen Lumut yang terdiri daripada DUN Pangkor dan DUN Manjung; dan
    2. Parlimen Pasir Panjang yang terdiri daripada DUN Lekir dan DUN Sitiawan
Persempadanan semula ini akan membawa manfaat yang banyak dari sudut politik dan ekonomi Parlimen Lumut. Seperti yang kita maklumi, kawasan dalam Parlimen Lumut sedang mengalami proses urbanisasi yang amat pesat. Projek perumahan baru dibuka seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Contohnya Apartment Bukit Permata di Padang Tembak, Taman Nakhoda di sebelah UniKL, Taman Seri Sitiawan di Kg Sitiawan, Taman Desa Manjung Point di Manjung dan berbagai taman lagi dibuka di Kampung Serdang, Kampung Sungai Wangi, Lumut dan sebagainya. Rata-rata harga hartanah ini melebihi RM 200,000 ke atas dan ianya dibeli oleh kaum bukan bumiputera atau kumpulan perantau yang berhijrah ke Manjung.

Data keputusan PRU 13 yang lalu jelas menunjukkan kemenangan BN di kampung-kampung tradisional di mana undi Melayu kembali kepada BN di Kayan, Batu 8, Batu 10 dan Pasir Panjang yang merupakan kawasan hitam sebelum ini. Kita kalah di peti undi campuran iaitu peti undi bagi kawasan taman perumahan yang tidak mempunyai cawangan UMNO seperti Peti Undi Kampung Sitiawan, Peti Undi Bandar Baru Seri Manjung dan Peti Undi Seri Manjung manakala kita kalah di kesemua peti undi majoriti cina. Ini semua memberi petunjuk bahawa peti undi kawasan Bandar dan peti undi minoriti Melayu tidak memihak kepada BN pada PRU 13 dan kita semua perlu melakukan sesuatu supaya keadaan ini tidak berlaku lagi pada PRU ke 14 nanti.

Oleh itu marilah kita semua tambahkan kekuatan undi Melayu di Parlimen Lumut. Yang dewasa tambahkan undi Melayu di kedai kopi. Yang wanita boleh mencari undi waktu kenduri. Suara pemuda mesti bergema memecah maya mengajak sokongan kepada kebenaran perjuangan UMNO. Manakala Puteri mesti menambat hati rakyat dengan  keprihatinan sebagai srikandi. Mari kita bangun berjuang mulai esok. Sehingga apabila menjelang fajar PRU 14 nanti, orang Melayu Lumut telah begitu bersedia dan ramai bilangannya hingga menggentarkan puak pembangkang. Ahli kita mesti bertambah, cawangan kita mesti bertambah dan pengundi kita juga mesti bertambah untuk membolehkan persempadanan semula dilakukan. Hanya dengan jumlah yang ramai kita akan menjadi kuat dan dilihat kuat. Malah persempadanan semula juga akan lebih menguatkan kita kerana Parlimen Lumut dan Parlimen Pasir Panjang akan dapat memberi lebih fokus dan tumpuan kepada rakyat di kawasan masing-masing melalui peruntukan Parlimen masing-masing. Akhirnya,  slogan “tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir” dapat kita praktikkan dengan berkesan sehingga rakyat menjadi lebih yakin bahawalah UMNO lah parti tempat mereka bergantung harap untuk mencorak masa depan Negara yang lebih baik untuk semua.

Akhirnya, kita mengakui bahawa UMNO, sebagai parti tunggak orang Melayu telah membuktikan keunggulannya untuk bertahan dan berjaya merentasi zaman dengan melalui pelbagai krisis dan cabaran terdahulu. Kemampuan UMNO yang telah teruji diyakini dapat menangani pula persaingan dan cabaran baru yang akan datang kerana parti keramat UMNO didokong oleh nasionalis-nasionalis Melayu tulen yang tidak berjuang dengan berpaksi kepada apa-apa falsafah materialistik dan kebendaan. Marilah kita berdoa kepada Allah supaya kita mampu mengemudi parti ini supaya jangan karam dilanda badai perubahan zaman.

Perbahasan pembentangan usul :

AGENDA MEMPERKASAKAN BANGSA MELAYU
MELALUI PROSES PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2) (ii), persempadanan semula boleh dilakukan setelah tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat.

Persempadanan semula yang terakhir dilakukan adalah pada 2003 dan persempadanan semula sepatutnya dibuat pada 2011 tetapi kita tangguhkan hingga pilihan raya umum ke-13 selesai.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata Persempadanan perlu dilakukan kerana perlembagaan menetapkan setiap lapan tahun, sekurang-kurangnya, SPR perlu membuat kajian semula kawasan sempadan pilihan raya... amat penting kerana dalam tempoh 10 tahun ini negara mengalami banyak perubahan termasuk berlakunya penghijrahan rakyat dari bandar ke bandar.

Dalam sejarah pilihan raya di Malaysia sebanyak 6 kali proses persempadanan telah dilakukan iaitu pada tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, 2003. Persempadanan kawasan pilihan raya ini amat penting kerana selain daripada menentukan kawasan-kawasan yang perlu ada dalam pilihan raya ia juga bertujuan untuk memastikan tidak berlakunya ketidakseimbangan dalam sesuatu kawasan dan ini akan menyulitkan pentadbiran kerana setiap hari pertambahan penduduk akan terus  berlaku terutama dikawasan bandar akibat daripada proses migrasi.

Jika dilihat kesan persempadanan semula bahagian pilihan raya 2003 terhadap keputusan pilihanraya 2004, didapati bahawa sokongan pengundi terhadap BN telah meningkat antara PRU 1999 dengan PRU 2004, ini berdasarkan contoh persempadanan semula tahun 2003 di DUN Kajang dan DUN Bangi…Justeru, persempadanan semula bahagian pilihan raya DUN Kajang telah memberi kelebihan kepada parti pemerintah iaitu BN pada PRU 2004 yang mempunyai kelebihan/kekuatan di kawasan campuran (DUN Kajang) dan menang (UMNO) di DUN Bangi yang mempunyai pengundi Melayu yang majoritinya menyokong mereka …walaupun kemudiannya keputusan itu sangat merosot pada pilihanraya 2008 (itu bkn kesan persempadanan semula) tetapi akibat hempasan tsunami politik…. Contoh tersebut jika dilaksanakan dengan teliti di Parlimen Lumut selepas persempadanan semula, tidak mustahil akan menjadi reality pada PRU 14 nanti seperti yang telah dinyatakan oleh penyokong usul sebentar tadi.

Oleh itu angka-angka petunjuk yang telah disebutkan dalam hujah penyokong tadi juga bakal memberi kemenangan kepada Barisan Nasional dengan perlaksanaan beberapa perkara :

Pertama :  Apabila Persempadanan semula bahagian pilihanraya Lumut dilaksanakan, ianya akan terbahagi kepada 2 Parlimen (sebagaimana yang telah diusulkan) iaitu Parlimen Lumut dan Parlimen Pasir Panjang, maka tranformasi ini akan mengujudkan pecahan ekonomi untuk menjadi lebih relevan dan terarah kepada Melayu kerana kawasan yang lebih kecil lebih mudah dijaga dan sekaligus akan menambahkan peruntukan-peruntukan sedia ada.

Contohnya, agensi kerajaan seperti Kemas Parlimen Lumut yang banyak memberikan sumbangan dan peruntukan terhadap kemajuan melayu melalui Taman Bimbingan Kanak2, Kelas masakan dan jahitan, Gerakan Desa Wawasan, Kelas Agama Bina Insan dan lain-lain lagi, jika selama ini ada peruntukan untuk jahitan (contohnya), satu parlimen hanya ada 20 peruntukan untuk dikongsi oleh 45 cawangan yg trdapat dlm bahagian lumut,  ianya dilihat tidak meluas apabila ada kawasan tertntu yang tidak dpt menikmati peruntukan itu. Berbanding jika diujudkan 2 parlimen dengan pecahan 4 DUN, peruntukan juga akan berganda dan peluang lebih ramai akan menikmati peruntukan meningkat. Peruntukan juga mudah disalurkan dan matlamat peruntukan itu sendirai akan tercapai, sekaligus taraf kehidupan golongan miskin dan miskin tegar dapat dibantu khususnya dalam mempertingkatkan  ekonomi dan pendapatan isi rumah. Itu baru satu contoh…masih banyak lagi agensi-agensi kerajaan yang menyalurkan peruntukan akan dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan sasaran.

Persempadanan semula juga dapat mengalihkan pembangunan ke kawasan pinggir Bandar seperti Kayan, Lekir, Pasir Panjang, Kampung Bharu, Segari dan Teluk Penchalang. Seperti yang kita tahu pembangunan di Parlimen Lumut pada masa kini lebih tertumpu ke kawasan Pekan Sitiawan dan Seri Manjung. Dengan wujudnya dua Parlimen, ahli-ahli Parlimen yang berkenaan dapat merancang  pembangunan bagi kawasan masing-masing di samping mewujudkan agensi Kerajaan yang berkenaan bagi Parlimen tersebut seperti MPWK dan JASA yang juga diwujudkan mengikut kawasan Parlimen.

Sidang hadirin para perwakilan yang dirahmati Allah sekaliannya….

Kesan daripada kaum cina tidak menyebelahi BN di dalam PRU 13 yang baru lalu meskipun sekapal dengan MCA, yang berlaku di seluruh negara amat perit sebenarnya untuk diterima. Lebih-lebih lagi di parlimen lumut apabila kerusi parlimen lumut berjaya dirampas oleh pembangkang.

Oleh itu, melalui persempadanan semula bahagian pilihanraya, masyarakat cina boleh disusun semula – separuh dimasukkan ke Parlimen Pasir Panjang dan separuh lagi dimasukkan ke Parlimen Lumut. Dengan cara ini, undi cina tidak lagi dominan sebagai undi penentu. 

Kerajaan juga boleh melaksanakan kaedah wang (maksud saya bukan politik wang) untuk menambat hati Melayu terus menyokong BN. Kaedah ini  memberi tumpuan kepada kawasan yang jauh dari bandar akan dijadikan kubu untuk parti pemerintah mengekalkan kuasanya. Konsep ini boleh dikatakan seperti konsep “hutang budi‟ dimana pihak pemerintah akan menggunakan kaedah wang bagi membangunkan dan memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar ini dengan kebiasaannya masyarakat luar bandar akan berpegang kepada konsep “balas budi‟. 

Dan sememangnya orang Melayulah yang menjadi tunjang kekuatan parti BN selama ini kerana kita adalah bangsa yang tahu menghargai kebaikan dan agama juga menggalakkan kita membalas kebaikan dengan kebaikan yang lebih baik.

Selain itu, mereka juga akan berpendapat sekiranya mereka tidak menyokong parti pemerintah tetapi menyokong parti pembangkang mereka akan menghadapi masalah kerana rata-rata penduduk luar bandar terdiri daripada mereka yang bertaraf sederhana, miskin dan miskin tegar.

Kajian lepas telah menyatakan hubungan antara proses persempadanan kawasan pilihan raya dengan kekuatan UMNO adalah saling berkaitan. Ini kerana di negara ini masyarakat Melayu merupakan golongan yang paling ramai dan biasanya tinggal di suatu tempat di luar bandar. 

Oleh itu apabila satu parti pemerintah yang berkuasa boleh melakukan pemecahan kawasan bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan juga kepentingan parti mereka, mereka tidak akan beralih sokongan walaupun diasak dengan pelbagai provokasi dari pihak pembangkang.

Apapun, bagi persempadanan semula sesuatu kawasan pilihan raya ianya perlulah mendapat kelulusan majoriti 2/3 ahli Dewan Rakyat dan perkenan Yang Dipertuan Agong. Mudah2an dengan kewujudan DUN baru iaitu DUN Manjung dan DUN Lekir dilihat dapat memberi kemudahan kepada wakil rakyat yang dipilih supaya dapat berkhidmat dengan efisien dan berkesan, bersesuaian dengan jumlah pemilih dan keluasan kawasan yang telah ditetapkan tersebut.

No comments: