Friday 13 September 2013

SELEPAS AZALINA TARIK HANDBREK...SHAHRIZAT TETAP DICABAR.... RAIHAN TAWARKAN DIRI....


raihan

Ahli Umno seumur hidup, Raihan Suleiman akan mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Wanita selepas dia memutuskan untuk membawa perubahan dari dalam parti itu sendiri.
“Untuk membawa perubahan kepada parti, saya perlu memimpin. Saya perlu membawa perubahan daripada dalam parti itu sendiri.

“Saya tidak mahu hanya bercakap. Saya perlu tunjukkan kepada masyarakat saya mampu melakukannya,” katanya kepada The Star Online.
Beliau berkata dia akan memfailkan kertas pencalonannya pada 21 September ini.
Ketika ditanya sekiranya beliau menerima kritikan ekoran pengumumannya itu, Raihan berkata tidak ada apa yang perlu digusarkan dengan hanya bertanding.
“Selama ini, tidak ada sesiapa pun dari Umno yang menolong saya, dan kehidupan saya juga masih sama.
“Saya masih boleh lagi makan, hidup, beli rumah dengan duit saya sendiri. Saya percaya semua ini datang daripada Allah,” katanya.
Walaupun beliau mengumumkan untuk bertanding sama dengan pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Azalina Othman Said (yang telah mengumumkan penarikan diri beliau daripada saingan), Raihan berkata beliau tidak terkejut kerana dia bukannya berada dalam radar media.
“Siapalah saya berbanding mereka, yang mempunyai pangkat dan gelaran? Saya hanya orang biasa yang mempunyai kehidupan seperti orang lain,” katanya yang juga bekas Ketua Wirawati Perkasa.
Bagaimanapun, Raihan yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Kulim Bandar Baru, menegaskan keinginannya untuk mencabar Shahrizat bukanlah untuk menyebabkan perpecahan dalam parti.
“Bagaimana saya hendak sebabkan perpecahan jika saya sendiri tidak mempunyai penyokong? Jika saya ada pun, saya akan beritahu mereka jangan benci Shahrizat kerana Allah telah beri dia peluang untuk memimpin lagi,” katanya.
Ahli politik berusia 47 tahun itu berkata parti perlu memberi peluang kepada muka baru ‘yang mempunyai imej yang bersih dan tidak ada liabiliti’ demi perjuangan parti pada masa hadapan.
“Ketika pilihan raya umum yang lalu, saya sangat terkejut apabila difahamkan sayap Wanita kurang berkemampuan, tidak mempunyai pemimpin yang lantang bersuara seperti parti pembangkang.
“Kenapa tidak kita tampilkan lebih ramai muka baru tertuamanya generasi muda – untuk menjadi pendebat yang baik berbanding hanya pergi meraih undi semata-mata?,” ujarnya.
-mStar

No comments: