Tuesday 3 September 2013

HARGA MINYAK NAIK : RAKYAT 'NAIK MINYAK'.....BAKAL JATUHKAN NAJIB..???



Dalam mana-mana kerajaan di dunia, kenaikan harga barangan asas mempunyai hubungan rapat dengan populariti kerajaan.

Semakin naik harga dan kos hidup, semakin tidak popular sesebuah kerajaan.


Dan dalam banyak-banyak keperluan asas, harga makanan dan petrol antara yang paling sensitif kepada pengguna.

Buktinya, di negara seperti Indonesia dan Greece, kenaikan harga barangan menyebabkan rakyat yang berasa hidup mereka terhimpit memprotes dan bertindak hingga menjejaskan imej negara dan populariti kerajaan.

Namun, kerajaan Malaysia semalam mengejutkan rakyat apabila menaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak RM0.20 seliter bermula hari ini.

Mengapa harga petrol yang perlu dinaikkan, atau dikurangkan subsidinya?

Kesan kenaikan harga petrol terlalu besar, jika dibandingkan dengan barangan lain. Bukan sahaja kos perjalanan harian meningkat, tetapi akan menyebabkan kenaikan harga makanan, bahan binaan dan kos kesihatan.

Sebabnya? Semua barangan memerlukan petrol untuk pengangkutan.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia tahun lalu menunjukkan kenaikan lima peratus harga petrol dan diesel akan sebabkan kesan negatif semua faktor ekonomi seperti keluaran dalam negara kasar (KDNK), inflasi, perbelanjaan isi rumah, pengambilan pekerja, import dan eksport. Kenaikan hari ini adalah 10 peratus.

Kesan keputusan tidak popular

Ramai masih ingat, pada 5 Jun 2008, kerajaan di bawah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi naikkan harga petrol 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter.


Pak Lah pernah didesak agar berundur
Harga diesel pula naik daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, iaitu kenaikan sehingga 63 peratus kerana krisis ekonomi yang melanda dunia pada masa itu dikatakan menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung subsidi petrol.

Walaupun harga petrol kemudiannya kembali diturunkan, reputasi Abdullah sebagai pemimpin tidak berjaya dipulihkan. Abdullah meletak jawatan pada 2009 selepas memegang jawatan nombor satu itu selama enam tahun.

Jadi, semalam, semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umumkan kenaikan itu, ramai bertanya: Kenapa harga petrol yang perlu dinaikkan?

Dilihat pula pada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menggambarkan kerajaan boleh terus memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM1,000, menimbulkan kekeliruan mengenai kewangan negara.

Tentu rakyat musykil bagaimana kerajaan akan mampu memberi BR1M hingga RM1,000 setiap tahun sedangkan subsidi petrol dan diesel yang melibatkan hampir seluruh 28.5 juta rakyat tidak dapat dipertahankan.

Tetapi menurut Najib, semalam, kenaikan harga minyak adalah proses pengukuhan ekonomi bagi jangka pendek dan sederhana, yang akhirnya akan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.


Rekod naik turun harga minyak
Rakyat perlu bijak uruskan perbelanjaan

Dalam buku bertajuk ‘Subsidi dan Bantuan Kerajaan: Memakmur Negara’ diterbitkan Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia Februari lalu, kerajaan menjelaskan jenis dan jumlah subsidi yang ditanggung bagi barangan untuk kegunaan rakyat seperti petrol, gas, tepung, gula dan minyak masak.

Menurut buku penerangan itu, kerajaan berusaha memastikan perbelanjaan hidup rakyat tidak terjejas dengan kenaikan harga produk petroleum dan barangan keperluan di Malaysia, jadi subsidi diberikan bagi barangan-barangan tersebut.

“Namun begitu, jumlah subsidi dan bantuan kepada rakyat perlu dihadkan pada tahap yang munasabah agar perbelanjaan kerajaan dapat dimanfaatkan secara lebih adil dan digunakan untuk pelbagai tujuan demi kebaikan rakyat secara keseluruhan.

“Subsidi dan bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan adalah untuk meringankan beban kewangan rakyat. Pada masa yang sama, rakyat sendiri perlu mengurus perbelanjaan mereka dengan bijak selaras dengan kemampuan masing-masing,” menurut buku tersebut.

Jadi, bagi yang menyokong kenaikan ini, mereka percaya pengguna perlu lebih bijak mengurus perbelanjaan dan menerima penarikan subsidi sebagai tidak dapat dielakkan dalam proses Malaysia menjadi negara maju.

Tetapi bagi yang tidak gembira dengan kenaikan ini, mereka akan berpendapat kerajaan perlu lebih bijak mengurus kewangan negara.



No comments: