Kita (baca kerajaan Umno khasnya) mengeluh bila setiap kali tiba 31 Ogos hari keramat untuk rakyat negara ini kerana pada tanggal itu diisytiharkan kemerdekaan negara. Apa dikesal dan dikeluhkan kerana semangat untuk sambut hari ulang tahun kemerdekaan itu tidak begitu 'jelingah' dan meriah. Rakyat di semua lapisan seakan tidak berserta (komited) menyambut hari kemerdekaan itu. Kehadiran wakil British ini nampak sangat kemerdekaan kita dibeli.
Ada yang tidak merasakan apa-apa kesan dengan ketibaan tarikh itu. Tarikh atau peristiwa itu seakan tidak memberi apa-apa signifikan buat mereka. Ia dibiarkan berlalu begitu saja bagaikan tarikh lain yang tidak membawa erti.
Jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka, 17 Ogos, orang kata panggil tidak dengar. Bezanya seperti jarak di antara langit dengan bumi. Sambutan rakyat negara itu kepada sejarah bangsa negara mereka sungguh meriah dan hebat. Rakyat negara itu menanti setiap kali detik itu dengan penuh gembira dan bersemangat.
aya pernah menukilkan macam mana hebatanya rakyat Indonesia menyambut hari ulang tahun kemerdekaan mereka di dalam blog ini. Ia umpama 'jenawari'. Dari kota hingga ke pelusuk kampung semua rakyat berpartisipasi dengan sambutan itu. Tidak ada rumah yang tidak dihiasi atau dipasang bendera. Tidak mampu beli mereka buat dan reka sendiri. Bendera Sang Merah Putih itu juga dijual di tepi jalan, berbagai saiz. Tidak ada acara memberi bendera secara percuma di plaza tol atau di gedung perniagaan.
Kita cemburu melihat kesungguhan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka. Kita cemburu dengan semangat patriotisme yang ditunjukkan rakyat negara itu. Dari sini kita dapat mengukur sejauh mana ketebalan semangat mereka dan sejauh mana pula ketipisan semangat bangsa kita.
Kenapa di tempat kita lesu dan 'laaih', tidak bermaya? Kerajaan sendiri sudah habis usaha dan ikhtiar macam mana hendak gerakan rakyat agar menyambut hari kemerdekaan. Bermacam-macam kempen dan insentif diberikan. Dianjurkan berbagai pesta sempena hari ulang tahun untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan.
Tidak cukup itu diberikan Jalur Gemilang agar dipasang dikenderaan secara percuma. Namun usaha itu sia-sia saja. Ada yang sudi mengambil tetapi tidak sedia untuk mengibarkan di kenderaan masing-masing. Sudah silih berganti pengerusi panitia sambutan kemerdekaan ditukar tetapi tidak menjadi. Kenapa?
Ada pelbagai sebab yang diberikan mengapa situasi ini berlaku. Antaranya kerana kemerdekaan kita kononnya tidak dicapai dengan darah dan air mata. Kemerdekaan kita diberi atau didapati secara percuma menerusi rundingan. Maka generasi kini khasnya tidak merasakan keperitan itu maka semangat untuk merayakan kemerdekaan tidak menyentuh hati naluri mereka.
Kemerdekaan kita tidak dicapai seperti mana Indonesia mencapai hari kebebasan itu dengan buluh runcing. Rakyat Indonesia membidik senjata dan buluh runcing menghalau penjajah. Kita tidak?
Betulkah kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata? Apakah tiada rakyat negara ini terkorban dan syahid kerana berjuang untuk mencapai kemerdekaan? Pandangan itu tidak tepat sebenarnya dan ia perlu diberi penjelasan baru. Hakikat apa yang berlaku sengaja dipesongkan oleh kerajaan sendiri dengan motif sedia maklum.
Kalau dikorek kepada sejarah perjuangan awal rakyat negara ini yang menentang penjajahan British jelas menunjukkan perjuangan itu makan banyak korban. Banyak air mata dan darah tumpah meresapi bumi Malaya ketika itu. Atau kita tidak menganggap British itu sebagai penjajah? Saya timbulkan ini kerana ada sarjana yang berkata Malaysia tidak pernah dijajah?
Cuma korban darah dan air mata itu tidak dinukilkan dalam lembaran sejarah popular negara. Justeru generasi (pembaca) muda tidak mengetahui akan ada darah dan air mata dalam proses kemerdekaan kita. Mereka tidak baca dan sedihi kemudian mendendami hal itu. Apa yang ada di dalam buku sejarah kita, ialah perundingan untuk mendapat kemerdekaan.
Kemerdekaan sebuah sedekah
Apa yang dinukilkan ialah pemergian Tunku Abdul Rahman bersama wakil orang Cina dan India ke London untuk membawa balik watikah kemerdekaan. Kerana hanya itulah detik dan peristiwa penting di dalam sejarah menyebabkan orang menganggap kemerdekaan bangsa kita tidak menghirup darah dan mengeluarkan air mata.
Tiada getaran sampai ke hulu hati mengenai peristiwa itu. Apa lagi ada yang membuat ejekan kemerdekaan kita adalah sebuah sedekah Inggeris selepas mereka mengaut segala kekayaan hasil bumi Malaya.
Perkara ini kesilapan paling besar untuk negara dan generasi seterusnya tetapi ia tidak diralat. Kesilapan inilah memusnahkan semangat generasi penerus terhadap kecintaan kepada negara. Kemerdekaan kita sebenar lebih bermakna dan besar dari itu. Terdapat kedukaan dan keperihan pejuang memaksa British berundur. Jadi adalah salah kalau ada orang beranggapan kita merdeka bukan dengan darah dan air mata.
Barang kali tidak perlu saya emosi mendedahkan siapa yang menumpahkan darah dan air mata dalam proses mencapai kemerdekaan dari Bristih sekitar tahun 1942 hingga 1957 dan sebelum itu. Umum sudah tahu. Dengan terbuka luasnya langit dunia, (dunia tanpa sempadan) yang semua orang boleh akses maklumat, menyebabkan manusia (generasi) tidak lagi berada dalam kepompong dibina penjajah dan tali barutnya. Mereka yang rajin dan gemar menggali sejarah akan menemui kebenaran ini.
Bahawa sejarah kemerdekaan yang ditulis oleh Umno tidak lengkap. Keadaan ini makin mengelirukan pula apabila ia disokong oleh sarjana peliharaan Umno untuk membetulkan sejarah yang tidak betul itu. Mereka tidak mahu melurus dan berkata benar tetapi terus bersekongkol dengan Umno sebagai tuan mereka. Tidak semua kisah, citra, puak atau individu yang dicatat sebagai pejuang. Sebaliknya paling menyedihkan ada pejuang sejati dianggap sebagai penderhaka.
Paling-paling mereka akan menukilkan kisah Datuk Bahaman, Datuk Sago atau Mat Kilau atau pun Tok Janggut saja sebagai pejuang. Itu pun dalam nada pesimis dan konotasinya berbeza bila mereka (kerajaan) bercakap atau makan malam bersama Inggeris. Tetapi rentetan selepas itu, gerakan nasionalisme tahun 1940-an khasnya selepas pengisytiharan Darurat (1948) tidak dinukilkan. Umno tidak merasakan kematian Tok Sago, Mat Kilau, Tok Janggut adalah kematian seorang pejuang kerana mereka bukan ahli Pekembar.
Tidak ada dalam sejarah ahli Perkembar (Umno) ditahan di dalam penjara, apa lagi mereka mati ditembak atau pun digantung sampai mati kemudian jenazahnya diarak ke seluruh pekan dan bandar untuk menakutkan orang Melayu. Siapa orang Pekembar yang diseksa?
Jadi benarlah kalau ada orang tuduh kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata kerana itulah versi dan hakikat perjuangan Umno. Bagaimana pun kalau dilihat kepada tokoh nasionalis yang kemudian menyambung perjuangan secara politik? Jelas mereka menumpahkan darah dan air mata demi membebaskan tanah air.
Tokoh yang dicap sebagai haluan kiri; Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, Abu Bakar Bakir, Ishak Mohamad (Pak Sako) dan lain adalah pejuang yang meringkuk di dalam penjara kerana merindui sebuah kemerdekaan. Kita tidak pernah menadah berapa banyak air mata mereka mengalir. Begitu juga kalau hendak dihitung tokoh nasionalis yang menyambung perjuangan menerusi Rejemin Ke-10 PKM - Parti Komunis Malaysia, seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Kamaruzaman Teh, Shamsiah Fakeh, Siti Nurkiah Mahmood dan lain-lain adalah pejuang kemerdekaan yang banyak menelan air mata dan menyaksikan darah membasahi bumi.
Munasabahkah mereka ini semua sengaja melarikan diri ke dalam hutan kemudian sanggup berdepan dengan hujung senjata tanpa ada matlamat untuk agama, bangsa dan negara?
Jadi di manakah salahnya maka kemerdekaan kita menjadi lesu? Berdasarkan perkembangan dan kronologi tadi jelas yang salahnya kerajaan, puak yang menguruskan negara ini sejak 1957 itu. Umno begitu sombong dan angkuh kerana mahu memperlihatkan hanya Umno yang berusaha mencapai kemerdekaan dan dalam masa lain menafikan peranan, tanggungjawab dan pengorbanan orang atau pihak lain yang sama-sama memainkan peranan ke arah itu. Hakikat ini semua orang tahu. Pembaculan sejarah adalah Umno.
Kenapa pada dekad awal kemerdekaan majlis sambutan kemerdekaan mendapat sambutan dan hangat? Sebab waktu itu langit belum terbuka, sejarah perjuangan negara masih terbungkus. Hari ini apabila dunia sudah tanpa sempadan, maklumat tidak boleh disembunyikan, makin ramai cerdik pandai menganalisa sejarah, maka mereka menjadi keliru siapa sebenar pejuang dan siapa sebenarnya hipokrit yang bertindak menamakan susu lembu dengan nama sapi.
Kesimpulan mudah saja untuk menyeramakkan tarikh kemerdekaan kita, pemerintah hari ini harus ikhlas dan sedia menerima peranan pihak lain juga. Pertamanya, mengiktiraf perjuangan nasionalis menerusi Kesatuan Kebangsaan Melayu Malaya (KKMM) serta sayapnya API, Awas, Insaf dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemerdekaan. Demikian juga dengan Rejemin Ke-10 Komunis Malaya yang bergerak dihutan secara bergerila. Mereka yang menjadi wakil kepada rakyat negara ini menggadaikan nyawa, darah dan air mata demi sebuah kemerdekaan.
Demikian juga dengan parti pembangkang, PAS, DAP dan Keadilan dan lain-lain hendaklah dipanggil sama berbincang bagaimana hendak memeriahkan kemerdekaan negara ini. Mereka juga khususnya PAS perlu diikhtiraf sebagai badan siasah yang berjuang untuk membebaskan negara dari cengkaman kolonial.
Selagi kerajaan yang ada hari ini menafikan peranan dan pengorbanan semua pihak, maka selama itu sambutan kemerdekaan kita akan layu, lunyai dan 'laaih' dan ia hanya tidak ubah sebagai sebuah pesta atau keramaian hiburan yang tidak memberi apa-apa signifikan pun kepada kita. Sambutan itu akan dilihat sebagai sebuah propaganda Umno bukan sebuah 'moment' penting untuk rakyat jelata. – msomelayu.blogspot.com, 28 Ogos, 2013.
- Mohd Sayuti Omar (TMI)
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment