Thursday 11 July 2013

PETISYEN PAS BATALKAN KEMENANGAN BN DUN SELISING DITOLAK MAHKAMAH

hiasan

Kota Bharu, Rabu, Mahkamah Pilihanraya telah membuat keputusan pertama terhadap satu petisyen keputusan pilihanraya.

Mahkamah berkenaan menolak petisyen yang difailkan PAS untuk membatalkan keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.



Hakim Pilihan Raya Datuk Zamani Abdul Rahim, yang membuat keputusan itu, berkata ini kerana pihak pempetisyen gagal mematuhi peraturan penyampaian.

"Petisyen itu tidak disampaikan dengan sempurna dan dengan ini petisyen ini tidak sah dan ditolak dengan kos," katanya ketika membacakan keputusan itu.

Zamani kemudiannya mengarahkan pihak pempetisyen membayar kos RM30,000.

Pada PRU13 lalu, DUN Selising dimenangi calon BN Zulkifle Ali yang mengalahkan calon PAS, Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas, Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Petisyen itu difailkan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Selising, Semsudin Muhammad.

Pada prosiding hari ini, Zamani turut menolak bantahan awal yang difailkan defendan-defendan daripada PAS bagi membatalkan petisyen bagi kawasan Parlimen Bachok, DUN Jelawat dan DUN Gaal yang dibuat oleh BN.

Zamani mengarahkan defendan membayar kos RM30,000 bagi setiap bantahan awal yang ditolak itu.

Sehubungan itu, beliau menetapkan sembilan hari iaitu dari 12 hingga 15 Ogos dan dari 18 hingga 22 Ogos ini untuk tarikh perbicaraan bagi petisyen kawasan Parlimen Bachok dan DUN Jelawat, serta dari 1 hingga 5 Sept untuk tarikh perbicaraan petisyen DUN Gaal.

Bagi kawasan Parlimen Machang, Zamani menetapkan 16 Julai ini untuk mendengar keputusan bantahan awal dan jika ditolak, beliau menetapkan 8 hingga 12 Sept sebagai tarikh perbicaraan. 

No comments: