Produser filem dan pelakon, Julie Dahlan, 60, mengesahkan dia kini menghidap penyakit buah pinggang sejak dua bulan lalu. Malah, Julie Dahlan berkata, dia kini atas nasihat doktor terpaksa menjalani rawatan dialisis setiap tiga kali seminggu di hospital.
"Sebenarnya saya sudah lama tidak keluar dan aktif melakukan aktiviti seni seperti dulu, lebih-lebih lagi selepas disahkan doktor menghidap penyakit buah pinggang ini. Saya dinasihatkan doctor untuk ke hospital setiap 3 kali seminggu untuk mencuci darah (rawatan dialisis) sejak menghidap penyakit ini.
"Saya memang sudah tidak sekuat dulu, malah mata pun sudah tidak berapa nampak. Doktor juga nasihatkan saya untuk berehat dan berpantang daripada makan makanan seperti makanan laut serta minum dan makan mengikut sukatan yang ditetapkan," katanya kepada murai.com.my ketika dihubungi.
Bukan sahaja dihidap penyakit buah pinggang, malah sejak berusia pertengahan 50-an, Julie Dahlan akui dia sudah pun menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi yang kini cukup melengkapi penyakit 3 Serangkai.
Meskipun pahit menerima kenyataan itu, namun Julie Dahlan berkata dia perlu kuat untuk melawan penyakit yang dihidapnya.
"Bohonglah , kalau saya kata saya tidak pernah rasa down atau sedih, tetapi saya kuatkan juga dan perlu tabah menghadapi kenyataan ini. Namun saya lebih kuat apabila punya anak-anak yang sentiasa berada disamping saya. Malah, mereka banyak beri kekuatan kepada saya," luahnya lagi.
Biarpun tidak dapat bekerja seperti dulu, namun Julie Dahlan memberitahu syarikat produksinya, JD Productions Sdn Bhd masih diteruskan dan dikendalikan anak bongsunya yang juga seorang pelakon iaitu, Siti Hani Nur Zara Harmi atau Hanny.
"Syarikat kami masih berjalan seperti biasa, malah sebelum saya sakit, saya sempat menyiapkan dua telemovie untuk siaran televisyen iaitu PA I Love You dan Puteri Salju.
Kini, segala projek drama atau telemovie yang hendak dijalankan bakal diuruskan oleh anak saya iaitu Hanny kerana saya belum boleh kembali untuk bekerja dan hanya menjalani rawatan susulan di rumah," tambahnya lagi - sumber
No comments:
Post a Comment