Monday, 27 May 2013

TIDAK ADA KEPERLUAN UNTUK LETAK JAWATAN - TIMB. PENGERUSI SPR


SHAH ALAM  : Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan tidak ada keperluan untuk beliau dan pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof melepaskan jawatan yang disandangnya kini seperti yang didesak pemimpin parti pembangkang.

Malah, Wan Ahmad berkata pelantikan tersebut terletak di bawah bidang kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Justeru tidak timbul soal sama ada beliau atau pengerusinya Abdul Aziz perlu melepaskan jawatan tersebut semata-mata bagi memenuhi kehendak pakatan pembangkang.

Katanya lagi, kejayaan pakatan pembangkang mengekalkan kemenangan di beberapa buah negeri seperti di Selangor, PulauPinang dan Kelantan adalah bukti jelas bahawa SPR telah menjalankan proses pilihan raya secara telus mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kenapa kita perlu letak jawatan kerana kita (SPR) telah menjalankan pilihan raya dengan betul dan diterima rakyat.

"Kita dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, kalau YDPA titah kita letak jawatan lain ceritalah," tegasnya.

"Pembangkang yang kata kita buat pilihan raya tidak berjaya tetapi seluruh dunia dan negara mengiktiraf pilihan raya yang SPR lakukan dan negeri yang mereka (pembangkang) perintah pun mereka iktiraf kemenangan mereka sebab itu cepat-cepat mereka terima keputusan dan angkat sumpah menjadi kerajaan negeri," katanya kepada Antarapos.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam dalam Kongres Nasional PKR ke-9 menggesa Pengerusi SPR juga timbalannya meletakkan jawatan segera atas alasan berlaku penipuan pada pilihan raya umum lalu.

Malah, Azizah turut mendakwa SPR bertanggungjawab merancang kemenangan Barisan Nasional (BN) meraih 133 kerusi Parlimen sekali gus membuka peluang menubuhkan kerajaan persekutuan berbanding 89 kerusi yang diperolehi Pakatan Rakyat.

Desakan perletakan jawatan itu juga turut datang dari ketua umum PKR.

Anwar menegaskan, tidak ada tolak ansur dalam penipuan pilihan raya, apatah lagi SPR memaksa rakyat menerima sahaja keputusan yang diumumkan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad menyifatkan desakan parti pembangkang itu sebagai tidak munasabah sekali gus cubaan melanggari sistem perundangan dalam negara. 

"Sejak dulu lagi mereka akan mencari alasan bila kalah pilihan raya, bila menang pilihan raya mereka terima bila kalah tidak terima. Salah dari segi perlembagaan," ujarnya.

Wan Ahmad juga turut menempelak pemimpin pembangkang yang tidak berpegang kepada prinsip dan mencabar semua pemimpin PR yang menjadi ahli Parlimen agar tidak hadir untuk upacara angkat sumpah pada 24 Jun nanti sebagai bukti membantah keputusan PRU13 seperti mana yang dicanang kepada rakyat.

"Pucuk pimpinan pembangkang tidak tunjuk tauladan yang betul kepada ahli-ahli mereka.

Parlimen angkat sumpah nanti, untuk mengambil kerusi di Parlimen 24 Jun, saya nak tengok mereka (pembangkang) ini akan hadir mesyuarat Parlimen untuk angkat sumpah atau tidak," tambahnya. 

No comments: