Hiasan
Kuala Lumpur : Lapan sampel serbuk teh yang diuji Perbadanan Bioteknologi Melaka didapati mengandungi bahan toksik yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna termasuk menyebabkan kanser jika kandungannya berlebihan dalam darah.
Sampel berkenaan diambil dari pelbagai lokasi secara rawak iaitu sekitar Pantai Dalam (tiga serbuk), Bandar Tasik Selatan (satu serbuk), Sentul (satu serbuk), Seri Kembangan (satu serbuk) dan Melaka (dua serbuk).
Bekas Pengarah Urusan Perbadanan Bioteknologi Melaka Datin Norsabrina Mohd Noor berkata, keputusan terhadap lapan serbuk teh berkenaan diperoleh selepas dirawat selama 24 jam oleh tiga penyelidiknya, Hasnizawati Mohamed Dahlan, Nor Farhana Ruslan dan Noorain Ramli. Menurut beliau, selepas melalui tiga peringkat eksperimen, hasilnya menunjukkan serbuk teh dari sampel Bandar Tasik Selatan mengandungi paling banyak toksik dibandingkan tujuh serbuk lain.
“Perbandingan ini dibuat dengan melihat nilai kepekatan yang mengakibatkan sel mati. Semakin rendah nilai kepekatan bermaksud semakin tinggi tahap toksik.
“Tahap toksik semua serbuk teh ini boleh dirumuskan, Bandar Tasik Selatan menunjukkan kandungan toksik paling banyak iaitu dua miligram diikuti serbuk teh dari Seri Kembangan, Pantai Dalam 1 dan Melaka 1, Pantai Dalam 3, Sentul dan Pantai Dalam 2 dan Melaka 2,” katanya.
Keputusan itu diperoleh menerusi ujian dikenali MTS Cytotoxicity Assay, ia adalah prosedur menggunakan prinsip perbezaan warna dan uji kaji ini dijalankan untuk menentukan kesan sitotoksik terhadap sel V79B (sel fibroblas berasal dari paru-paru hamster). Katanya, ketoksikan adalah kebolehan sesuatu bahan yang mengakibatkan kematian sel manakala ujian itu adalah proses saringan menilai tahap keselamatan bahan terbabit pada manusia.
“Ujian saringan ketoksikan secara in vitro (terhadap sel) dan in vivo (terhadap haiwan) perlu dilakukan sebelum ujian pada manusia. Ujian in vitro paling sensitif untuk menjangka kesan toksik terhadap manusia,” katanya - myMetro
No comments:
Post a Comment