Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap calon pembangkang yang akan menentangnya bagi kerusi Dun Pangkor hanyalah seorang budak mentah yang masih belum mengerti masalah sebenar pemerintahan berbanding beliau.
Zambry berkata, beliau yakin mampu mengekalkan kemenangan di kerusi Dun tersebut kerana lebih dipercayai dan rakyat sendiri telah melihat cara beliau bekerja menyelesaikan masalah mereka selama ini. “Hang pa (kamu) semua kenal ke siapa nak lawan aku ni? …..Saya anggap dia macam adik saja. Masa dia nak lawan saya… saya fikir dia orang Lumut ke? Tetapi kemudian saya diberitahu, budak itu kerja dengan Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor).
“Pada awalnya Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua pembangkang) nak lawan saya…tapi lepas dia fikir agaknya, dia hantar pula budak ini,” katanya ketika berucap di hadapan jentera pilihan raya Dun Pangkor dan penduduk Kampung Teluk Dalam, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan yang juga calon Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha. Merujuk kepada gelaran ‘budak itu’ dalam ucapannya, Zambry berkata, calon muda yang menentangnya itu belum mengetahui cabaran memerintah apatah lagi dalam usaha membantu rakyat.
Pada masa sama beliau berasa kasihan melihat cara berkempen lawannya itu yang dilihat berusaha keras hingga membuat janji kononnya mampu menyelesaikan semua masalah di Pangkor. Sedangkan hakikatnya seperti yang dikatakan beliau, tidak semudah seperti memiliki kuasa jin dari lampu ajaib atau tikar boleh terbang seumpama di dalam filem Melayu yang boleh membuat semua perkara dengan pantas.
“Saya yakin orang Pangkor tahu siapa calon yang hendak dipilih. Tetapi pada masa sama tolong berjaga-jaga dengan taktik pembangkang. “Dalam tempoh tiga hari ini, saya percaya pembangkang akan jaja lebih banyak cerita fitnah termasuk melalui blog. “Inilah taktik terakhir mereka tetapi berhati-hati agar jangan termakan dengan taktik pembangkang tersebut,” tegasnya.
Ketika tsunami politik di Perak pada 2008, Zambry antara calon Barisan Nasional (BN) yang berjaya memperoleh majoriti besar iaitu 5,785 dengan mengalahkan calon PR, Pakhrazi Musa ketika itu. Dalam usaha mempertahankan kerusi Dun Pangkor, Zambry akan berhadapan pertandingan tiga penjuru, Ahad ini. Beliau akan menentang calon muda PKR, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli, 28, dan calon Bebas, J. Benard Parenpa, 36.
No comments:
Post a Comment