Tuesday, 30 April 2013

SYED AZIDI TIDAK GENTAR SAMAN HUSAM....!!!


Syed Azidi
KOTA BHARU –  Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz akan memfailkan kenyataan bela dirinya dalam kes saman fitnah yang difailkan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa sebelum 22 Mei ini.

Beliau berkata, akan komited untuk lawan saman kedua Husam ini sebagaimana saman pertamanya dahulu yang masih bertangguh di Mahkamah Tinggi Kuantan.
“Tidak ada masalah. Saya akan failkan pembelaan sebelum 22 Mei ini,” katanya ditemui di sini hari ini.
Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong memerintah Syed Azidi supaya memfailkan kenyataan bela dirinya sebelum 22 Mei selepas mengadakan perjumpaan dengan pihak terbabit di dalam kamarnya.
Anis Afiqah Che Rahim, peguam yang mewakili Syed Azidi, memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga menetapkan 5 September sebagai tarikh untuk mendengar saman itu.
Pada 21 Februari tahun ini, Husam, yang menyandang jawatan naib presiden Pas, memfailkan saman terhadap penulis blog itu kerana didakwa menyiarkan satu kenyataan fitnah dalam akhbar Sinar Harian edisi Kelantan bertarikh 25 Julai tahun lepas.
Dalam kenyataan tuntutannya, Husam berkata kenyataan itu disiarkan dengan niat jahat dan merosakkan maruah, kredibiliti dan nama baiknya.
Husam menuntut ganti rugi RM10 juta, perintah yang menghalang defenden daripada memberi komen atau menyiarkan kenyataan bersifat memfitnah terhadapnya dan permohonan maaf oleh defenden dalam akhbar Sinar Harian.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Azidi menegaskan sentiasa bersedia menghadapi setiap saman exco kanan kerajaan negeri Kelantan itu dan menasihatkan agar Husam lebih profesional terhadap saman yang dikemukakannya.
“Jangan hanya jadi juara menyaman saja. Kalau berani saman mestilah juga kena berani berhadapan peguam untuk disoal balas. Jangan duduk asyik hendak mengelak bila tiba masanya.
“Husam saman saya dua kali, saman pertama patut bicara pada 18-19/12/2012 tapi bila hari bicara minta tangguh kes. Begitu juga berlaku pada hari perbicaraan seterusnya, minta tangguh juga,” katanya.
Dalam nada sinis beliau menambah “saman lama asyik tangguh sekarang saman baru pula”.
Oleh AMIRUL HAFIZ DI SINI

No comments: