Thursday, 25 April 2013

JEMAAH TABLIGH RISAU APABILA PUAK 'TAK PERNAH BERPAKAT' MEMERINTAH...???


Sesekali Azzman Azif (bukan nama sebenar) membetulkan kedudukan kopiah putih di atas kepalanya ketika duduk bersembang di tangga Masjid Jamek Sri Petaling dekat sini.

Mungkin kerana topik perbualan menyentuh soal politik, maka beliau berfikir sejenak sambil menarik nafas sebelum memberikan pandangannya berhubung pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Sepanjang terlibat dalam usaha dakwah tabligh sejak 30 tahun lalu, kerajaan tidak pernah menyekat kerja-kerja dakwah tabligh di negara ini.

"Ana (saya) risau jika berlaku perubahan pada kerajaan selepas PRU ke-13 nanti kita tidak dapat melihat kebebasan itu lagi," kata karkun tabligh berusia lingkungan lewat 50-an itu.

Pekerja sebuah syarikat swasta terkemuka itu singgah duduk bersama sekumpulan remaja yang sibuk membincangkan isu DAP menggunakan simbol PAS pada PRU13 yang disifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS yang berusia hampir sedekad itu.

"Roket mendarat ke bulan, satu berita baik, namun perlu disedari bahawa kehadiran roket bukan saja-saja.

"Mereka datang ke bulan untuk mengaut hasil kekayaan bulan sebelum kembali ke tempat asal," katanya.

Kebimbangan Azzman Azif timbul kerana satu ketika dahulu PAS pernah melabelkan jemaah tabligh sebagai "sesat" semata-mata kerana enggan berkompromi dengan hujah "politik adalah agama dan agama adalah politik".

Beliau berkata PAS hanya pentingkan kuasa sehingga mereka sanggup menghalalkan perkara yang haram demi perjuangan parti seperti menfitnah, mencaci dan sebagainya, kononnya untuk mendapatkan kuasa dan ini bukan cara Rasulullah S.A.W mahupun nabi-nabi terdahulu daripadanya.

"Ana risau kebebasan untuk menyebarkan kalimah toyyibah, 'La Ila Ha Illallah, Muhammadur Rasulullah' tidak akan dapat dilakukan lagi sekiranya berlaku perubahan pada pucuk pemerintahan negara nanti dan perkara seperti ini tidak mustahil akan berlaku.

"Namun ini tidak bermakna bahawa ana taksub pada sesuatu parti politik tertentu sebaliknya jemaah tabligh berdakwah bukan untuk politik atau mendapatkan kuasa, jauh lagi untuk mencari kedudukan mahupun kekayaan.

"Kerja tabligh adalah usaha berterusan mengingatkan orang awam tentang kehebatan Nabi Muhammad S.A.W dan sunnah-sunnah baginda yang berada di landasan serta jalan agama yang sebenar," katanya kepada Bernama Khamis.

Beliau memuji keprihatian yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melapangkan masa untuk bertemu jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling pada 30 Mac lepas.

"Ini bukan kali pertama seorang PM bertemu dengan jemaah tabligh kerana saya masih ingat lagi beliau pernah hadir di perhimpunan Jamaah Tabligh Sedunia di Nilai, Negeri Sembilan pada 2011," katanya.

Walaupun tidak ada data rasmi mengenai jumlah sebenar jemaah tabligh di negara ini, namun bilangannya dianggarkan melebihi 250,000 orang berdasarkan bancian yang dibuat ketika Ijtimak Tabligh Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling pada 2012.

Seorang penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Ramlan pula berkata ramai orang tidak sedar kemudahan cuti tanpa gaji oleh kerajaan memudahkan urusan karkun baru keluar belajar di India, Pakistan dan Bangladesh (IPB) selama empat bulan.

Beliau berkata setiap karkun baru disyaratkan keluar IPB bagi mendengar nasihat-nasihat alim ulama dan mempelajari cara kerja usaha dakwah dan tabligh mengikut tertib yang betul.

"Ramai orang tidak tahu dan dapat memahami kenapa kerajaan memberi kemudahan tersebut bagi memudahkan mereka yang terlibat dalam kerja dakwah untuk meneruskan usaha dakwah," katanya yang telah 12 tahun menyertai jemaah tabligh.

Beliau berkata tabligh dan PAS ternyata berbeza kerana perjuangan tabligh lebih bersifat antarabangsa dan tidak terikat dengan isu-isu setempat malah perkara politik langsung tidak pernah disentuh ketika 'Bayan'.

Ramai yang salah anggap bahawa tabligh dan PAS adalah sama walaupun masing-masing dipimpin Majlis Syura dan mempunyai matlamat sama untuk mendaulatkan Islam namun metadologi perjuangan berbeza.

Bayan adalah majlis penerangan bagi menerangkan maksud dan tujuan tabligh iaitu berkisar mengenai enam sifat perlu diusahakan bagi membina keyakinan kepada kekuasaan Allah S.W.T dan keyakinan yang teguh kepada sunnah Rasulullah S.A.W.




1 comment:

Unknown said...

SPR LAKNATULLAH..TAHNIAH KERANA TELUS...SEMOGA ALLAH MELAKNAT KAMA ORG2 SPR YG XJUJUR DAN TELUS NI...SEMOGA ANAK BINI MEREKA YG MEMAKAN HASIL WANG HARAM RASUAH TU BERLAKU BIADAB DGN MEREKA DAN PORAK PERANDAKAN MEREKA SEMUA...AMIN... KECEWA SGT DGN SISTEM MALAYSIA YG DAH ROSAK NI....