Tuesday, 12 February 2013

BILA UMAT BERPECAH-BELAH......


DI-TENGAH-TENGAH pengaruh globalisasi yang semakin garang dan berkembang, di tengah-tengah kebangkitan China sebagai suatu kuasa baru di rantau Timur, negara umat Islam umumnya menghadapi pertarungan sesama sendiri dan tidak mudah untuk dileraikan.


Dulu semasa penjajah masih berkubu di bumi orang Islam, umat Islam memilih faktor bersatu untuk menghalau penjajah. Apabila kemenangan dicapai umat Islam pula berantakkan sesama sendiri yang menyebabkan agenda utama untuk membangun kekuatan tidak dijadikan fokus.

Umat Islam memiliki empat faktor yang mempunyai potensi untuk bangun sebagai umat maju dan bertamadun. Faktor-faktor ini adalah hikmah terbesar kurniaan Allah supaya umat Islam terus maju dan bersatu untuk menggembleng bakat, tenaga dan kepakaran supaya umat Islam maju kehadapan bukannya merosakkan umat dan Islam itu sendiri.

Pertama, Islam itu sendiri bukan sekadar suatu sistem kepercayaan, ia juga sebagai cara hidup. Asas ini sesuatu yang penting diintegrasikan supaya produktiviti rohaniah tinggi dan produktiviti amaliah tinggi sama.

Kedua, umat Islam pernah membangun tamadun di zaman Abbasiyyah dan Andalusia untuk tempoh yang lama. Kejayaan itu dan kejatuhannya harus jadi sumber reflektif yang tinggi supaya sebab kejatuhannya tidak diulangi lagi oleh umat di zaman ini.

Ketiga, jumlah umat Islam di seluruh dunia melepasi angka 1.6 bilion. Jumlah yang seramai ini sekiranya mendapat pendidikan yang tidak saja memberi fokus kepada ilmu agama tetapi juga ilmu yang mendukung jalur ketamadunan, umat Islam bakal memiliki sumber daya insan yang berkualiti.

Keempat, negara-negara umat Islam memiliki kekayaan sumber hasil bumi yang banyak. Malangnya, sejak sebelum merdeka malah selepas merdeka setengah negara umat Islam masih bergantung kepada pihak luar dalam memajukan sumbernya sehingga yang mereka perolehi amat sedikit berbanding pihak yang mengusahakannya.

Malangnya juga, umat Islam terjebak dengan permusuhan sesama sendiri yang secara tidak langsung melemahkan antara satu dengan lain.

Permusuhan kerana kelainan fahaman dalam beragama menjadi adegan hodoh antara Syiah dan Sunni, aliran dalam mazhab dan tidak bermazhab, kisah takfir yang berlanjutan, label-label buruk seperti hisbus syaitan, taghut, firaun dan lain-lain yang membawa perpecahan parah dan tidak diketahui hingga bila ia dapat dileraikan.

Sebahagian umat Islam menjadi pelampau dan memilih jalan ganas bagi mencapai cita-cita. Cara perbincangan semakin tiada, jalan muzakarah tertutup rapat. Yang ditonjolkan ialah dominasi puak dan pengaruh politik tanpa mengambil kira apa akan terjadi akhirnya.

Sedangkan pihak lain mengambil kesempatan dari keadaan yang ada mengukuhkan rempuhan globalisasi dengan mendukung fahaman hak asasi tanpa agama, aliran pasca-modernisme yang sifatnya semakin anarki, aliran lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang menolak fitrah kehidupan dan bentuk penjajahan baru atas asas teknologi siber dan media baru yang dikagumi generasi baru tanpa tahu latar maksudnya.

Umat Islam menjadi semakin tidak rasional terhadap sesuatu isu, membina persepsi negatif dan mudah menghukum tanpa usul periksa dan sasarannya ialah sama seagama dan akhirnya menghancurkan sendiri jamaah dan ukhuwah.

Pihak-pihak lawan yang anti Islam tidak perlu bersusah-payah memerangi orang-orang Islam dengan senjata yang dimilikinya tetapi memadai menyediakan teknologi canggih yang menjadi alat sesama Islam berseteru.

Perseteruan ini menjadi lebih canggih dengan teknologi siber dan media yang ada dan bakal mempercepatkan keruntuhan umat yang akhirnya kekal sebagai pengguna setia kekuatan orang lain dalam ilmu dan pendidikan, dalam teknologi dan sains dan akhirnya umat Islam menjajah dirinya sendiri dan tidak diketahui entah bila akan selesai.

Kena ada manusia Islam yang berjiwa besar menginsafi hal ini supaya bakat yang dimiliki, kepakaran yang ada, profesionalisme yang terdapat digunakan dengan bijaksana untuk menyusun agenda perubahan dan kemajuan.

Kalangan ilmuan dan ulama harus berusaha melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah terbaik mungkin menginsafi kecelaruan pemikiran yang ada, tidak berlaku adil terhadap kelompok sasaran membawa ilmuan dan pendakwah kepada jiwa besar kasih sayang dan belas kasihan seperti yang dimiliki oleh Rasulullah SAW yang berupaya menyerap kesabaran dan mengambil jalur bijaksana mendekati sasaran.

No comments: