Saturday 12 January 2013

PADERI INDONESIA AKUI KALIMAH ALLAH HANYA UNTUK ORANG ISLAM


HIASAN

Seorang paderi dari Indonesia, Jahja Iskandar mengakui bahawa kalimah Allah adalah khas untuk umat Islam.

Perkara itu didedahkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang merujuk kepada perakuan di dalam buku tulisan paderi tersebut iaitu Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular.

Katanya, berdasarkan buku itu, Jahja memberitahu bahawa kata yang tepat bagi nama Tuhan sembahan orang Kristian berasaskan bahasa asli perjanjian lama, iaitu Ibrani (bahasa digunakan orang Yahudi) ialah Elohim.

Menurut Wan Zahidi, jika diterjemah ke bahasa Arab, maka kata yang tepat bagi menggantikan Elohim ialah Ilah bukan Allah, berasaskan terjemahan paling awal ke bahasa Arab iaitu Inskripsi Zabad pada tahun 512.


"Sehubungan itu, Yayasan Lentera Bangsa yang diasaskan oleh Jahja telah menerbitkan kitab suci Indonesia Literal Translation (KS-ILT) yang mana terjemahan itu tidak lagi tertera kalimah Allah, sebaliknya menggunakan Elohim sebagai nama sembahan orang Kristian.


"Menurut Jahja juga, penggunaan kalimah Allah dalam versi terjemahan baharu al kitab oleh Lembaga Al Kitab Indonesia adalah bertentangan dengan ketetapan Konferensi Para Penterjemah Al Kitab Bahasa Indonesia pada 1952 yang diadakan di Jakarta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jahja menerusi bukunya Mengapa Nama Yahweh Semakin Popular, di halaman 116 memberitahu, apabila dilihat dalam realiti sehari-hari, tidak dapat dinafikan bahawa kalimah Allah secara umum lebih banyak difahami dan berkonotasi sebagai kata nama Tuhan atau sembahan yang khas untuk umat Islam.

Menerusi halaman sama juga, menurut Jahja, daripada ungkapan yang didengar sehari-hari dalam takbir azan: asyhadu an-laa ilaha illallah yang ertinya, kami bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, jelas ditunjukkan bahawa kalimah Allah berkonotasi kata nama dan tidak mungkin berkonotasi sebutan umum.

Jahja berkata, sejauh yang diketahuinya, dalam setiap terjemahan al-Quran, baik dalam bahasa Inggeris mahupun dalam bahasa Indonesia, kalimah Allah tidak pernah diterjemahkan menjadi God atau Tuhan melainkan tetap ditulis sebagai Allah.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Wan Zahidi berkata, dalam surat Jahja kepadanya, paderi itu berharap agar KS-ILT dapat menjadi jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian di Malaysia.

Wan Zahidi berkata, Jahja juga menyatakan kesediaannya untuk datang ke Malaysia bagi memberikan penjelasan jika diperlukan.

Utusan Malaysia


No comments: