Monday 21 January 2013

NIZAR TAK PERNAH HIRAU PASIR PANJANG...


Menteri Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang kerap membangkitkan masalah di situ tetapi tidak menghiraukan langsung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang seolah-olah menunjukkan beliau tidak lagi berminat di DUN Pasir Panjang.

Menurutnya, buat masa ini pengundi di DUN Pasir Panjang ditinggalkan begitu sahaja oleh Nizar.
“Saya berasa kecewa dan sedih terhadap pengundi di kawasan DUN Pasir Panjang yang ditinggalkan oleh wakil rakyat mereka.
“Wakil rakyat di kawasan tersebut yang diwakili Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin seolah-olah lebih mengutamakan kawasan lain yang diwakilinya daripada penduduk di DUN Pasir Panjang.
“Saya tahu bahawa DUN ini ditinggalkan oleh wakil rakyatnya dan saya tidak tahu samada wakil rakyat ini memberi perhatian yang lebih kepada tempat lain dan tidak kepada Pasir Panjang.
“Dalam sidang DUN sebelum ini saya menimbulkan perkara ini kerana saya amat sedih sepanjang Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin menjadi wakil rakyat, saya tidak dengar sebarang masalah samada soalan secara lisan mahupun secara bertulis atau pun semasa sesi perbahasan mengenai masalah di DUN Pasir Panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Gelanggang Futsal dan makan tengah hari bersama Komuniti Kampung Padang Tembak dan Siswa Siswi Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Kampung Padang Tembak, Teluk Muroh, dekat Lumut, Ahad.
Terdahulu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut telah merasmikan Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya Pusat Daerah Mengundi (PDM) Damar Laut Cawangan UMNO Batu 4, Segari dekat Sitiawan.
Menurutnya, ketika ditanya kepada Nizar, ADUN Pasir Panjang itu mendakwa semua masalah yang melibatkan DUN Pasir Panjang telah diselesaikan bersama pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Beliau berkata, bagaimanapun, hal ini telah dinafikan oleh pihak MPM.
“MPM telah memaklumkan daripada 50 aduan, tiada satu pun yang datang daripada Pejabat DUN Pasir Panjang dan ini nampaknya dia berbohong lagi, dalam sidang DUN yang baru juga masih tidak ada perkara yang dibangkitkan,” katanya.
Beliau juga menyifatkan Nizar mungkin sudah tidak berminat lagi dengan DUN Pasir Panjang kerana setiap kali berbahas di dalam dewan, beliau sering membangkitkan isu permasalahan di Parlimen Bukit Gantang.
- NORAINI MAHAMAD ( Perak Today )

No comments: