Jika anda selalu marah dan barang-barang dalam rumah sering menjadi mangsa.... apa kata anda fikirkan cara lain .... Kini terdapat satu servis yang menawarkan satu bilik yang boleh melepaskan kemarahan anda itu...
Novi Sad (Serbia) : Savo Duvnjak memerhatikan sekeliling bilik, mengangkat pemukul besbol dan memukul apa saja dilihatnya dari katil, meja, laci, kerusi sehingga tidak ada lagi yang tinggal untuk dimusnahkan.
Ia bukanlah perbuatan jenayah, sebaliknya Bilik Melepaskan Kemarahan.
“Sungguh lega,” kata Duvnjak yang berpeluh dan tercungap-cungap sambil melihat kemusnahan dilakukannya.
“Saya sudah melepaskan segala tenaga negatif saya. Tahun lalu sungguh mencabar dan saya mahu mengakhirinya dengan melepaskan geram,” kata pemuda berusia 18 tahun itu.
Sejak dibuka di bandar Novi Sad, utara Serbia pada Oktober lalu, bilik itu menarik banyak perhatian di negara Balkan berkenaan. Peperangan selama dua dekad, krisis politik, kesukaran ekonomi menyebabkan ramai penduduknya berdepan dengan tekanan.
Didorong oleh ‘Bilik Melepaskan Kemarahan’ yang serupa seperti di Dallas, Texas, bilik versi Serbia itu diasaskan dua remaja belasan tahun yang melihat bilik asal di Amerika Syarikat itu di Internet dan berpendapat ia boleh dijadikan sumber kewangan.
“Secara purata, kami mempunyai seorang pelanggan sehari, cukup untuk kami meneruskan perniagaan ini,” kata Nikola Pausic, pemuda berusia 18 tahun yang menguruskan bilik berkenaan dengan seorang rakan.
Versi Dallas mengenakan bayaran RM225 bagi setiap sesi dan mempunyai pelbagai objek untuk dimusnahkan, termasuk komputer dan perabot pejabat. Bilik versi Serbia itu menggunakan garaj yang sudah diubah suai dan hanya menempatkan barang asas untuk dimusnahkan dan lebih murah.
Dengan mengenakan bayaran kira-kira RM18, pelanggan boleh memecahkan kerusi, meja, rak baju dan rak buku bersama-sama dengan barangan lain seperti bingkai gambar, tin kosong serta kontena plastik. Pelanggan disyaratkan memakai topi keledar, pelindung mata dan sarung tangan.
Selepas itu, mereka akan dihiburkan dengan muzik sebelum meninggalkan tempat itu untuk dibersihkan oleh pekerja sebelum menerima pelanggan lain.
“Puluhan pelanggan sudah datang ke sini terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
“Ia juga popular di kalangan wanita,” kata Pausic.
Menurutnya, pelanggan kebiasaannya memerlukan masa lima minit untuk memusnahkan segala-galanya di dalam bilik itu.
Meskipun ia cara mudah untuk melepaskan geram, pakar memberi amaran yang projek seperti ini tidak boleh menggantikan terapi menguruskan kemarahan yang sebenarnya. - AP
No comments:
Post a Comment