Tuesday 15 January 2013

KEPUTUSAN MAJLIS SYURA PAS.... SALAH UMNO..???


Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei enggan mengulas mengenai keputusan Majlis Syura PAS berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam kitab Bible.

Beliau yang juga ADUN Seri Muda menegaskan PKR tetap berpegang kepada keputusan yang dipersetujui Pakatan Rakyat pada 2010 bersabit isu itu.


Ketika itu, PR mengambil pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Muslim dengan syarat penggunaan itu tidak menghina Islam.


Majlis Syura PAS semalam menetapkan kalimah Allah tidak boleh diguna dalam Bible Bahasa Melayu sebagaimana yang dituntut oleh DAP pada bulan lalu.

Susulan desakan oleh Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam.

Kenyataan Hadi disokong oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diangkat menjadi pendirian rasmi Pakatan Rakyat bersabit penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Shuhaimi enggan diheret dalam bahas mengenai keputusan Syura PAS itu. Beliau sebaliknya menuduh Umno Barisan Nasional (BN) sebagai sengaja memainkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim.

“Apa juga yang kita keluarkan pada 2010, itulah yang kita guna pakai. Ini adalah mainan politik Umno BN. Mengapa kita harus terpengaruh?,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Majlis Syura PAS menegaskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam kitab Bible walaupun ia boleh disebut oleh sesiapa sahaja.

Kalimah Allah tidak boleh diterjemah ke dalam apa bahasa pun dan sebarang usaha untuk melakukan sesuatu yang berlainan dengan keputusan itu hendaklah dicegah, menurut Syura PAS yang sekali gus mencabar pendirian Pakatan Rakyat bersabit isu itu. - Antarapos


ARTIKEL SEBELUMNYA :


Isu Kalimah Allah: Keputusan Majlis Syura PAS Akibat Tekanan

KUALA LUMPUR : Keputusan terbaru Majlis Syura PAS yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dibuat selepas menerima tekanan pelbagai pihak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak mustahil sekiranya PAS mengekalkan keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dengan syarat ia tidak disalahgunakan sekiranya mufti terus mendiamkan diri dalam isu tersebut.
Katanya isu itu jelas menunjukkan ketidaksefahaman yang wujud dalam kalangan pucuk pimpinan PAS yang sanggup membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam demi meraih sokongan pengundi beragama Kristian di Sabah dan Sarawak.
"Nama Allah yang dikhaskan untuk umat Islam pun sanggup dipolitikkan. Sebelum Majlis Syura mereka buat keputusan, kita telah lihat drama di kalangan pucuk pimpinan PAS bila ada pihak yang bersetuju dan ada yang tidak," katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja di Seminar Transformasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2013 di sini, Isnin.
Ahmad Maslan juga percaya masyarakat tidak sewenang-wenangnya akan melupakan pendirian PAS berhubung isu itu pada 2010 kerana isu sama telah dicanang secara meluas menerusi ceramah dan sidang media pihak pembangkang. "Umno sudah pasti tidak akan menggadaikan kalimah Allah. Saya sendiri membaca dan mendapatkan pandangan ulama dan mufti tentang perihal ini dan tidak berbuat sesuka hati," katanya.
Pada mesyuarat malam tadi, Majlis Syura PAS yang dianggotai 15 anggota akhirnya memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu, selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak.
Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menyatakan, menterjemah perkataan 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.
Isu penggunaan kalimah Allah timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapannya sempena sambutan Krismas lalu mendesak kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.-BERNAMA

No comments: