Thursday, 20 December 2012

KELUARGA KESAL, SUSPEK DILABEL PENGGANAS.....

Keluarga Mohd Noor Fikrie Kesal Allahyarham Dilabel Pengganas

PONTIAN – Keluarga Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, rakyat Malaysia yang mati ditembak polis Filipina di Davao, Jumaat lalu terkilan kerana Allahyarham dilabelkan sebagai pengganas.

Menurut adik mangsa, Mohd Noor Hafiz, 24, mereka sekeluarga amat kesal dengan gelaran tersebut sedangkan pihak berkuasa Filipina hanya menggelar abangnya sebagai suspek.

“Walaupun dengan satu perkataan, namun ia sudah cukup mencemar dan menjatuhkan imej kami sekeluarga,” katanya yang menyifatkan arwah sebagai seorang abang dan ayah yang baik, bertanggungjawab selain mudah tersenyum.


Beliau yang kelihatan hiba selepas pengkebumian abang sulungnya itu di TanahWakaf Perkuburan Islam Kampung Parit Abdul Rahman di sini pagi Khamis berharap,arwah tidak lagi dilabelkan dengan panggilan itu.

Turut hadir pada majlis pengkebumian Allahyarham ialah isteri Siti Sarah Raihana dan tiga anak iaitu Aina Sofia, 6, Aisyah Nadia, 5 dan Yati Izati, 4, serta ibu bapa Allahyarham.

Sementara itu, bapa Allahyarham Abd Kahar Sirun, 53, turut melahirkan perasaan sama dan mempersoalkan bukti yang dapat mengaitkan anaknya itu dengan kegiatan keganasan.

“Mana bukti dia pengganas, dia ada letupkan bangunan ke?, dia ada buat keganasan ke?,” katanya.

Menurut Abd Kahar, kali terakhir beliau berjumpa anaknya adalah pada Mac lepas dan tidak menyangka ia merupakan pertemuan terakhir. – BERNAMA

*** BICARA PERJUANGAN juga ingin memohon maaf, di atas tajuk artikel yang berkaitan, lihat di sini... Bukan tujuan BICARA PERJUANGAN ingin memalukan keluarga allahyarham, tetapi tajuk artikel itu adalah lebih kepada pertanyaan.... Al-Fatihah kepada arwah semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya.

No comments: