Saturday, 20 October 2012

TUN DR. SITI HASMAH MALUKAN UMI AIDA...???

KUALA LUMPUR – Pelbagai isu yang membawa kepada kontroversi telah berlaku ketika penukaran pengarah, skrip dan pelakon utama bagi pementasan teater Tribute Teater Tun Siti Hasmah yang akan berlangsung November ini.

Selaku Penerbit Eksekutif produksi tersebut,Datin Paduka Umie Aida merasa segan dan terkilan dengan apa yang telah berlaku.
Tetapi setelah penjelasan diberikan kepada bekas wanita pertama Malaysia itu mengenai isu pertukaran pelakon dan beberapa perkara lagi, dia memahami situasi yang terjadi.
“Teater ini berkisahkan tentang seorang tokoh yang kita semua hormati.
“Manakala dia pula seorang yang sangat memahami, merendah diri dan sudi meluangkan masa berkongsi cerita peribadinya jadi saya amat menghargai peluang yang saya terima ini .
“Setelah apa yang berlaku, saya merasa sedikit terkilan kerana saya segan untuk berulang-ulangkali memberitahu Tun Siti Hasmah mengenai perubahan dan rombakan setelah dia bersungguh-sungguh berkongsi cerita tentang dirinya.
“Tetapi syukur kerana Tun Siti Hasmah faham bahawa perkara sebegini berada di luar bidang kuasa saya dan bukannya disengajakan,”jelasnya yang amat mengagumi tokoh tersebut.
Menjawab isu pelakon watak Tun Siti Hasmah yang bertukar tangan daripada Sofia Jane kepada Eja, Umie Aida tidak mahu ia diperbesarkan bagi menjaga nama baik semua pihak.
“Saya memahami situasi Sofia Jane dan menghormati keputusan dan pendiriannya. Saya tidak mahu komen lebih kerana dia merupakan sahabat saya.
“Pemilihan Eja pula dibuat setelah dia setuju untuk memberi komitmen penuh bagi pementasan ini.
“Saya tidak membuat pengumuman mengenai pertukaran ini kerana ingin mengelakkan sebarang kontroversi,” jelas Umie Aida mengenai pertukaran pelakon watak Tun Siti Hasmah.
Bercakap kepada media ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Skrin baru-baru ini, aktres hebat itu berkata segala permasalahan yang timbul bukanlah penghalang dan pematah semangatnya untuk memartabatkan arena seni lakonan tempatan khususnya teater.
“Masalah yang berlaku dalam setiap produksi adalah perkara normal.
“Tak kiralah produksi drama, filem mahupun teater pasti ada masalah yang akan timbul.
“Lebih baik kita tinggalkan masalah yang telah berlaku.
“Buat masa ini saya mahu melihat perkembangan persiapan keseluruhan teater Tribute Tun Siti Hasmah ini yang tinggal lagi 50 peratus untuk dilengkapkan.
“Poster, penggambaran antara pelakon bersama Tun Siti Hasmah juga telah dibuat dan saya melihat ia perkembangan baik buat teater ini,”ujarnya lagi.
Pementasan yang diarahkan oleh Erma Fatima ini turut melibatkan Lisa Surihani, Eja dan Esma Daniel.
Ia bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula daripada 9 hingga 19 November depan.
MyNewsHub

No comments: