Friday 12 October 2012

PR TAK PUAS HATI DENGAN PETRONAS


SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) hari ini mempertikai kenyataan Petronas semalam, yang mendakwa operasinya akan terjejas jika bayaran royalti kepada negeri-negeri dinaikkan daripada kadar lima peratus sekarang kepada 20 peratus.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa Petronas bersengkongkol dengan Kerajaan Persekutuan untuk menghentam Bajet PR 2013 yang menjanjikan bayaran royalti pada kadar 20 peratus jika mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13.
“Saya bimbang Petronas dikenakan tekanan untuk sama-sama menghentam dan mengkritik Bajet Pakatan Rakyat.
“Petronas turut terseret dalam permainan politik Barisan Nasional terutamanya apabila Pakatan Rakyat telah jelas bahawa kenaikan mekanisme itu langsung tiada kena-mengena dengan hasil dan operasi Petronas kerana ia datang daripada peruntukan tambahan daripada belanjawan persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Semalam, Petronas mengeluarkan kenyataan bahawa operasi dan hasilnya akan terjejas sekiranya bayaran royalti kepada negeri-negeri dinaikkan kepada 20 peratus.
Petronas juga berkata, peningkatan ini akan menjejaskan pembayaran cukai pendapatan syarikat minyak itu sekali gus keuntungan syarikat itu juga akan merosot menyebabkan bayaran dividen kepada pemegang saham turut berkurangan.
Walaupun kenyataan Petronas itu tidak merujuk kepada janji Bajet PR menaikkan royalti 20 peratus, namun syarikat minyak itu menyatakan kebimbangan akan kehilangan projek terancang dengan modal sebesar RM170 bilion yang dirancang untuk lima tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, tambahan 15 peratus royalti yang terkandung dalam Bajet PR 2013, yang dibentang baru-baru ini, akan diperutukkan daripada belanjawan Kerajaan Persekutuan.
“Pembayaran cukai dan royalti oleh syarikat-syarikat minyak yang lain sebenarnya lebih daripada cukup untuk diperuntukkan sebagai tambahan royalti untuk menaikkan lima peratus kepada 20 peratus,” katanya.
Selain itu katanya, setiap tahun pengeluaran minyak dan gas dijangka mencecah sehingga RM70 bilion, bukan sahaja daripada Petronas tetapi merangkumi syarikat-syarikat minyak yang lain.
“Apakah Kerajaan Persekutuan tidak boleh untuk memastikan bahawa sebahagian kecil daripada RM70 bilion itu dikhaskan kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak dan gas supaya pembangunan di negeri-negeri tersebut boleh berjalan sama cepat dengan di tempat-tempat lain,” jelasnya lagi. – Sinar Harian

No comments: