Wednesday 3 October 2012

FENOMENA HALO DI LEMBAH KELANG TARIK PERHATIAN

Fenomena Halo
Fenomena halo adalah lingkaran cahaya yang terbentuk seperti pelangi yang mengelilingi Matahari - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Orang ramai di sekitar Lembah Klang dapat menyaksikan fenomena Halo semalam.
Halo merupakan fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan yang kadang kala boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan.


Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), terdapat pelbagai jenis Halo secara umumnya muncul disebabkan kristal ais pada awan cirrus sejuk yang berada pada ketinggian lima hingga 10 kilometer di lapisan atas troposfera.
Ia bergantung pada bentuk dan arah kristal ais, cahaya matahari yang dipantul dan dibiaskan oleh permukaan ais berbentuk prisma sehingga sinaran matahari terpecah kepada beberapa warna kerana kesan sebaran udara dan dipantulkan ke arah tertentu, sama seperti kejadian pelangi.

Angkasa dalam kenyataannya dinasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila melihat atau merakamkan gambar Halo secara telus tanpa penurus matahari kerana ia memberi kesan yang merbahaya kepada mata.
Fenomena Halo iaitu satu kejadian biasa yang secara saintifiknya digelar 22 Darjah Matahari Halo.

Pegawai Observatori Negara Langkawi (ONL), Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd Zamri Shah Mastur berkata, Halo adalah fenomena semula jadi iaitu satu lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan, malah boleh berlaku dari sumber cahaya lain seperti lampu jalan.

Beliau berkata, fenomena itu berkemungkinan boleh dilihat 100 hari setiap tahun.

Semalam, sebahagian penduduk di bandar raya ini hairan, malah ada yang mengaitkannya sebagai tanda-tanda kiamat.

Fenomena Halo yang muncul selama dua jam bermula 1 tengah hari semalam menarik ramai penduduk keluar untuk melihatnya dan mengambil gambar.

No comments: