Friday 24 August 2012

HARGA BERAS AKAN NAIK DI PASARAN....



PUTRAJAYA - Kenaikan harga beras yang dijangka berlaku berikutan pembentukan kartel beras antarabangsa sukar dielakkan selagi Malaysia bergantung kepada import dari negara lain.

Sehubungan itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, kerajaan perlu menggandakan usaha memajukan sektor pertanian bagi mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras.

"Kita tidak boleh lari daripada hakikat harga beras akan naik selepas kartel terbentuk antara negara-negara pengeluar beras di Asia Tenggara.

"Satu-satunya jalan keluar ialah kita mesti memanfaatkan tanah luas yang ada untuk mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media Thailand bahawa Menteri Perdagangan Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan Laos akan menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Persekutuan Beras ASEAN pada tahun ini.

Setiausaha Tetap Perdagangan Thailand, Yanyong Phuangrach dilaporkan berkata, matlamat kelima-lima negara pengeluar beras terbesar tersebut adalah mewujudkan kartel beras dan meningkatkan harga beras sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Kerjasama tersebut bagaimanapun dipersoalkan Persatuan Pengeksport Beras Thailand yang bimbang langkah itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati negara jiran yang mengimport beras dari kelima-lima negara terbabit.

Mengulas lanjut, Marimuthu berkata, Malaysia pada suatu ketika dahulu merupakan negara yang mempunyai hasil beras mencukupi tetapi keadaan itu mula berubah setelah kerajaan menitikberatkan pembangunan dalam sektor lain seperti pembuatan.

Beliau berkata, setiap tahun menjelang pembentangan bajet, FOMCA akan menggesa kerajaan menambah peruntukan dalam sektor pertanian bagi memastikan masalah keselamatan makanan tidak berlaku.

"Kita perlu bergantung kepada hasil pertanian dan bukannya cip mikro dari kilang untuk mengenyangkan perut.

"Lebih banyak tanah pertanian perlu dibangunkan selain mewujudkan sistem bagi melahirkan lebih ramai petani muda bagi menggantikan petani sudah lanjut usia," katanya.

No comments: