Saturday, 14 July 2012

SENJATA RAHSIA TEKNOLOGI CANGGIH SUKAN AUSTRALIA

pix_middle


Ia belum tentu menjanjikan pingat tetapi teknologi canggih yang digunakan di Institut Sukan Australia (AIS) boleh membuktikan perbezaan di antara kejayaan di Olimpik atau sebaliknya.

Terletak di kawasan kampus berhampiran Canberra, AIS tidak begitu menarik perhatian tetapi di sebalik jaringan bangunan konkrit, kolam dan padang dimilikinya ternyata berjaya melahirkan beberapa bintang sukan ternama negara itu.


Pengarah AIS, Matt Favier berkata AIS adalah sesuatu yang unik kerana menawarkan perkhidmatan meluas di bawah satu bumbung iaitu pusat sehenti untuk kejurulatihan, pemakanan, analisis prestasi, latihan dan pemulihan.”

“AIS dan Australia masih terkenal kerana menjadi peneraju dalam banyak bidang berkaitan,” kata Favier.

Setiap sukan mempunyai senjata rahsia dan dalam tahun Olimpik, setiap kelebihan diambil kira.

Pasukan berbasikal Australia menggunakan inovasi terkini dalam teknologi basikal dan satelit untuk membina sebuah trek maya yang bagaikan simulasi setiap bukit dan cerun sirkit di London itu.

Sebaik pasukan tiba di kem latihan pra-Olimpik di Eropah, atlet berpeluang berbasikal mengikuti laluan di depan skrin plasma yang menunjukkan persekitaran sebenar dan boleh memprogramkan basikal itu mengikut kekuatan dan berat badan mereka.

Maklumat itu dikumpul dalam operasi licik dengan kod nama ‘Deja-Vu4’, di mana saintis AIS dan beberapa atlet Olimpik membuat ujian di jalan raya Ogos lalu, menurut pakar fisiologi kanan, David Martin.

Basikal atlet dilengkapi dengan peralatan untuk mengukur profil laluan dan jumlah kuasa yang digunakan dalam peringkat berbeza, selain GPS untuk merangka sebuah peta geografi dan kamera untuk merakam pemandangan itu.

Selain daripada faedah strategik yang jelas, Martin berkata simulator itu memberikan keyakinan kepada pelumba di garisan perlumbaan, selepas mencubanya beberapa kali.

“Anda sudah melaluinya beberapa kali sebelum ini dan bersedia untuk membuktikannya di hadapan seluruh dunia,” kata Martin.

“Kelebihan kecil akan memberi perbezaan di antara tempat keempat dan ketiga, mungkin juga membezakan tempat kedua dan pemenang pingat emas.”

Perenang, Tommasso D’Orsogna bersedia untuk Sukan Olimpik buat kali pertama dalam satu daripada acara tumpuan di Australia iaitu 4x100m gaya bebas memuji program AIS yang membawanya ke puncak prestasi.

Kolam latihan itu dilengkapi dengan puluhan kamera, yang merakam setiap gerakan perenang dari setiap sudut dan ‘kepingan basah’ di blok permulaan boleh menganalisa bentuk dan jumlah tenaga yang digunakan dalam terjunan dan pusingan.

“Skil boleh menjadi bahagian terpenting dalam perlumbaan terutama dalam acara 100m gaya bebas,” kata D’Orsogna.

Pasukan renang dan beberapa atlet sukan lain juga bergilir menggunakan bilik ‘altitud tinggi’ AIS sebagai sebahagian daripada persediaan mereka.

Altitud adalah kaedah latihan popular dalam perubatan sukan moden dan digunakan untuk meningkatkan stamina dan kecergasan jantung seseorang atlet dengan meningkatkan paras darah merah dan menjadikan otot lebih tahan kepada pembentukan asid laktik.

Memandangkan muka bentuk Australia agak rata dan gunung paling tinggi hanya 2,228 meter, AIS membina bilik altitud sendiri iaitu sebuah bilik dengan 14 katil di mana atlet boleh membuat simulasi keadaan pada ketinggian 3,000m ketika berlatih di paras laut.

Michael Roeger, pelari Paralimpik yang menyertai acara 800 meter berkata, rumah altitud itu yang berfungsi dengan memasukkan nitrogen ke dalam bilik itu bagi memastikan paras oksigen di tahap 15 peratus, merangsang perubahan fisiologi tubuh dan mengakui latihan itu berbaloi.

Atlet mesti menghabiskan masa 14 jam daripada setiap 24 jam dalam rumah itu dalam tempoh tujuh hari hingga sebulan.

Bagaimanapun Favier melihat teknologi hanya satu bahan untuk ‘membuat sebuah kek pingat emas’, satu resipi yang diharap dapat meletakkan Australia berada setinggi tangga keempat dalam pungutan pingat di London, meskipun ia sesuatu yang sukar bagi mana-mana negara ~ myMetro



***Perancangan yang rapi dan bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil yang sangat memuaskan....

No comments: