Friday, 13 July 2012

7 MUSLIHAT PAKATAN RAKYAT


Politik adalah seni pengurusan angka, persepsi dan permainan propaganda. Dalam mana-mana parti di seluruh dunia atau peringkat antarabangsa, mereka mempunyai strategi tertentu dalam konteks untuk mempengaruhi sikap, pendirian, pemikiran rakyat yang mereka dampingi.

Dalam konteks meneroka 'strategi' parti-parti pembangkang di negara ini, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan berterus-terang mengenai politik semasa tanah air.

"Dalam konteks memahami strategi parti pembangkang di Malaysia, kita tak boleh mengasingkan strategi parti dengan strategi individu tertentu khususnya Anwar Ibrahim.

"Ini disebabkan strategi pada pandangan umumnya adalah strategi yang didasari oleh pemikiran-pemikiran politik baru yang dicanangkan oleh ketua pembangkang itu," kata beliau dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.

Fuad membahagikan pengamatan beliau kepada elemen strategi berikut. Ia, kata beliau untuk renungan dan penilaian rakyat yang diakuinya kini matang dalam mengikuti perkembangan politik tanah air. 


1. STRATEGI TERUK KEPADA RAKYAT

Ini bermakna dia berkomunikasi langsung dalam bentuk bersemuka atau tidak langsung dalam media sosial, media elektronik yang dikuasai serta media cetak yang dikuasai bagi maksud menyampaikan mesej dalam bahasa dan perbandingan yang mudah kepada rakyat.

Dalam konteks ini, umum tahu bahawa ketua pembangkang mempunyai 'keistimewaan tersendiri' khususnya dari segi penguasaan bahasa dan juga ideologi serta hubungan awam serta 'pengurusan pentas yang bijak'.

Sama ada beliau berada di dalam mahkamah ataupun luar mahkamah ataupun dalam media cetak atau media sosial, mesej yang hendak disampaikan adalah kepada rakyat. Dan bukannya kepada hakim, akhbar dan kepada penonton tv yang terbatas.

Itu sebabnya kadang-kadang dia tidak menjawab soalan-soalan mahkamah. Dia tidak menjawab soalan-soalan para hakim kepadanya. Tetapi dia menjawab 'apa yang rakyat mahu dengar'.


2. DI KAMBING HITAMKAN


Dalam konteks ini UMNO yang selalunya menjadi 'scapegoat' atas apa sahaja isu masyarakat. Sama ada sampah, longkang, isu tanah ataupun isu pegawai kerajaan yang kecewa ataupun isu kemalangan jalan raya, maka semua dikatakan ini perbuatan UMNO.

Strateginya adalah megambil kesempatan pada ruang dan peluang untuk menghasut rakyat merasai kecewa atau marah kepada pemimpin.

Lumpuhnya UMNO bererti lumpuhnya BN. Sebab itu fokus tumpuan serangan yang diberikan haruslah kepada UMNO dan UMNO dijadikan 'kambing hitam' dalam setiap kesalahan umum dan kekecewaan rakyat dalam apa jua isu.


3. SERUAN MENGIKUTI PIHAK MAJORITI

Setiap pihak khususnya 'parti yang berkenaan' sering ingin menggambarkan mereka berada di pihak majoriti.

Pertama, melalui meramaikan jumlah pendengar atau penonton ceramah. Yang kedua, memujuk ikon-ikon masyarakat yang kecewa seperti artis, bekas pegawai kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat yang berpengaruh untuk menunjukkan satu gelombang peralihan kepada kumpulan mereka. Itu sebabnya akhir-akhir ini kita dapat melihat ramai artis dipujuk untuk menyertai ceramah-ceramah mereka.

Jadi, apa yang patut dibuat? Yang patut kita buat sebenarnya ialah tunjukkan lebih ramai lagi orang berpengaruh yang berada di pihak kerajaan. Mereka ini harus diberikan perhatian, diberikan tumpuan. Kebanyakan orang lama ini adalah orang yang sudah berjasa, sudah melalui zamannya dan mereka ini memberikan sumbangan kepada kerajaan.

Jadi, sekiranya kerajaan tidak melihat kepada mereka, sudah tentulah mereka akan mencari platform yang lain. Tolong jaga kumpulan ini.


4. KENYATAAN MEMUKAU

 'Mereka' memberikan janji dan harapan yang dilihat macam praktikal dan logik. Tetapi sebenarnya palsu. Antaranya, memberikan harapan kepada rakyat dengan pelbagai janji seperti menurunkan harga barang dan harga minyak walaupun tidak mengambil kira pasaran dunia. Walhal tidak pula dibicarakan tentang soal bagaimana mencipta kekayaan dan bagaimana mendapatkan pertumbuhan negara.

Yang dibicarakan adalah pengagihan... pengagihan...pengagihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa rakyat sekarang ini sudah dipasak dengan pemikiran rasuah.


5. SERANGAN BERTERUSAN

Strategi ini banyak rakyat dapat lihat. Bertalu-talu, bertubi-tubi dan berfokus khususnya kepada ketua pimpinan, dalam konteks ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran yang pelbagai. Dalam kes-kes tertentu isu dicipta seperti kes pembunuhan wanita Mongolia.

Najib yang semasa itu masih menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada malam 22 Ogos 2008 telah melafazkan sumpah di depan jemaah Masjid Guar Perahu, Pulau Pinang bahawa beliau tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Walau apa pun Perdana Menteri buat, tetapi oleh kerana konsep 'kambing hitam' dan serangan bertubi-tubi, imej negatif berkenaan masih terpalit. Antaranya, ciptaan 'pengurusan pentas antarabangsa' seperti Mahkamah Perancis dan peristiwa Suaram berjumpa wakil pegawainya di Thailand (isu kapal selam Scorpene).

Ini memang 'seni' pakatan pembangkang. Ketua Pembangkang juga sering kali berlagak sinis dan membuat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuatkan orang tergelak dan sebagainya.

Dan mesej yang menyebabkan orang ketawa dan tergelak ini mudah diterima oleh masyarakat walaupun serangan yang begitu keterlaluan dan bertubi-tubi ini sudah banyak kali didengar oleh masyarakat. Ada tanda-tanda, sekarang masyarakat sudah kurang ambil kisah tentang tuduhan-tuduhan itu kerana apa-apa perkara pun kalau keterlaluan, masyarakat Melayu yang mempunyai nilai dan budaya sendiri akan menolaknya.


6. KESAKSIAN

Ini digunakan bagi maksud untuk menangkis tuduhan-tuduhan mahkamah terhadap diri individu berkenaan yang digunakan oleh ketua pembangkang yang kemudiannya menjadi amalan kepada pengikutnya. Iaitu menggunakan seseorang atau lembaga untuk mendukung atau mengecam sesuatu tuduhan iaitu dengan cara menggunakan pakar atau ahli atau saksi langsung dalam kes-kes mahkamah.

Contohnya, sekiranya sesuatu kes dibicara dengan membawa pakar forensik atau hakim tertentu dari dalam negara, maka 'dia' akan 'counter' dengan membawa pakar forensik dan bekas-bekas hakim supreme council dari luar untuk mewujudkan dua pandangan yang berbeza. Yakni, tidak ada satu pendapat yang mutlak.

Malah, ada juga dengan cara agama khususnya mengambil pendapat ulama-ulama luar. Dr. Yusof al-Qhardawi contohnya, boleh digunakan bagi maksud memberi prinsip-prinsip umum menurut hukum Islam walaupun orang berkenaan mungkin tidak mengetahui perincian tentang peristiwa yang berlaku dalam satu-satu kes.


7.  PENDEKATAN PERTENTANGAN KELAS

 Pakatan pembangkang merupakan gabungan longgar pelbagai ideologi politik bagi maksud jangka pendek menawan Putrajaya. Dalamnya masih tersirat agenda kaum dan agama yang ekstrem dan tersembunyi. Penyusupan parti sosialis dalam pakatan itu terlibat dalam penonjolan pendekatan pertentangan kelas yang menjadi cara terbuka. Mereka mengapi-apikan rakyat dengan membuat perbandingan kekayaan, pangkat dan kedudukan.

Misalnya menanam kebencian rakyat terhadap golongan kaya (kekayaan dikaitkan dengan kronisme dan rasuah) dan menanam kebencian kepada feudalisme seperti institusi raja-raja. Pendekatan seperti ini pernah meruntuhkan banyak dinasti dan kerajaan beraja pada masa lampau.

Fuad berkata, ada banyak lagi 'strategi' yang digunakan pakatan pembangkang. Dan apa yang patut dibuat ialah ia harus dijawab oleh tuan punya diri terlebih dahulu sebelum dibantu oleh orang lain.

"Sekiranya tuan punya diri menjawab, barulah orang lain boleh bantu. Tapi kalau tuan punya diri mendiamkan diri, perkara itu sukar untuk pihak-pihak lain membantu," katanya.- Utusan

No comments: