LONDON: Seorang ibu mendedahkan bagaimana 20 doktor menafikan anaknya menghidap barah dengan hanya menyifatkannya sebagai tanda lahir sehingga ia membesar seperti sebiji anggur.
Yvonne Bull, 32, berkata, dia diberitahu supaya tidak bimbang apabila anaknya, Isabel dilahirkan dengan tanda ungu pada bahagian kiri mukanya.
Tetapi si kecil itu terpaksa menjalani kemoterapi kerana tanda itu yang akhirnya disahkan ketumbuhan dan membesar dalam masa sebulan hingga menutup telinga kirinya.
Isabel yang sekarang berusia empat bulan, menjalani pemulihan setelah kehilangan telinga kiri berkenaan selepas doktor menjalankan pembedahan membuang ketumbuhan itu.
Yvonne, jururawat di Sturminster Marshall, Dorset berkata, doktor sebelum ini memberitahunya, tanda ungu itu yang asalnya bersaiz bola golf, hanyalah tanda lahir ‘strawberi.’ Apabila ia semakin membesar dan berdarah, Yvonne berulang kali membawa Isabel ke hospital tetapi doktor hanya memberi ubat untuk mengecutkan tanda lahir itu.
Selepas beberapa kali ulang- alik, Isabel akhirnya dirujuk ke Hospital Great Ormond Street di London dan ujian mendapati dia menghidap ketumbuhan sarkoma, sesuatu yang jarang berlaku.
Yvonne, ibu empat anak berkata, Isabel berdepan dengan masa depan yang tidak menentu kerana barah itu berkemungkinan kembali.
“Apabila dia dilahirkan, doktor dan jururawat membawa bayi itu dan berkata dia hanya mempunyai benjol kecil.
“Mereka berusaha memberi jaminan kepada kami bahawa ia hanya tanda lahir. Tetapi ia tidak kelihatan seperti itu.
“Kami membawa Isabel menemui 20 doktor dan mereka tidak pernah bertanyakan mengenai diagnosis asal. Mereka cuma berkata, ia tanda lahir dan memberitahu kami supaya tidak bimbang.
Yvonne yang tinggal bersama temannya, Anthony Roch, 37, perunding pengambilan pekerja, menjalani ujian pengimbasan pada minggu 34 kehamilannya dan keputusan menunjukkan ada sesuatu yang luar biasa.
Isabel dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean seperti yang dirancang pada 1 Mac di Hospital Poole.
Dia menjalani pembedahan selama enam jam untuk membuang sel barah itu pada 29 April dan mula menjalani kemoterafi pada 1 Mei.
Yvonne yang merancang untuk mengambil tindakan undang-undang berkata, Isabel kini hanya mempunyai telinga sebelah kanan dan parut yang besar pada mukanya.
Doktor juga memberi amaran, kanak-kanak itu juga mungkin tidak boleh bercakap dan berdepan dengan masalah bahasa pada masa depan. - DM
3 comments:
Macam macam ujian di dunia akhir zaman ni...
dugaan..
agaknya dibawak budak tu ke doktor gigi ataupun dokto sakit jiwa... tu sbb tak leh kesan barah....
Post a Comment