Wednesday 16 May 2012

OBAMA OH! OBAMA....

obama

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama minggu lalu buat pertama kali secara terbuka menyatakan sokongan kepada perkahwinan sejenis. Beliau merupakan Presiden AS pertama berbuat demikian.
Ia sekali gus mengubah suasana politik AS. Kempen pilihan raya Presiden AS, yang sebelum ini mengenengahkan isu sosial, ekonomi, keselamatan negara, kini dibayangi satu isu lebih besar dan sensitif, 'perkahwinan sejenis'.
Pendirian terbaru Obama itu jelas mempunyai tujuan tertentu sebagai strategi menjelang pilihan raya Presiden AS pada November ini.
Berbeza dengan calon daripada Parti Republikan, Mitt Romney yang menolak perkahwinan sejenis, Presiden AS itu dilihat cuba menggunakan segala peluang yang ada untuk menarik undi atas pagar, sekaligus mengekalkan jawatannya.
Reaksi Romney? Beliau tetap menentang perkahwinan sejenis dan berpegang dengan takrifan 'perkahwinan adalah penyatuan antara lelaki dan wanita'.
Akhbar Washington Post yang pro-Obama mendedahkan bahawa calon Presiden Parti Republikan itu pernah membuli seorang rakannya yang homoseksual semasa zaman remajanya di Sekolah Cranbrook. Lelaki itu, John Lauber, meninggal dunia pada 2004 kerana penyakit kanser hati.
Menurut akhbar berkenaan, Romney yang memegang gunting ketika kejadian menjatuhkan Lauber dan menggunting rambut rakan sekelasnya itu tanpa belas kasihan walaupun Lauber menangis.
Insiden itu membuatkan Lauber tauma sehinggakan dia memberitahu seorang lagi rakan sekelas, Thomas Buford, kini seorang peguam yang telah bersara, bahawa peristiwa itu tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.
Seorang lagi teman sekelas yang melihat insiden itu, Phillip Maxwell berkata, dia tidak akan lupa ketakutan yang dilihat pada mata Lauber.
Romney, bagaimanapun ketika diajukan mengenai perkara itu menyatakan, beliau lupa jika ia pernah berlaku.
Kenyataan Romney itulah yang dimainkan media-media pro-Obama di AS manakala sesetengah media mula menggelar beliau 'si pembuli'.
Para penganalisis berpendapat pendirian Obama menyokong perkahwinan sejenis dibuat tepat pasa masanya.
Ia seolah-olah dirancang kerana pendedahan mengenai kisah lama Romney itu dibuat 24 jam selepas Obama mengumumkan sokongannya kepada perkahwinan sesama jantina.
Namun, pendedahan kisah hidup Romney semasa remaja itu mungkin tidak cukup kuat untuk rakyat AS menolak beliau. Ia hanya satu kenakalan yang pasti dilakukan oleh ramai lagi pemimpin lain sebelum mereka menceburi politik.
Mengapa sekarang Obama menyatakan pendiriannya menyokong perkahwinan sejenis, tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk menambat hati rakyat AS, terutama golongan muda untuk kembali mengundinya selepas popuraliti beliau merudum sejak awal tahun ini.
Beberapa minggu selepas menjawat jawatan Presiden pada 2008, populariti Obama naik ke paras tertinggi dengan 66 peratus, namun ia merosot kepada hanya 46 peratus pada Mac lalu.
Ia antara lain disebabkan kegagalannya menunaikan janji-janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya Presiden AS 2008, termasuk melaksanakan reformasi dalam polisi cukai, polisi tenaga dan juga pembaharuan penjagaan kesihatan yang mendapat sambutan dingin.
Dengan membawa imej 'bersih' (menggantikan George W. Bush), pelantikan beliau juga sedikit masa dulu dilihat sebagai perubahan kepada pentadbiran sebuah negara kuasa dunia, ditambah dengan latar belakang etnik Afrika-Amerika serta bapa tirinya, Lolo Soetoro, seorang rakyat Indonesia beragama Islam.
Obama selepas memenangi pilihan raya 2008 juga pernah cuba mendekati semula dunia Islam bagi mengubah persepsi 'Islam adalah pengganas', namun beliau dilihat gagal, berikutan caranya mengendalikan isu Palestin dengan terus menyokong Israel.
Obama mempertaruhkan karier politiknya dengan membuat pengumuman tersebut. Namun, pengumuman itu dilihat mampu menarik pengundi belia atas pagar terutamanya di North Carolina dan Florida - dan itulah rancangan Obama.
Pada pilihan raya Presiden AS 2008, Obama menewaskan John McCain daripada Parti Republikan dengan menerima undian paling tinggi daripada golongan belia, diikuti undian daripada etnik kulit hitam dan pengundi wanita.
Pada pilihan raya lalu, golongan kulit hitam memberi sokongan kuat kepada Obama dan kali ini apakah etnik ini akan sekali lagi membantu kemenangan Obama, walaupun menentang perkahwinan sejenis?
Statistik terkini di AS menunjukkan sebanyak 30 daripada 50 negeri di AS membantah perkahwinan sejenis, namun penerimaan masyarakat negara itu terhadap perkahwinan sesama jantina dilaporkan semakin meningkat.
Tinjauan pada 2009 mendapati sebanyak 40 peratus rakyat AS menyokong perkahwinan sejenis, sementara ia meningkat kepada 51 peratus sehari selepas Obama menyatakan pendiriannya.
Melihatkan kepada keadaan ini sahaja tanpa mengambil kira faktor lain, Obama dan Romney kini dilihat mempunyai kelebihan sama rata untuk memenangi pilihan raya Presiden AS nanti.
Namun, sesetengah penganalisis pula berpendapat pendirian Obama itu akan memakan dirinya sendiri apabila beliau diramal tewas di Indiana, Virginia, North Carolina, pedalaman Pennsylvania, utara Florida, pedalaman Missouri dan beberapa lokasi penting lain. AD 

No comments: