Sunday 20 May 2012

EZRA ZAID (ANAK ZAID IBRAHIM) PENERBIT BUKU IRSHAD..!!!

Buku Irshad Diterbitkan Anak Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR — Walaupun menerima kecaman dan kritikan yang berterusan dari pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa agama di negara ini, buku karya penulis kontroversi Kanada, Irshad Manji dilancarkan tanpa sebarang insiden provokasi hari ini.
Penulis berusia 48 tahun anak kelahiran pelarian Uganda itu tetap hadir melancarkan buku terbarunya “Allah, Kebebasan dan Cinta” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCH) di sini dalam keadaan aman dengan kehadiran sekitar 30 peminatnya di negara ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan kenyataan sebelum ini mengharamkan sebarang program yang melibatkan sokongan terhadap gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) diadakan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan meminta semua jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program melibatkan wanita itu daripada berlangsung.
Beliau berkata buku berkenaan dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian.
Irshad bagaimanapun menjelaskan “apa yang diharamkan? Adakah ia dilihat seperti diharamkan kepada saya?” soalnya apabila ditanya berkenaan kemungkinan pengharaman buku terbarunya itu.
Buku 388 muka surat yang menggunakan kulit berwarna merah itu menggunakan dua burung merpati putih berada di luar sangkar yang mempunyai simbol bulan sabit di atasnya sebagai simbolik kebebasan telah di alih bahasa kepada Bahasa Melayu mula dijual di negara ini dengan harga RM50.
Menurut penerbit buku berkenaan, IZ Publisher, pihaknya menyerahkan kepada KDN untuk tindakan lanjut berhubung kemungkinan pengharaman buku tersebut.
“Kami hanya serahkan kepada budi bicara KDN untuk menentukan apa yang terbaik,” kata Pengarah Iz Publisher, Ezra Zaid, kepada pemberita selepas pelancaran buku tersebut.
“Kami telah cuba mengadakan tiga majlis untuk pelancaran buku ini termasuk di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kedai buku Borders di pusat membeli belah The Gardens, serta di Universiti Monash, bagaimanapun, kesemuanya di batalkan di saat-saat akhir.
“Kami bernasib baik dapat mengadakan majlis pelancaran di sini (KLSCH) di saat-saat akhir. Walaupun mengejut tapi masih ada peminat yang dapat hadir,” kata anak kepada Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim.
Selepas majlis pelancaran pertama buku tersebut hari ini, Irshad akan terus berlepas pulang ke New York.
Jamil Khir menjelaskan, ideologi yang dibawa Irshad jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), Akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.
Beliau berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut dianggotai Malaysia menolak orientasi seksual songsang yang mendukung LGBT sebagaimana yang ditegaskan dalam persidangan Sesi ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac lepas di Geneva, Switzerland.
Justeru, beliau menyeru umat Islam di negara ini sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan fahaman ideologi yang dibawa oleh kumpulan dan individu tersebut.
Ini kerana beliau khuatir ia akan menyentuh sensitiviti agama serta menjadi provokasi serius terhadap umat Islam secara harmoni di bawah naungan institusi Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini.
Irshad merupakan seorang wanita muslim berfahaman liberalismie, pluralisme dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat antarabangsa.
Beliau pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk “Permasalahan Dengan Islam Hari Ini” (“The Trouble With Islam Today”) yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel “The Satanic Verses”, Salman Rushdie. (The Malaysian Insider)

No comments: