Ðaripada Anas bin Malik, pada suatu hari apabila Rasulullah SAW bersama-sama para sahabatnya, Baginda tiba-tiba tertawa sehingga kelihatan gigi-gigi Baginda. Baginda lalu bertanya kepada para sahabat, “Tahukah kamu semua mengapa aku tertawa?”
Para sahabat seperti biasa menjawab dengan penuh rendah diri, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Baginda bersabda, “(Aku tertawa) kerana perdebatan seorang hamba dengan Tuhannya pada hari pembalasan. Ia berkata: ‘ Wahai Tuhan, tidakkah Engkau melindungiku daripada kezaliman?’ Allah menjawab: ‘Ya.’ Ia berkata: ‘Kalau begitu, aku tidak akan menerima penyaksian kecuali yang berasal daripada diriku sendiri.’ Allah berfirman (yang bermaksud): ‘Cukuplah pada hari ini tubuhmu sendiri yang akan menjadi saksi, juga para malaikat pencatat amalan.’”
Mulut orang itu lalu ditutup rapat dan dikatakan kepada anggota tubuhnya: “Berbicaralah.” Maka satu persatu anggota tubuhnya mula bercerita tentang semua perbuatan yang pernah dilakukannya ketika di dunia. Apabila mulutnya kembali dibuka untuk berbicara, dia mencela semua anggota tubuhnya. Ðia berkata: “Celaka kamu. Sesungguhnya aku sedang berusaha untuk membelamu!” (Hadis riwayat Muslim dan an-Nasa’i)
Mahkamah Akhirat
Mahkamah akhirat mirip mahkamah dunia. Setiap kali sesuatu tuduhan ditimpakan kepada manusia, bukti-bukti dan saksi-saksi segera dihadirkan terutamanya apabila pihak tertuduh mengingkari tuduhan tersebut. Semua ini dilakukan agar hak setiap manusia terjaga daripada kezaliman di mahkamah Allah Yang Maha Adil.
Pelbagai hadis menyebut bahawa saksi-saksi dan bukti-bukti itu cukup banyak. Ia terdiri daripada para malaikat, jin, manusia, bahkan termasuk juga benda-benda yang kita anggap tidak bernyawa seperti tanah, batu dan sebagainya. Semua ini akan dihadirkan pada hari kiamat kelak sebagai saksi, sama ada untuk membela ataupun sebaliknya, mengecam kita.
Ðalam hadis at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah, pada suatu hari Rasulullah SAW membaca ayat (surah al-Zalzalah ayat 4) yang bermaksud, “Pada hari itu, (bumi) akan mendedahkan khabar-khabarnya.”
Lalu Baginda bertanya, “Tahukah kamu apakah khabar-khabar itu?”
Para sahabat menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Baginda bersabda, mafhumnya, “Bumi akan bersaksi tentang amalan yang dilakukan setiap hamba Allah; lelaki dan perempuan. Ia berkata: ‘Si Polan melakukan perkara ini pada hari ini dan seterusnya (pelbagai lagi kesaksian).’”
Saksi-saksi dihadirkan bukan hanya sebagai bukti. Mereka juga menjadi sebab kebanggaan bagi orang yang berbuat kebaikan, sekali gus menjadi sebab kehinaan bagi orang yang melakukan kesalahan. Oleh sebab pengadilan di mahkamah akhirat ini berlaku di hadapan semua makhluk, maka setiap dosa dan pahala akan didedahkan secara terbuka. Tiada rahsia lagi.
Anggota tubuh
Antara semua saksi, anggota tubuh kita ialah saksi penentu. Mereka sangat dekat dengan kita dan turut terlibat dalam setiap dosa yang kita lakukan. Ði akhirat nanti, Allah akan meminta penyaksian mereka atas semua perbuatan kita di dunia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, maka bersaksilah pendengaran, penglihatan dan kulit mereka tentang apa yang telah dikerjakan oleh mereka. Ðan mereka berkata kepada kulit: ‘Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?’ Kulit mereka menjawab: ‘Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berbicara, lalu telah menjadikan kami pandai berbicara (juga).’” (Surah Fussilat 41:20-21)
Ðalam ayat yang lain, Allah berfirman yang bermaksud, “Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka dan tangan-tangan mereka akan berbicara kepada Kami serta kaki-kaki mereka akan bersaksi tentang apa yang mereka lakukan dahulu (semasa di dunia).” (Surah Yasin 36:65)
Sebuah penghinaan
Al-Tahir bin ‘Ashur berkata, “Penyaksian anggota tubuh ialah penyaksian untuk menafikan dan mendedahkan aib mereka sendiri. Ini kerana apabila para pendosa ini melihat neraka, mereka berusaha menyelamatkan diri sendiri dengan menafikan sebahagian dosa itu. Padahal Allah mengetahui semua amal perbuatan mereka, malah para malaikat pun telah merekodkan secara rapi setiap amalan itu. Semestinya mereka tidak dibawa ke neraka, melainkan kerana dosa-dosa itu. Maka, penyaksian anggota tubuh hanyalah untuk menambahkan kehinaan dan penyesalan di hati mereka.”
Ðemikian jelas beliau dalam kitab tafsirnya al-Tahrir wa al-Tanwir.
Selain itu, penyaksian tubuh ini juga mengajarkan kita suatu pengajaran berharga. Ia mengingatkan bahawa kita tidak pernah bersendirian. Ði mana-mana juga kita berada, walau di tempat yang paling sunyi sekalipun, saksi-saksi Allah sentiasa mengawasi kita.
Al-Zamakhshari berkata, “Ayat ini mengingatkan seorang Mukmin agar dia selalu menyedari pengawasan Allah SWT. Hingga pada waktu-waktu bersendirian pun, orang Mukmin mesti menjaga dirinya lebih daripada sewaktu bersama-sama orang ramai.” Ðemikian nukilan beliau dalam tafsir al-Kashshaf.
Paha kiri
Ðaripada ‘Uqbah bin ‘Amir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tulang manusia yang pertama bersaksi sekali sewaktu mulut ditutup ialah paha kirinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan at-Tabrani). Namun dalam sanad hadis ini terdapat perawi yang mubham (tidak diketahui identitinya).
Ðalam riwayat Ibn Jarir daripada Abu Musa, beliau berkata, “Menurutku, anggota tubuh pertama yang akan berbicara ialah paha kanannya.”
Sama ada paha kanan atau paha kiri, kita dapat menyimpulkan bahawa dosa zina dan yang seumpama dengannya seperti liwat atau melancap, adalah antara perkara pertama yang akan dibicarakan. Tentu sahaja, kedua-dua paha manusia akan diminta bersaksi sebab mereka ialah anggota yang paling dekat dengan kemaluan. Pelaku maksiat yang boleh selamat di mahkamah dunia, semestinya tidak akan selamat di mahkamah akhirat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menjamin bagiku apa-apa yang berada di antara kedua-dua kakinya (yakni kemaluan) dan apa-apa berada di antara kedua-dua rahangnya (yakni lidah), maka aku akan menjamin baginya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Setelah itu, satu persatu anggota tubuh manusia yang lain akan memberi kesaksian. Mata akan bersaksi tentang apa yang dilihatnya. Telinga akan bersaksi tentang apa yang didengarinya. Begitu juga dengan kulit yang membalut seluruh tubuh akan bersaksi tentang apa yang ia rasa dan sentuh. Semuanya akan didedahkan sebagai tanda ketundukkan mereka kepada Allah SWT.
Hamba Allah
Tidak terbayang betapa malunya kita apabila anggota tubuh kita sendiri menjadi saksi atas semua perbuatan dosa yang pernah kita lakukan. Pada waktu itu baru kita tersedar, anggota tubuh ini sebenarnya bukan milik kita. Mereka juga hamba Allah SWT.
Hakikatnya, anggota tubuh ini tidak sesekali bersetuju dengan kita apabila kita melakukan maksiat. Jika mereka mampu pasti mereka ingin menolak, namun mereka terpaksa tunduk kepada iradat kita kerana itu sunnatullah di muka bumi. Jadi, anggota tubuh kita terlibat melakukan maksiat sambil merasakan ketakutan atas azab Allah SWT. Kerana takut kepada Allah, setiap hari anggota tubuh kita saling mengingatkan satu sama lain agar tidak bermaksiat kepada-Nya.
Ðalam Sunan at-Tirmidzi, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Setiap pagi, semua anggota tubuh manusia mengingatkan lidah. Mereka berkata: ‘Takutlah kepada Allah untuk kami. Kami ini hanya mengikut kamu. Jika engkau lurus, maka kami pun lurus. Ðan jika engkau bengkok, maka kami pun bengkok.’”
Jika sebegitu takut mereka kepada Allah, bayangkan kebencian mereka apabila terpaksa melakukan maksiat. Ði akhirat nanti, mereka akan mendedahkan semua ini dengan penuh kemarahan. Mereka akan bersaksi dengan jujur walaupun terpaksa membahayakan diri sendiri.
Walau ketika bersendirian
Sungguh lalai hati yang tidak menyedari hakikat ini. Sungguh tidak bersyukur seseorang yang diberikan anggota tubuh yang indah dan sempurna, namun merosakkannya dengan maksiat.
Sesiapa yang menjaga hak Allah walaupun ketika bersendirian, pada hakikatnya dia sedang menjalin persahabatan antara dirinya dengan seluruh anggota tubuhnya. Jika di dunia anggota tubuh dilindungi daripada maksiat, di akhirat nanti mereka tidak akan bersaksi untuk membahayakan kita.
Seorang ulama tabiin di Basrah bernama Qatadah (w.118H) berkata, “Wahai manusia, sesungguhnya saksi-saksi Allah terdapat di dalam tubuhmu. Maka jagalah mereka dan bertakwalah kepada Allah walaupun ketika bersendirian.”
Wallahu ‘alam.
Sumber : Umar M.Noor di Solusi ISU
No comments:
Post a Comment