Friday 16 March 2012

PERJUANGAN PAS = PERJUANGAN KHAWARIJ : ????

Seandainya ada orang berkata bahawa perbalahan antara UMNO dengan PAS di Malaysia hari ini adalah krisis politik kepartian semata-mata, kata-kata yang berkenaan adalah amat tidak benar.
Imej PAS sekarang telah berubah warna daripada sebuah parti politik kepada sebuah parti lembaga agama. Senario pemimpin mereka dilambangkan sebagai ulama dan dislogankan sebagai pewaris Nabi. Mereka ditanamkan kepercayaan kononnya ulama mereka tidak akan melakukan kesilapan dan kenyataan politik mereka adalah fatwa yang tidak boleh disangkal. Kemudian disifatkan sebagai rabbani pula.
Memang benar bahawa pada permulaan penubuhannya pada tahun 1951 dahulu adalah sebagai sebuah parti politik. Penjajah British memberi keizinan penubuhannya pada tahun itu adalah untuk menyemarakkan krisis di kalangan orang Melayu yang sedang berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Mereka mengharapkan krisis tersebut akan mengagalkan usaha Melayu memperoleh kemerdekaan.
Penjajah British bercadang untuk memperalatkan golongan minoriti ini bagi maksud untuk menghalang usaha-usaha murni UMNO itu. Mereka mempermudahkan pendaftaran PAS. Mereka mengharapkan Tuan Haji Fuad yang kalah pertandingan merebut jawatan Yang Dipertua UMNO kepada Tunku Abdul Rahman Putra dalam Persidangan Agung UMNO di Kuala Lumpur pada 25 Ogos 1951 boleh dipergunakan bagi maksud meneruskan agenda kepenjajahan selepas merdeka.
Tetapi usaha jahat itu tidak berhasil. Pilihan raya umum pertama pada bulan Julai 1955 memberi kemenangan besar kepada UMNO di bawah lambang Perikatan. PAS hanya memenangi satu kerusi sahaja daripada semua kawasan Parlimen sebanyak 52 kerusi.
Kekalahan PAS yang berterusan dalam semua pilihan raya umum selepas itu mendorong mereka mengambil satu sikap berani dan nekad mengagamakan parti mereka secara total, sama dengan tindakan yang pernah diambil oleh Khawarij dan Syiah kira-kira 1400 tahun dahulu.
Kesannya sebilangan besar ahli dan penyokong PAS merasakan PAS itu Islam dan Islam itu PAS. Menyokong PAS bererti menyokong Islam dan balasannya syurga. Sesiapa mengkritik PAS akan dihukum Allah di akhirat kelak atau diturunkan bala di dunia ini.
Kelahiran Khawarij dan Syiah mempunyai faktor-faktor pendorong yang sama dengan kelahiran PAS, iaitu pada asalnya adalah bersifat politik. Tetapi perjuangan yang begitu lama yang mereka tempuhi dengan kekalahan dan penderitaan semata-mata, akhirnya mereka mengagamakan golongan mereka dan mencipta doktrin-doktrin dan mazhab agama sendiri yang berasingan daripada jemaah ummah.
Latar belakang Khawarij ialah adanya pertikaian politik antara Khalifah Ali dengan Muawiyah bin Abu Sufian. Muawiyah pada waktu itu sebagai ketua pentadbir Islam di Syam (Syria) tidak dapat menerima pelantikan Saidina Ali sebagai khalifah pengganti Khalifah Uthman. Masing-masing mengerahkan tentera untuk menggempur antara satu sama lain.
Akhirnya kedua-dua pasukan sesama Islam itu bertempur di Saffin. Muawiyah menang di atas kesilapan Ali yang menerima seruan damai, sedangkan seruan tersebut adalah helah politik semata-mata.
Kelahiran Syiah pula mempunyai pelbagai pendapat tentang latar belakangnya. Ada yang berkata kelahirannya setelah wafat Nabi, iaitu ketika perebutan kuasa di antara Muhajirin dengan Ansar di balai Saqifah Bani Saidah.
Ada pendapat yang menganggap Syiah lahir pada masa akhir kekhalifahan Uthman bin Affan atau pada awal pemerintahan Khalifah Ali bin Abu Talib. Pada masa itu terjadi pemberontakan terhadap Khalifah Uthman yang berakhir dengan pembunuhannya.
Pendapat yang popular ialah bahawa Syiah lahir setelah gagal perundingan Khalifah Ali dengan pemberontak Muawiyah. Pengikut-pengikut Khalifah Ali berpecah. Tetapi sebahagian besarnya tetap setia. Golongan yang setia inilah yang dikenali kemudiannya sebagai Syiah.
Walau apapun latar belakang kelahiran mereka, puncanya adalah politik rebut kuasa sehingga kepada peringkat bunuh membunuh sesama sendiri. Golongan yang kalah menukarkan tujuan asal penubuhan jemaahnya daripada maksud politik kepada imej agama yang tersendiri dengan aliran teologi yang berbeza.
Mungkin di sinilah aspek persamaan antara PAS dengan Khawarij dan Syiah. Lahir di atas dorongan kecewa dan marah. Bergerak dalam jemaah sebagai lembaga politik untuk merebut kuasa, tetapi tidak berjaya dan gagal. Akhirnya membentuk institusi agama baru dengan aliran teologi dan mazhab fekah tersendiri.
Fatwa mengharuskan bersahabat dengan syaitan, tuduhan Tuhan mencarut dan Tuhan samseng adalah antara doktrin PAS bersifat agama, tetapi bertujuan politik, iaitu mempengaruhi dan menguasai fikiran dan sikap orang ramai untuk mendapat kuasa. Bertolak daripada fatwa seumpama inilah menyebabkan politik Melayu menunjukkan perpecahan yang ketara di kalangan mereka.
PAS juga terpengaruh dengan doktrin Khawarij yang tersohor, iaitu Khalifah hanya wajib ditaati apabila ia bersikap adil dan menjalankan syariat Islam. Jika menyeleweng maka mesti dibunuh. Pembunuhnya syahid dan mendapat syurga.
PAS menyemarakkan permusuhan terhadap UMNO secara fanatik dan asabi seperti permusuhan Khawarij dan Syiah terhadap kerajaan Umayyah dan kerajaan Abbasiyah. Mereka mengukuhkan permusuhan itu dengan menggunakan agama dan memperalatkan nama Allah tanpa mengambil kira kepentingan umum dan keselamatan negara.
Sepanjang waktu, Pas tidak pernah memberi sokongan atau ucapan terima kasih kepada semua perkara yang dilaksana dan disempurnakan oleh UMNO melainkan ketika mereka berada dalam BN dahulu sahaja.
Ketika Tunku Abdul Rahman Putra mewujudkan gagasan Malaysia pada tahun 1963, PAS menentang keras sehingga ke peringkat membawa perkara ini ke mahkamah. Apabila berlaku konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia, PAS tidak pernah menyatakan sokongan mereka kepada Malaysia dan tidak pernah mengutuk Sukarno atas tindakannya yang tidak bermoral itu.

Ustaz Al-Mubtasim (Noor Aminuddin Mohamed Noor)

 

SUMBER : PERAK TODAY

No comments: