Thursday, 23 February 2012

MENGIMBAS KEMBALI - TRAJEDI BUKIT KEPONG


PADA tarikh hari ini, 62 tahun yang lalu berlaku tragedi yang terpahat dalam sejarah pahit negara yang tidak mungkin dilupakan rakyat negara ini. Ia melibatkan kekejaman pengganas komunis yang menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong yang terletak kira-kira 59 kilometer dari bandar Muar, Johor.


Tanpa belas kasihan, pengganas menembak anggota polis yang cuba keluar dari balai yang terbakar dan melontar mereka yang tercedera serta mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Serangan itu dibuat sebagai peringatan kepada rakyat mengenai apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan komunis.



Kejadian itu bermula kira-kira pukul 4.30 pagi, 23 Februari 1950 apabila anggota Pasukan Kompeni Bebas Keempat Parti Komunis Malaya (PKM) meniup trompet buat kali pertama dan kemudian mula melepaskan tembakan ke arah balai polis yang diperbuat daripada kayu itu.

Sebaik sahaja menyedari balai telah diserang, Sarjan Jamil Mohd. Shah dan semua 25 anggota bawahannya mengambil tempat masing-masing di kubu di kawasan balai untuk membalas tembakan.




Tembak menembak berlaku sehingga pukul 6.30 pagi. Seramai 180 pengganas yang melakukan serangan itu dilengkapi dengan senjata-senjata automatik berbanding anggota polis yang hanya dilengkapi dua pucuk senjata automatik. Jika hendak dibandingkan kekuatan anggota, komunis adalah tujuh kali ganda lebih banyak berbanding polis. Separuh daripada pengganas mengepung di bahagian hadapan balai dan bakinya mengelilingi balai polis tersebut.

Sungguhpun begitu pihak komunis masih gagal memasuki kawasan balai walaupun melakukan serangan dari segenap sudut selama dua jam. Mereka berharap serangan itu mengejutkan pihak polis, sebaliknya apa yang mereka hadapi adalah tentangan hebat terutamanya daripada dua kedudukan mesingan ringan jenis Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik kawalan.


Sekitar pukul lima pagi, sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan dari Kampung Jawa bagi memberi bantuan tetapi malangnya mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar.

Kira-kira pukul 6.30 pagi, pihak komunis meniup trompet untuk kali kedua dan sejurus selepas itu tembakan dihentikan serta-merta. Kemudian salah seorang anggota komunis bernama Muhammad Indera dengan menggunakan pembesar suara, sebanyak tiga hingga empat kali, meminta polis menyerah diri sekiranya mahu selamat.

Jamil kemudiannya menjawab yang pihak polis tidak sesekali menyerah diri. Katanya, biar putih tulang tetapi jangan putih mata. Ketika itu ramai di kalangan anggotanya telah meninggal dunia dan ada yang cedera parah. Sebaik sahaja Jamil berkata demikian, pihak komunis meniup trompet buat kali ketiga dan berlaku serangan bertali arus daripada kumpulan pengganas itu.

Bagaimanapun, pengganas terbabit gagal memasuki kawasan balai sehinggalah mereka melakukan serangan dengan molotov cocktail (bom botol) hingga menyebabkan balai polis dan berek kelamin terbakar. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin.

Pada ketika itu hanya tiga anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis tetapi ditembak pengganas terbabit. Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis itu.

Seramai 14 anggota polis termasuk Jamil dan Timbalan Ketua Balai, Koperal Mohd. Yassin Wahab; lima polis bantuan; tiga pengawal kampung; tiga isteri polis dan dua anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Hanya empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka terselamat.


Peristiwa itu jelas memperlihatkan semangat keperwiraan anggota keselamatan yang berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur.

Seramai 40 musuh juga berjaya dibunuh walaupun pihak pengganas pada mulanya beranggapan mampu menawan balai polis dengan mudah. Tanggapan itu adalah berikutan mereka mempunyai kelebihan dari segi bilangan senjata dan anggota serta kedudukan balai polis itu yang terpencil dengan bot menjadi pengangkutan utama.

Tragedi itu turut memperlihatkan semangat juang dua isteri anggota polis yang mengangkat senjata apabila melihat suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota lain sehingga kehabisan peluru.


Oleh itu, diharapkan tiada lagi pemimpin parti politik tertentu yang cuba mempertikaikan pengorbanan luar biasa anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi tersebut sehingga sanggup mengisytiharkan golongan pengganas sebagai hero.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam yang mengulas perkara itu, menyifatkan pihak-pihak yang cuba mengiktiraf komunis yang menyerang balai polis terbabit adalah mereka yang buta sejarah.

Katanya, mana-mana individu yang tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian sebenarnya telah menghina anggota keselamatan yang mempertahankan negara.

"Janganlah kita sekali-kali menuduh mereka menjadi alat kepada British kerana anggota polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong sebenarnya berjuang menentang golongan yang melakukan kekejaman," katanya.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, tragedi Bukit Kepong adalah peristiwa yang menyedihkan dan ia merupakan antara enam balai polis yang diserang komunis.


"PKM telah menyerang balai polis itu setelah membuat pemantauan selama beberapa hari dan mereka melakukan serangan mengejut tanpa belas kasihan," katanya.

Sebenarnya, peristiwa Bukit Kepong yang menyaksikan sekumpulan kecil anggota polis dan keluarga mereka gigih berjuang menentang pengganas komunis yang jauh lebih besar boleh menjadi pengajaran kepada kita. Kalau wira dan wirawati terbabit boleh berbuat demikian, sudah tentu kerajaan dan rakyat yang bilangannya lebih ramai boleh memerangi apa sahaja anasir yang cuba merosakkan negara.

KEJAMNYA KOMUNIS..!!!!



AL-FATIHAH KEPADA MANGSA KEKEJAMAN KOMUNIS YANG TERKORBAN DALAM PERISTIWA MENYAYAT HATI BUKIT KEPONG... SEMOGA ROH MEREKA DI CUCURI RAHMAT DAN DITEMPATKAN DI KALANGAN ORANG-ORANG YANG SOLEH DAN BERIMAN...... ameennnnn...

1 comment:

pukimaq said...

Oleh itu amatlah cerdik bagi sebuah parti Islam itu bersatu dengan komunis.Homo cun ni pulak cerdik sebab bersatu bontot dengan sayangku.