ADAT PORTUGIS MELAKA
DIPENGARUHI MELAYU
Wanita Portugis, meskipun berdasarkan raut wajah mereka nampak ada pelbagai campuran, ada seperti Cina, India dan ramai juga sekali pandang seperti Melayu
Asimilasi budaya warnai cara hidup
Hidup dalam masyarakat majmuk berbilang kaum yang saling memahami budaya serta cara hidup kaum lain membolehkan sesiapa saja terus mengamalkan keunikan tradisi mereka. Malah, lebih unik, asimilasi budaya yang banyak berlaku dalam masyarakat di negara ini lebih mewarnai cara hidup semua etnik di Malaysia.
Begitu juga dengan orang Portugis yang tidak jauh berbeza dengan orang tempatan, walaupun mereka berasal dari negara yang jauh dari Malaysia. Penyerapan budaya Melayu lebih ketara dalam diri mereka, sama ada dalam cara berpakaian, pemakanan, kesenian dan bahasa.
Wanita Portugis, meskipun berdasarkan raut wajah mereka nampak ada pelbagai campuran, ada seperti Cina, ada pula seperti India dan ramai juga sekali pandang seperti Melayu, perwatakan, pergaulan dan rutin seharian tidak banyak beza dengan wanita Melayu.
Ahli Jawatankuasa Wanita Kampung Portugis, Marina Linda Danker, 45, berkata wanita Portugis sejak kecil sudah diajar memasak dan kerana itu kebanyakan mereka mampu memasak dengan baik serta tidak keterlaluan jika dikatakan masakan mereka enak. Paling menarik, masakan mereka serasi dengan selera orang Melayu.
Lantaran itu, tidak pelik jika semua restoran yang dibuka orang Portugis di medan selera kampung itu turut dikunjungi orang Melayu. Tidak timbul soal halal haram kerana orang Portugis cukup memahami sensitiviti orang Islam dan masakan meraka dijamin halal. Menu mereka pula, memang menu orang Melayu.
“Wanita Portugis memang macam wanita Melayu kampung. Pakaian mereka yang aslinya ialah kebaya dan kain batik. Sekarang baru ada yang berpakaianan moden. Kami juga suka menjahit, membuat kerja rumah dan kebanyakannya tidak suka keluar merayau. Duduk saja di rumah sebab ramai wanita Portugis pemalu. Kan sama seperti orang Melayu…”
“Kami suka ‘line dance’. Ia seperti tarian poco-poco. Kelebihan wanita Portugis ialah mereka suka kepada aktiviti kebudayaan. Ramai anak gadis kami sejak kecil sudah belajar menari. Meskipun pemalu, mereka lincah apabila membuat persembahan,” katanya yang juga jurulatih kepada satu kumpulan kebudayaan di Kampung Portugis.
Katanya, hubungan kekeluargaan dalam kalangan orang Portugis juga kuat dan kebanyakannya bertahan lama kerana ramai dalam kalangan mereka patuh pada hukum dalam Roman Katolik. Dalam fahaman agama itu, perkahwinan perlu kekal sampai ke mati. Bermaksud, jika sudah berkahwin, tidak boleh berpisah atau berkahwin lain selagi pasangan masih hidup.
Malah, meskipun ramai yang melanggar hukum itu kerana peraturan membenarkan perceraian, mereka yang sudah bercerai tidak dibenarkan berkahwin lain selagi bekas suami atau isteri masih hidup. Hukum dalam agama mereka membuatkan hubungan kekeluargaan masyarakat itu bertahan lama dan saling setia sesama mereka. Namun, ia tidak bermakna tiada pelanggaran hukum kerana dalam dunia moden ini, ramai juga yang mengetepikan hukum sebegitu.
“Undang-undang negara membenarkan perceraian itu. Ia memang bercanggah dengan hukum tetapi ada juga yang langgar hukum dan ikut undang-undang. Namun, secara majoritinya, lebih 90% orang Portugis ikut hukum ini dan berkahwin sampai mati. Itu kunci kebahagiaan rumahtangga kami.”
“Malah, dalam hukum agama juga, perkahwinan hanya sah di gereja. Ada yang sekadar mendaftarkan perkahwinan di mahkamah dan perceraian juga dilakukan di mahkamah. Hukumnya, perkahwinan itu tidak sah. Orang Portugis memang kuat ikut hukum agama terutama dalam hal perkahwinan.”
“Jika berkahwin dengan orang bukan penganut Roman Katolik, tiada masalah jika pasangan tidak mahu tukar agama, tetapi perkahwinan tetap perlu dibuat di gereja. Jika tidak, samalah seperti lelaki itu menyimpan perempuan simpanan. Perkahwinan yang tidak sah. Jika kahwin dengan orang Hindu, buat perkahwinan di kuil dan selepas itu di gereja,” katanya.
Perkahwinan campur dalam kalangan orang Portugis masih berlaku sehingga hari ini dan menurut Marina, perkahwinan dengan India dan Cina memang banyak berlaku. Perkahwinan dengan orang Melayu tidak banyak. Di kampung itu, hanya ada dua wanita berkahwin dengan lelaki Melayu, tetapi ramai juga lelaki Portugis berkahwin dengan perempuan Melayu. Ini mungkin disebabkan pegangan agama oleh perempuan Portugis lebih tebal.
Namun, sekali lagi disebabkan sifat pemalu dan jarang bergaul menyebabkan ramai wannita berusia lebih 50 tahun tidak pernah berkahwin selain kongkongan keluarga yang sangat ketat.
Adat dalam perkahwinan orang Portugis hampir sama dengan Melayu. Bermula dengan adat merisik di mana mereka mewakilkan kepada seseorang dalam keluarga untuk ke rumah pihak perempuan. Berbalas pantun dalam bahasa Portugis juga menjadi rencah penyeri majlis.
Risik hanya sekadar proses perbincangan tanpa membabitkan apa-apa tukaran hantaran. Hanya ketika bertunang, lelaki bersama ibu bapanya datang ke rumah perempuan dengan sebotol wain. Rombong itu pula hanya boleh disertai individu yang sudah berkahwin. Bujang dan dara tidak dibenarkan. Proses bertukar cincin oleh lelaki dan perempuan itu sendiri adalah upacara kemuncak selepas perbincangan mengenai majlis perkahwinan.
“Selepas sarung cincin, lelaki dibenarkan cium sedikit di pipi perempuan dan selepas itu satu perjanjian perlu ditetapkan. Lelaki perlu memberikan wang saku setiap bulan kepada perempuan sebagai tanda jadi. Perempuan itu tidak lagi boleh terima lelaki lain.”
“Biasanya pertunangan berlangsung selama enam bulan hingga setahun. Selama itulah wang saku perlu diberi setiap bulan. Nilai itu ditentukan lelaki sendiri atas kemampuannya. Jika nak bodek lebih, bagi nilai besar, tapi rugilah. Jika putus tunang, perempuan perlu pulangkan semula duit itu,” kata pakar budaya Portugis, Noel Felix.
Kata Marina, hantaran dalam perkahwinan hanya dalam bentuk wang. Tidak ada dulang hantaran seperti orang Melayu. Duit itu boleh diselesaikan ketika bertunang ataupun sebelum perkahwinan. Biasanya hantaran sekitar RM20,000. Wang belanja pula lebih tinggi untuk majlis perkahwinan, kos paling tinggi ialah untuk membeli minuman keras.
“Majlis perkahwinan atau jamuannya hanya dibuat pihak perempuan, tetapi semua kaum kerabat lelaki akan berpesta di situ. Oleh itulah wang hantaran dan belanja tinggi sebab pihak perempuan perlu keluarkan belanja yang besar untuk majlis. Malah, selalunya majlis sudah bermula tiga hari sebelum hari perkahwinan.”
“Orang sudah berkumpul dan ada jamuan teh untuk pihak lelaki pada Khamis (jika perkahwian pada Sabtu). Pada hari itu, ibu pihak lelaki akan membentangkan cadar atas katil yang akan dihiasi untuk pengantin. Pengantin tidak dibenarkan berada di situ, malah pengantin lelaki tidak boleh datang langsung.”
“Esoknya, di rumah perempuan lagi, ada jamuan makan malam. Sekali lagi ramai orang akan datang. Kerana itulah pihak perempuan perlukan wang yang banyak untuk menguruskan semua kos itu,” kata Marina lagi.
Baju pengantin persalinan terakhir buat si mati...
Mayat disimpan tiga hari dalam rumah untuk membolehkan pelbagai upacara diselesaikan dan menjadi satu kepercayaan dan amalan masyarakat Portugis ketika menguruskan si mati. Ia turut membolehkan penghormatan terakhir diberikan. Malah, ada yang menyimpannya lebih lama.
“Kepercayaan kami roh akan berpisah daripada jasad selepas tiga hari. Jadi, rasanya tidak elok terus simpan dalam tahan. Bagi roh keluar dulu. Itu kepercayaan, tetapi lain orang lain tanggapannya. Selalunya ais kering digunakan untuk mengelakkan mayat berbau. Ada yang berkemampuan akan mengawetkan mayat.”
“Logiknya kenapa simpan selama tiga hari ialah untuk membolehkan saudara mara dari jauh sempat menziarahi, pada masa sama ramai orang boleh datang. Ramai yang ziarah, ramai juga yang hulur sumbangan. Ia penting untuk uruskan si mati. Selama mayat di rumah upacara sembahyang dibuat setiap sejam bermula jam 8 hingga 12 malam.”
“Sepanjang masa itu juga, makanan disediakan untuk menjamu tetamu yang selalunya tidak pernah putus. Satu masakan istimewa ketika itu ialah sagu goreng kerana kuit itu tidak akan dimasak pada hari biasa. Hanya khas untuk majlis kematian,” kata Ketua Kampung Portugis, Peter Gomez.
Ada sedikit perbezaan antara pengurusan mayat bujang dengan yang sudah berkahwin. Jika bujang, sejenis alat dikenali sebagai kerunci berbentuk mahkota di pintu rumah si mati. Ia untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa ada orang bujang yang mati di situ. Ia berbentuk seperti hati yang disilang panah. Ada juga berbentuk mahkota. Tidak cukup dengan itu, sebelum diarak keluar rumah ke tanah perkuburan, semua hadirin diberikan sedikit wain dan dijulang tinggi seperti ketika majlis perkahwinan. Si mati lelaki dipakaikan pakaian lengkap dengan tali leher, manakala wanita pula dengan gaun pengantin.
“Ketika berlaku sesuatu kematian dalam kampong ini, loceng besar akan dibunyikan untuk memaklumkan kepada penduduk di situ mengenai. Dulu, sebelum ada loceng itu, rim lori digunakan. Hayunan loceng untuk kematian perlahan sebagai tanda ada berita sedih.”
“Loceng akan dibunyikan sekali lagi ketika mayat mahu dibawa keluar dari rumah. Jika bujang, orang yang mengusung mayat itu terdiri dalam kalangan bujang, seperti pengapit. Mayat ditanam, tetapi boleh dibakar jika pernah diminta si mati atau kemahuan keluarganya,” katanya.
Uniknya, kebetulan ketika tinjauan BH di Kampung Portugis, ada kematian membabitkan lelaki bujang. Dapat dilihat betapa kunjungan orang ramai tidak pernah reda dan pada tiap malam selama tiga malam, penuh sesak halaman rumah si mati dengan sanak saudara dan sahabat handai.
Ada yang menghabiskan masa menjaga si mati sehingga pagi dengan bermain ‘ceki’, sejenis permainan seperti mahjung dan daun terup, sekadar untuk mengisi masa lapang. Makanan pula tidak henti-henti dimasak untuk memastikan ada hidangan kepada semua. Jelas, kaedah mereka memberi penghormatan terakhir kepada si mati seakan-akan meraikan pengantin baru.
SUMBER : LAMAN SERI
No comments:
Post a Comment