Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengingatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) supaya mempersiapkan mental dan fizikal mereka pada tahap yang tinggi.
Katanya, anggota FRU juga mesti menjaga gerak-geri, nama baik pasukan serta senantiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam setiap tugasan kerana ada pihak yang tidak berpuas hati serta mempunyai agenda tersembunyi seringkali sengaja mencari kesalahan untuk mencalarkan imej pasukan.
“FRU juga perlu menggunakan pendekatan 2F iaitu ‘Friendly and Flexibility’ yang mana pendekatan ini bukan bermakna kita harus mengalah tetapi lebih kepada menyesuaikan diri dalam apa juga bentuk tugasan, dengan seboleh-bolehnya meminimumkan kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perjumpaan Bersama Warga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Pangkalan FRU Cheras di sini.
Ismail berkata, beliau percaya pada tahap kemampuan dan kesiapsiagaan FRU dalam menangani satu lagi ujian yang akan dihadapai pasukan dalam perhimpunan yang dinamakan sebagai 901.
Menurutnya, keyakinan itu adalah atas faktor pengalaman lepas, pendedahan modul latihan yang lebih mantap berserta panduan dan bimbingan pucuk pimpinan (pasukan) yang telah diperoleh.
Malah, katanya, FRU yang memiliki kekuatan 2,400 pegawai dan anggota di seluruh negara berjaya menangani lebih 90 insiden melibatkan ketenteraman awam sejak Disember 1955 dengan cemerlang.
Mengulas isu berkaitan, katanya, polis akan menggunakan pendekatan proaktif bagi menghadapi kemungkinan perhimpunan haram yang dirancang diadakan Isnin ini.
Jelasnya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh untuk menemui penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901. (MyNewsHub)
No comments:
Post a Comment