Wednesday 9 November 2011

UMNO TIDAK PERNAH SEKAT AHLI UNTUK BERSUARA



KUALA LUMPUR 8 Nov. – UMNO tidak pernah menyekat mana-mana pemimpinnya di semua peringkat daripada menyuarakan pendapat tentang isu melibatkan parti kerana UMNO mengamalkan prinsip demokrasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, setiap hari beliau membaca dalam akhbar banyak pendapat daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang mengulas mengenai pelbagai isu yang membuktikan tiada sekatan daripada parti.

"Tiada satu pun pekeliling yang dikeluarkan kepada mana-mana pemimpin Umno baik di peringkat negeri, bahagian atau individu mengatakan mulut mereka terkunci dan tertutup sepanjang masa. Kadang-kadang mereka bercakap lebih daripada yang sepatutnya pun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog terbuka dengan 50 graduan yang terpilih untuk menyertai program Teach For Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini yang mendakwa kononnya dalam UMNO sudah tiada peluang untuk bersuara, dan jika mahu bercakap pada perhimpunan agung pun, individu itu perlu mendapatkan kelulusan pihak atasan.

Pada 22 Julai lepas, Tengku Razaleigh melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan beliau sebagai presidennya, sebagai “platform untuk menyuarakan pendapat secara lebih meluas”. - Bernama

No comments: