Thursday, 17 November 2011

KAJIAN UIA : POPULARITI PM MANTAP, 3 PEMIMPIN PR TERMASUK ANWAR, SUSUT



Populariti Datuk Seri Najib Razak meningkat dengan mantap sejak 2009 tetapi yang sebaliknya berlaku ke atas tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat, demikian lapor kajian Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Kadar populariti berkenaan Najib itu berbeza daripada hasil kajian dikeluarkan oleh Merdeka Center baru-baru ini.

Kajian Merdeka Center diterbitkan akhir Ogos lalu menunjukkan aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November tahun lalu, 67 peratus pada Mac lalu dan seterusnya ke paras 65 peratus pada bulan Mei dan terbaru 59 peratus.
Selain Najib, kajian terhadap populariti lima personaliti kepimpinan di Malaysia yang dijalankan oleh Unit Kajian Media dan Pilihan Raya UIA menunjukkan (gambar) bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003.

Kajian UIA itu menambah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, menyaksikan populariti mereka merosot.
Prof Datuk Syed Arabi Idid mengetuai kajian itu dari Mac 2008 hingga Julai 2011 bersama penyelaras penyelidikan, Azrul Hisyam Wakichan.
Satu sampel rambang purata 1,500 responden terdiri pengundi Melayu, Cina dan India dari seluruh negara ditanya mengenai kepuasan mereka terhadap kualiti kepimpinan kelima-lima pemimpin itu.
Kajian itu menunjukkan peningkatan dalam populariti Najib, yang menjadi perdana menteri pada April 2009, adalah hasil usaha berterusan beliau untuk mendekati hati rakyat dan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cerah.
“Kajian ini dengan jelas menunjukkan responden Melayu, Cina dan India kini menerima Datuk Seri Najib,” katanya dipetik Bernama.
Pada Oktober 2008, 35 peratus responden Melayu, 33 peratus Cina dan 41 peratus India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59 peratus, 45 peratus dan 62 peratus.
“Hakikatnya rakyat kini lebih bersedia menerima Datuk Seri Najib sebagai pemimpin mereka,” kata Syed Arabi yang menjalankan kajian mengenai populariti pemimpin-pemimpin sejak 1989.
Mengenai punca kemerosotan populariti Anwar, Nik Aziz dan Lim, beliau berkata, ia banyak berpunca kerana isu-isu semasa dan kegagalan untuk mencapai kata sepakat dalam banyak hal.
Azrul Hisyam yang menyelaras kajian itu berkata, kajian yang sama mendapati rakyat Malaysia masih memandang tinggi Dr Mahathir dan segala sumbangannya.
Purata 74 peratus daripada responden dalam soal selidik itu menunjukkan mereka menyanjungi Dr Mahathir sepanjang kajian empat tahun itu.
Azrul Hisyam berkata, rakyat Malaysia melihat Dr Mahathir sebagai pemimpin yang telah membuktikan kebolehannya dan masih lantang bersuara.
“Mereka melihat beliau sebagai pemimpin teladan,” kata beliau dipetik agensi berita nasional itu.
SUMBER : PERAK TODAY

No comments: