Bukan selebriti pertama yang menceburkan diri dalam dunia politik, vokalis kumpulan Estranged iaitu Rich mengakui sudah bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dalam masa tiga tahun lagi.
Menurut Rich dia membuat keputusan untuk bertanding menjadi calon wakil rakyat Tambunan, Sabah selepas dua tahun melakukan kerja amal bersama Estranged di kawasan perkampungan daerah itu.
“Buat masa sekarang, saya hanya umum mengenai keputusan saya untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, bukan yang terkini. Saya akan bertanding untuk calon wakil rakyat Tambunan,” katanya.
Bagaimanapun, Rich berkata masih belum memikirkan untuk menyertai parti yang mana tersedia. Ujarnya, dia sering melakukan kerja amal di Tambunan sejak 2018 dan merasakan sudah bersedia untuk bertanding sebagai wakil rakyat.
“Saya ada visi sepanjang tiga tahun sebelum pilihan raya seterusnya dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk penduduk kampung terutamanya yang berdepan dengan masalah air, elektrik dan internet,”katanya.
Dalam pada itu, Rich menegaskan meskipun selepas ini dia akan sibuk dengan dunia politik namun tidak akan meninggalkan kerjaya seni sebagai penyanyi. Malah, ahli kumpulan Estranged yang lain juga turut membantunya.
“Mesti akan ada pihak yang fikir dunia muzik dan politik berlainan tapi saya nak buat sesuatu yang unik dan berbeza dimana dua bidang ini boleh berjalan seiring.
“Saya dan rakan-rakan akan pergi ke kawasan perkampungan untuk berkenalan dengan penduduk di sana. Saya tak nak ada pihak kata orang undi saya sebab artis. Saya nak orang kenal bukan setakat sebagai artis tapi boleh buat kerja,” katanya.
Sebelum ini, Rich memuat naik poster di Instagram miliknya yang memberitahu dia sudah memulakan kempen untuk menjadi calon wakil rakyat di negeri Sabah.
Kredit : ROTIKAYA
No comments:
Post a Comment