Monday 11 March 2019

KETAKUTAN DAP TERHADAP IKATAN POLITIK UMNO-PAS


Dalam banyak komen tentang hubungan rasmi UMNO-PAS, nampaknya komen dan kritikan DAP lah yang paling dahsyat. Setidak-tidaknya ada tiga komen besar yang keluar dari benak hati pemimpin-pemimpin utama DAP.


Pertama, kenyataan Lim Guan Eng yang menyatakan di awalnya  bahawa persefahaman PAS dan UMNO ini samalah seperti mengisytihar perang terhadap bukan- Melayu di Malaysia.

Kedua, kenyataan Liew Chin Tong, pakar strategi DAP, yang menganggap hubungan UMNO-PAS ini adalah “scorched-earth strategy” ( strategy pemusnahan bumi).

Ketiga, kenyataan Nga Kor Ming, Pengerusi DAP Perak dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat  bahawa hubungan PAS-UMNO adalah umpama menjadikan Malaysia berada dalam era Taliban seperti di Afghanistan.

Ini berbanding dengan kenyataan Tun Mahathir dan DS Anwar yang lebih cermat iaitu mereka mengakui ada kesannya bila UMNO dan PAS bekerjasama. Malah Anwar sarankan ia perlukan program sosio ekonomi untuk mengembalikan semula keyakinan orang Melayu kepada PH.

DAP jelas nampak sangat kasar ulasannya terhadap penyatuan usaha  politik PAS-UMNO ini.
Kenyataan yang tidak berlapik oleh pemimpin-prmimpin DAP menyebabkan politik negara semakin panas. 

Lanjutan dari kenyataan-kenyataan itu, siri laporan-laporan polis dibuat. Sejauhmana tindakan terhadap mereka hanya akan ditentukan oleh masa. Rakyat akan lihat sejauhmana kerajaan “the rule of laws” ini akan bertindak.

DAP bersungguh-sungguh untuk melaksanakan cognitive warfare agar the illusory truth effect masuk dalam kepala rakyat Malaysia dan percaya dengan naratif mereka. 

Perang saraf kognitif (cognitive warfare) adalah kaedah bagaimana mereka menggunakan sumber pengetahuan dan mencipta gelaran dan panggilan secara bertubi-tubi dan diulang-ulang supaya akhirnya orang akan percaya dengan apa yang mereka wujudkan. Ini yang disebut sebagai kesan kebenaran secara ilusi (the illusory truth effect). Meskipun apa yang dituduh dan diciptakan itu hanya ilusi dari khayalan pembohongan, tetapi apabila hari-hari disebut akhirnya akan mempunyai kesan besar dalam fikiran rakyat. Contoh yang paling ketara ialah bagaimana Lim Kit Siang mengulang-ulang perkataan kleptokrasi sehingga menjadi jajaan bahan kempen politik PH hingga ke hari ini. 

Dengan asakan dahsyat yang terbaru terhadap usaha UMNO dan PAS ini memperjelaskan bahawa DAP sangat gusar dokongan orang Melayu sebanyak 75 peratus kepada kedua-dua parti terbesar Melayu ini semasa PRU 14 pasti akan menggugat kedudukan mereka. 

Dalam kerajaan PH sekarang DAP adalah pencatur kepada keseimbangan dan kedudukan kuasa. Pulau Pinang sudahpun ditadbir oleh DAP secara langsung. Bagi kerajaan-kerajaan negeri seperti Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, jelas DAP mempunyai pengaruh yang sangat besar. 

Sebagai contoh di Perak, dengan jumlah 18 kerusi yang mereka miliki, dan parti PBBM yang diwakili oleh MB Peja hanya 1 kerusi sahaja jelas menunjukkan bagaimana berkuasanya mereka. Bayangkan 40 kerusi majoriti Melayu dari jumlah 59 kerusi DUN Perak tentunya akan menghancurkan kuasa DAP, apabila UMNO dan PAS bersatu. 

Bayangkanlah pula apabila 40 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PKR, PBBM dan PAN di seluruh negara dengan jumlah undi yang sangat kecil, apabila berlakunya kesatuan usaha politik UMNO dan PAS pasti memberi kesan besar.

Cara pemimpin DAP berhujah jelas menunjukkan kotak fikir perkauman yang berpintal dalam kepala mereka. Ini kerana selama ini DAP asyik menyalahkan Melayu UMNO yang dituduh bermain politik perkauman. Dan mensasarkan PAS sebagai pemain politik agama yang ekstrim dan konservatif. Justeru dengan hujah dan naratif inilah dimainkan berterusan sehingga menyebabkan orang terlupa bahawa DAP sebagai pembawa faham perkauman.

Sementara itu, Dr Micheal Jayakumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bekas Ahli Parlimen Sg Siput mengatakan bahawa persahabatan UMNO-PAS adalah sesuatu yang perlu digeruni kerana kedua-duanya mewakili aliran konservatif Islam. Manakala beliau begitu senang dengan aliran Islam yang dibawa oleh Dr Mujahid dan Dr Zul.

Malah dalam tulisan Howard Lee , Ketua Pemuda DAP dan ahli exco kerajaan negeri Perak dalam Mkini (10.3.2019) begitu berani sekali menggesa UMNO dan PAS bertaubat. Seolah-olah Howard Lee sudah boleh menjatuhkan fatwa dan hukum akan garis kemungkaran dan makruf;siapa yang akan masuk neraka, dan siapa yang akan masuk syurga.

Apa yang dapat kita lihat betapa angkuhnya bila DAP yang mahu menentukan naratif Islam dan Melayu untuk ummat ini. Mereka mahu menggunakan kayu ukur sendiri tentang naratif politik Melayu dan Islam.

PAS dilihat suci dan progressif hanya sekiranya PAS memilih untuk terus menjadi rakan politik DAP. Masihkah kita ingat bagaimana DAP menukar naratifnya menjadikan PAS rakan suci ketika berada dalam Pakatan Rakyat. Tetapi sebaik saja PAS keluar daripada dominasi DAP dalam PR, maka wajah PAS terus dilakarkan sebagai wajah konservatif dan Taliban.

Apa yang boleh kita rumuskan di sini ialah mereka mahu melihat dalam kelompok ummat sentiasa tidak ada kesatuan fikrah bagi membolehkan DAP licik menyusun strateginya.

Apabila pakar strategi DAP Liew Chin Tong mulai menggunakan istilah ilmu strategi, menjelaskan lagi bagaimana DAP bergerak dalam kerangka strategi yang sentiasa disusun. Bermakna serangan terhadap UMNO dan PAS ini juga adalah serangan berstrategi bagi menewaskan dan melemahkan UMNO dan PAS.

Kesimpulannya, bila bertalu-talu DAP menyerang kesatuan usaha politik UMNO dan PAS, jelas sekali akan ketakutan DAP amat sangat terhadap natijah yang pasti mengubah lanskap politik tanahair. 

DAP perlu menerima hakikat bahawa dalam persekitaran demokrasi, apa-apa ikatan pun boleh terjadi. Samalah dengan ikatan dua parti yang paling keterasingan dalam sejarah politik tanahair iaitu PAS yang membawa misi Islam dan DAP yang membawa misi sekular, telah membina ikatan mereka salam PR. 

Jadi apa yang nak dihairankan apabila dua parti terbesar ummat Melayu-Islam membina kesatuan ikatan politik bagi menjaga dan memelihara maslahah ummat dalam negara Malaysia yang tercinta ini?

Apatah lagi kedua-dua UMNO dan PAS adalah dari ikatan aqidah dan ukhuwwah serta anyaman kebersamaan identiti yang dibentuk oleh alam keMelayuan dan keIslaman mereka.

Jadi kenapa DAP jadi terlalu panik? Kenapa perlu meniup api perkauman dan Islamophobia? Apakah langkah UMNO dan PAS memusnahkan agenda besar DAP?

Sekian
11.3.2019

No comments: