Friday 18 November 2016

AWAS !! TUMPAHAN SUSU GETAH BERCAMPUR CECAIR AMMONIA


PADANG BESAR : Sebuah kontena diangkut kren di tapak penyimpanan kontena di Padang Besar di sini, terjatuh 9.30 malam semalam, mengakibatkan 22 tan metrik susu getah bercampur cecair ammonia tumpah sebelum mengalir ke parit berhampiran lokasi.



Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Negeri Perlis Datuk Mat Rawi Kassim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi Khaw Hock Kong turut melawat tempat kejadian.
Mat Rawi berkata, cecair ammonia itu digunakan supaya getah tidak beku dengan cepat kerana getah berkenaan akan dieksport ke Iran melalui Pelabuhan Pulau Pinang.
“Pagi ini, saya minta pihak berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk mengambil tindakan segera menghalang laluan latex ini ke sungai seterusnya ke Empangan Timah Tasoh kerana jika sudah masuk, ia agak berbahaya kepada pengguna.


“Malah pihak JPS sudah menutup laluan air ke empangan di Sungai Rhua bagi memastikan tidak berlaku pencemaran air,” katanya.
Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Rizani Che Ismail berkata, pihaknya serta bomba dan penyelamat hanya dimaklumkan berkaitan kejadian, 12.30 tengah malam tadi.




“Kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan namun kami tetap memantau keadaan semasa kerana dibimbangi tumpahan itu mengalir hingga ke Empangan Timah Tasoh yang terletak 10 kilometer dari lokasi.
“Kontena terjatuh apabila keempat-empat kunci penjuru atau 'lock corner' yang berada di setiap penjuru kontena terbabit patah kerana sudah berkarat.
“Akibatnya, muatan susu getah serta cecair ammonia dalam kontena itu pecah dan mengalir keluar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Harian Metro difahamkan, kontena itu terjatuh daripada ketinggian kira-kira 10 meter.
Rizani berkata, tapak penyimpanan kontena itu terletak kira-kira 500 meter dari Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Padang Besar di pintu Sempadan Malaysia-Thailand.
Sehubungan itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar dipanggil bagi kerja kawalan dan pembersihan.
“Operasi pembersihan bagi meneutralkan air masih dibuat bagi mencegah kesan sampingan,” katanya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis berkata, pemantauan masih dilakukan kerana pihaknya mendapat maklumat bahawa bau tumpahan berkenaan dikesan di parit kawasan perumahan seperti Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kampung Melayu Padang Besar, Pejabat Jabatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Rizab Kolam Takungan Banjir Padang Besar di Sungai Rhua, Padang Besar.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati aliran terbabit sudah mengalir ke Rizab Kolam Takungan Banjir Padang Besar di Sungai Rhua, Padang Besar yang terletak tiga kilometer dari lokasi.

TUMPAHAN BAHAN KIMIA AMMONIA
Tarikh : 18.11.2016
Alamat : Kawasan Perindustrian, Padang Besar, Perlis
Terima Panggilan : 0026:45
Balai Terlibat : BBP Padang Besar
Jentera Terlibat : 1 FRT,
Pegawai JBPM : 5 Pegawai

Perihal Operasi : 
Insiden tumpahan High Ammonia Latex 60% DRC kuantiti 22 tan berkeluasan 80 x 50 meter persegi. Melibatkan Syarikat Multi Modal yang dilaporkan sendiri oleh pekerja syarikat terbabit.    

No comments: