Sunday 8 May 2016

PERAK BATAL KARNIVAL SUKAN DAN LARIAN GANTI DENGAN TAHLIL


Larian Bendera UMNO di Perak yang sepatutnya bermula di Parit Buntar hari ini dibatal dan digantikan dengan majlis tahlil berikutan nahas helikopter AS350 yang melibatkan enam penumpang termasuk pemimpin UMNO.

Setiausaha Kerja UMNO Perak Mohd Salleh Mat Disa berkata walaupun segala perancangan dan persiapan telah dibuat, namun pihaknya akur dengan keputusan ibu pejabat sebagai menghormati perasaan anggota keluarga yang terlibat.
“Selama sebulan kami fokus mengenai perkara ini, kami juga telah mengedar sebanyak 4,800 baju T untuk dipakai anggota UMNO dari semua 24 bahagian di Perak.
“Sepatutnya bendera larian dijangka diterima petang esok (petang ini) dan bermalam di Parit Buntar tapi kami tukarkan dengan majlis tahlil pada sebelah malam di Masjid Parit Buntar,” katanya.
Majlis tahlil juga dijangka dibuat di masjid atau surau di beberapa kawasan bahagian antaranya Taiping, Bukit Gantang, Ipoh, Tanjung Malim dan Kampar, katanya.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan Karnival Himpunan Hari UMNO sempena ulang tahun ke-70 parti itu yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada 14 Mei ini dibatalkan.
Tengku Adnan berkata pembatalan itu termasuk acara sukan UMNO dan larian bendera UMNO yang kini berlangsung di seluruh negara, namun sambutan ulang tahun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11 Mei diteruskan secara sederhana.
Pada Khamis, sebuah helikopter jenis Eurocopter AS350 terhempas ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching, Sarawak dan turut mengorbankan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.
Selain Noriah, turut menaiki helikopter itu ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Tiga lagi yang menaiki pesawat malang itu ialah Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

No comments: