Wednesday 20 January 2016

SIAPA KATA MEMINUM AIR SEJUK BOLEH MEMUDARATKAN KESIHATAN ???


Ikuti kupasan mengenai isu yang telah viral mengatakan bahawa amalan meminum air sejuk mampu memudaratkan kesihatan badan. Kupasan dan jawapan isu ini dijawab oleh ‘Doktor Facebook’ yang popular di media sosial iaitu Dr. Abdul Rahman  Abdul Kadir yang juga merupakan Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Besar Melaka :


Ramai sahabat2 bertanya kepada saya tentang amalan meminum air sejuk (rujuk gambar). Apakah meminum air panas lebih baik dari air sejuk? Apakah air sejuk memudaratkan kesihatan?


Terdapat pelbagai petua dan pandangan tradisional yang tidak menggalakkan meminum air sejuk. Kononnya ia dikaitkan dengan pelbagai kemudaratan dan boleh melemahkan badan.

Dari kacamata perubatan moden, kemudaratan meminum air sejuk ini tidak ada bukti saintifik yang menyokongnya. Sama ada air panas/suam atau sejuk, apa yang paling utama adalah memastikan tubuh badan kita mempunyai kandungan hidrasi (air) yang mencukupi. Minumlah air secukupnya supaya badan kekal segar dengan kandungan air yang mencukupi.

Sebenarnya, tubuh badan kita telah diciptakan oleh Tuhan untuk memberitahu kita apabila kita memerlukan air. Malah badan kita sendiri mempunyai naluri yang akan memberitahu kita air dengan suhu apa yang kita perlukan.

Apabila kita berada di dalam cuaca yang panas naluri kita akan menghendaki meminum air yang sejuk dan dingin. Dan apabila kita demam dan panas, secara automatiknya kita telah diajar oleh orang2 tua untuk meminum air yang suam ataupun panas.

Saya kongsikan pandangan sains moden tentang amalan peminuman air sejuk atau panas pada ketika waktu2 tertentu. Semoga ia memberi manfaat kepada semua pembaca.

Air sejuk sebenarnya adalah minuman yang sihat dan mempunyai beberapa kelebihan pada tika masa tertentu seperti berikut:

A. Ketika bersenam atau bermain.

Selepas bersenam atau melakukan aktiviti fizikal yang lasak, badan akan membebaskan haba dan suhu teras badan akan meningkat. Kebiasaanya tubuh badan kita akan berpeluh bagi menurunkan suhu dan menyejukkan badan. Ini akan menyebabkan badan kita kehilangan banyak air dan juga garam2 tertentu. Meminum air sejuk pada waktu ini akan menggantikan air dalam badan dan juga membantu menyejukkan suhu badan lebih cepat. Kajian mendapati air sejuk lebih cepat diserap di dalam perut berbanding air pada suhu bilik. Kajian juga mendapati suhu teras badan ahli sukan dapat diturunkan 50% lebih cepat dan dapat dikekalkan pada paras yang lebih baik berbanding dengan meminum air suam (suhu bilik). Air sejuk adalah baik pada ketika ini.

B. Ketika cuaca panas.

Cuaca di negara khatulistiwa seperti kita biasanya adalah panas dan lembap sepanjang tahun. Kita juga sejak akhir2 ini sering dilanda fenomena seperti El Nino yang merupakan kepanasan melampau. Apabila suasana persekitaran kita panas, ia turut akan menyebabkan tubuh kita panas dan kehilangan air yang banyak. Pada cuaca panas, meminum air sejuk membantu menyejukkan suhu teras badan dan juga menggantikan air yang hilang lebih cepat seperti yang diterangkan sebelum ini. Namun apa yang lebih utama adalah meminum air pada kuantiti yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrisi badan.

C. Ketika Demam

Berbeza dengan pandangan tradisional yang melarang amalan meminum air yang sejuk ketika demam, perubatan moden mempunyai pandangan yang berbeza. Ketika demam, sungguhpun anda terasa sejuk sebenarnya suhu teras badan anda adalah sangat panas. Kaedah menurunkan suhu badan adalah dengan cara antaranya berpakaian ringkas dan duduk di bilik yang dingin. Ia berbeza dengan pandangan tradisional yang menyuruh kita membungkus badan dengan pakaian tebal.

Antara kaedah menurunkan suhu teras badan yang efektif adalah dengan meminum air yang sejuk. Ketika demam juga, badan kita akan mempunyai metabolisme yang tinggi dan ini akan menyebabkan kehilangan air yang banyak dari badan. Meminum air sejuk pada ketika ini akan juga membantu kita menggantikan air dalam badan. Minumlah air pada kuantiti yang banyak (melainkan anda mempunyai penyakit yang disuruh doktor supaya mengurangkan pengambilan air seperti sakit jantung, buah pinggang atau masalah kerosakan hati). Memerah sedikit lemon atau limau ke dalam air ini juga akan turut membantu kerana ia diperkaya dengan vitamin C. Jika tidak mahu meminum air sejuk sekalipun, anda boleh meminum air pada suhu bilik. Itu lebih baik daripada meminum air yang panas.

Amalan meminum minuman yang panas dan membungkus badan dengan pakaian tebal seperti amalan dulu-dulu sebenarnya akan menambahkan suhu teras badan anda dan boleh memudaratkan badan sebenarnya.

Note: Meminum air sejuk ini kadangkala bermasalah bagi orang yg mempunyai gigi sensitif. Jadi bagi golongan sedemikian, tidak perlu untuk anda memaksa diri anda meminum air sejuk. Sebaliknya anda boleh meminum air pada suhu bilik untuk ketiga2 situasi di atas.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pada akhirnya ia akan kembali kepada perkara utama iaitu pengambilan kuantiti air yang mencukupi dalam badan. Keperluan kuantiti air pada setiap orang adalah berlainan dan bergantung kepada cara hidup, pekerjaan dan saiz berat badan. Banyak orang yang berkata pengambilan air mestilah sekurang2nya 8-10 gelas sehari. Tetapi saya lebih suka memberitahu orang ramai bahawa pengambilan air anda adalah mencukupi apabila anda jarang terasa haus, membuang air kecil setiap 4-6 jam sekali dan juga air kencing anda berwarna putih dan jernih. Minumlah air (sejuk atau suam) asalkan kuantitinya mencukupi untuk menghidrasi anda.

No comments: