Sunday 6 December 2015

ALMARHUM TUNKU LAKSAMANA JOHOR SELAMAT DIMAKAMKAN... SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT KE ATAS ROHNYA...




Jenazah Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim selamat dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah pada pukul 3.20 petang. 





Almarhum disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010 atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini. 


Istiadat pemakaman Almarhum diadakan separuh istiadat kemangkatan diraja. Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah akibat kanser hati. 


Almarhum merupakan putera keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.    


Suasana pilu menyelubungi keluarga diraja Johor dan kesemua hadirin setibanya jenazah Almarhum di makam itu pada 1.50 tengah hari, yang sebelum itu diarak menggunakan pedati dengan diiringi Sultan Johor serta kedua-edua anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris.

 

Terdahulu, jenazah Almarhum diarak sepanjang tiga kilometer oleh 30 Askar Timbalan Setia Negeri Johor menggunakan pedati bermula dari Istana Besar melalui pintu gerbang masuk ke Jalan Ayer Molek terus ke makam diraja itu.

 

Sesampainya jenazah, Tunku Ismail dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman mengusung keranda jenazah bersama beberapa anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor kira-kira 50 meter ke makam. 


Hujan lebat yang bermula sebaik sahaja istiadat pemakaman Almarhum bermula namun tidak menghalang ratusan rakyat Johor yang berada di luar makam terus kekal dan tidak berganjak dari tempat masing-masing demi kasih dan sayang mereka untuk putera raja berjiwa rakyat itu. 


Semasa talkin dibacakan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut, Tunku Ismail yang duduk di kanan Sultan Ibrahim, kelihatan memegang tangan ayahandanya sambil menahan sebak. 



Sultan Johor dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah juga kelihatan sebak sepanjang istiadat pemakaman. 



Turut berkenan berangkat ke istiadat pemakaman dan menyiram air bunga di makam Tunku Laksamana Johor ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah. 



Beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut hadir di Istana Besar untuk memberi penghormatan terakhir kepada Tunku Abdul Jalil. -- BERNAMA

No comments: