Monday 2 November 2015

PUAK PAKATAN SEDANG MENUJU JALAN KEGELAPAN ???


Apabila kita dapat melihat cahaya yang menanti di penghujung terowong, ia seakan-akan memberi kita satu harapan. Semakin kita mendekatinya, semakin hampirlah kita dengan untuk meninggalkan kegelapan yang menyelubungi hidup. Tetapi, semakin dekat cahaya tersebut tidak juga kita sampai dan ianya kian malap. Adakah kita akan kehilangan sumber cahaya berkenaan?

Pakatan secara tiba-tiba telah menjadi semakin lemah. Saban hari bermacam-macam masalah timbul dalam Pakatan sehingga hubungan sesama anggota parti bagaikan retak menanti belah. Apakah yang telah terjadi? Keadaan menjadi begitu bercelaru sehinggakan sesetengah perkara yang terjadi juga tidak boleh diterima akal.

BR1M

Sewaktu pilihan raya yang lepas, anggota Manifesto dan Dasar Pakatan Rakyat Dr Dzulfefly Ahmad telah menyatakan bahawa BR1M tidak akan dilaksanakan sekiranya Pakatan memenangi PRU13. 

Pihak pembangkang telah mendakwa BR1M merupakan satu bentuk percubaan ‘memancing’ undi. Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan kadar BR1M setelah setahun dilaksanakan, Ahli Dewan Undangan Negeri Lau Weng San menyatakan tindakan itu tidak boleh diterima kerana ianya hanya akan menyebabkan kenaikan perbelanjaan yang tidak diperlukan. 

Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan lanjutan bantuan BR1M beserta dengan kenaikan kadar bantuannya di perbentangan bajet 2016, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyatakan kadar kenaikan bantuan berkenaan tidak mencukupi. 

Adakah Pakatan telah menerima hakikat bahawa BR1M jelas membantu rakyat semenjak diperkenalkan oleh kerajaan? Daripada dakwaan untuk ‘memancing’ undi kepada meminta dinaikan kadar bantuan, ternyata ianya merupakan dua pendirian yang berbeza.

ISU TOL

Seingat saya, pihak pembangkang tidak henti-henti mendesak pemansuhan tol diseluruh Negara. Apabila Najib mengumumkan pelan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang tidak akan dikenakan sebarang tol, Pakatan sekali lagi ‘bising’. Macam mana Lebuhraya Borneo boleh percuma? Kata mereka. 

Rafizi Ramli mendakwa Najib menunjukkan sikap ‘pilih kasih’ kepada Sabah dan Sarawak dengan tidak mengenakan kadar tol. Jadi, apa sebenarnya yang mereka inginkan? Kenakan tol atau tidak? Kedua-dua pilihan berkenaan ada saja salahnya pada Pakatan. SUKE, DASH dan EKVE ,merupakan 3 lebuhraya utama yang diluluskan oleh Kerajaan Pakatan. 

Walaupun menghadapi protes besar-besaran, keluhan dan suara rakyat hanya sekadar ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Dalam kes mengenai EKVE, Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia menyatakan pembinaan lebuhraya tersebut akan menyebabkan pencerobohan 2 hutan simpan di Ampang dan Ulu Gombak dan ini secara terang-terangan melanggar janji yang dibuat oleh kerajaan negeri. Lebih teruk lagi, tol-tol ini masih juga dikenakan bayaran. 

Pihak Pakatan membantah tindakan kerajaan mengenakan kadar tol tetapi mereka sendiri membina dan mengenakan kadar tol di kawasan mereka. Saya sangat tidak memahami logik yang digunakan oleh pihak Pakatan.

Apabila kenaikan kadar tol berlaku baru-baru ini, Rafizi menyatakan bahawa ia adalah satu langkah yang salah dan hanya akan membebankan rakyat. Mereka seboleh-bolehnya ingin menuding kesalahan kepada kerajaan. 

Namun, apabila didedahkan bahawa terdapat beberapa Ahli Tertinggi Pakatan yang menjadi ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat yang bertanggungjawab dalam kenaikan kadar bayaran, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali pula bertindak untuk membela ahli-ahlinya dan menyatakan beliau telah mengeluarkan arahan agar kenaikan kadar tol itu dikaji semula. Sejak daripada kenyataan yang dikeluarkan itu, isu berkenaan menjadi ‘senyap’ dan tiada khabar mengenainya dilaporkan.

PENTADBIRAN NEGERI

Selepas PAS memutuskan kerjasamanya dengan pihak DAP, wakil PAS yang menganggotai badan pentadbiran negeri Pulau Pinang telah dipaksa untuk melepaskan jawatannya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Bagi sesiapa yang tidak ingin melepaskan jawatan mereka akan dipecat. Walau bagaimanapun, apabila Azmin dan Dr. Wan Azizah berkata bahawa PKR akan terus bekerjasama dengan PAS di Selangor, pihak DAP berdiam diri dan mengeluarkan kenyataan bahawa PAS masih diperlukan bagi menunjukkan tiada apa yang berlaku dalam Pakatan. 

Dengan DAP bertindak sebagai pemerhati adalah menjadi satu keajaiban apabila Azmin boleh meluluskan pembinaan lebuhraya tanpa memaklumkan terlebih dahulu dengan ahli-ahli PKR yang lain. Ketika Rafizi mahu Azmin menjelaskan keputusan dan sebab mengapa ahli-ahli yang lain gagal untuk diberitahu, muncul mantan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyokong tindakan Azmin dan menyatakan bahawa Azmin tidak mempunyai keperluan untuk memberitahu hal berkenaan kepada ahli-ahli lain. 

Hal yang sama pernah terjadi apabila Azmin menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tanpa meminta persetujuan parti komponen yang lain yang menyaksikan wakil-wakil dari DAP bertindak menghentam beliau.

RUMAH IBADAT

Dulu, ketika kerajaan Barisan Nasional bertindak meruntuhkan rumah ibadat , pihak pembangkang bertindak membantah secara mati-matian malah, memprotes. Apabila Barisan Nasional menghentikan aktiviti berkenaan, Pakatan pula telah mengambil alih dengan melakukan aktiviti merobohkan kuil-kuil. Apabila ditanya, mereka menjelaskan amalan agama yang diamalkan adalah salah.

CLARE REWCASTLE BROWN

Berikutan penangkapan bekas pekerja Petro Saudi, Xavier Andre Justo di Thailand, Tony Pua telah mengejutkan seluruh Negara apabila mengaku telah bertemu ketua editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown beberapa kali tanpa sebab yang diketahui. Tony juga mengaku memperkenalkan Clare kepada wakil The Edge Media Publication Group, Datuk Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat. Selebihnya sudahpun diketahui umum.

Pembongkaran isi perbualan Whatapps dalam telefon Justo mendedahkan hubungan rapat Clare dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tony dan Tun M. Dalam salah satu perbualan berkenaan, Ho telah bertanya kepada Clare mengenai artikelnya yang dilihat seolah-olah mahu menjatuhkan Najib, dimana telah dibalas oleh Clare “Saya yang menulis berita ini, bukan anda. 
Penuhi komitmen anda dan saya akan pergi tanpa memberitahu sesiapa.” Pihak berkuasa juga mendakwa terdapat beberapa pesanan ringkas dari Clare yang menyatakan dia mendapatkan maklumat melalui ‘orang Anwar’ dan menggunakan Tun M untuk maklumat-maklumat yang lain.

Tony menafikan sekerasnya dakwaan beliau menjadi sebahagian daripada konspirasi menjatuhkan Najib. Tetapi, dari bukti perbualan yang telah diketahui umum jika ia bukan konspirasi, apakah ia?

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan pihak Pembangkang sering ‘cakap tak serupa bukin’. Apabila ditanya, penjelasan yang diberikan sangat tidak munasabah.

Dengan keadaan sekarang yang diumpamakan seperti cahaya yang semakin malap, saya hanya mampu berharap tiada perkara yang lebih buruk akan berlaku kerana peluang untuk Pakatan mengambil alih kuasa di Malaysia semakin hari semakin tipis.

Logik Pakatan
Oleh : Karamjit Singh

Gambar image google sekadar hiasan.

No comments: