Thursday 8 October 2015

MAYAT SEORANG DARIPADA 7 MURID ORANG ASLI YANG HILANG OGOS LALU TELAH DIKENALPASTI


GUA MUSANG 8 Okt - Siasatan awal polis mendapati mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di Pos Tohoi malam tadi adalah Sasa Sobrie, 8, iaitu seorang daripada tujuh murid Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat dan pengecaman yang dilakukan ahli keluarga mangsa. 

"Namun ini bukan keputusan muktamad kerana perlu melalui ujian DNA unuk pengesahan lanjut," katanya.

Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui di Sungai Perias kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi jam 7 malam tadi oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat. 

Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membawa mayat yang tersangkut itu ke tebing sungai sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. 

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran. 

Selain Sasa, pelajar terbabit ialah Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yaacob, 10; Ika Ayel, 9; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7 kesemuanya berasal dari Pos Tohoi.

No comments: