Saturday 24 October 2015

JEREBU : JOKOWI GAGAL BERTINDAK, BIARKAN RAKYAT TERUS MENDERITA....


HARI ini 24 Oktober 2015, genap tempoh dua minggu yang dihasratkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular disebut Jokowi kononnya masalah jerebu akan berakhir setelah lebih dua bulan merebak teruk.

Malangnya, ini bukan sahaja tidak berlaku, bahkan mustahil menjadi kenyataan dalam masa terdekat melihatkan senario kebelakangan ini tidak mungkin selesai hanya dengan sekadar harapan impian dan janji manis mulut.
Ketidakcekapan Jakarta mengurus bencana alam tersebut bukan sahaja dikritik teruk oleh negara jirannya yang perit menanggung ‘asap kabut’ tahunan iaitu Malaysia dan Singapura, malah rakyatnya sendiri sudah hilang sabar.
Terbaharu, ramai penduduk di wilayah Kalimantan; yang paling azab terima jerebu hingga udara toksik berwarna kuning pekat menjadi viral di seluruh dunia, mula meluahkan kemarahan kerana berasa seperti dianaktirikan.
Apa tidaknya, semua agensi pengurusan bencana kerajaan negara itu lebih fokus kepada pulau Sumatera termasuk wilayah Riau yang agak dekat dengan ibu kota Jakarta tetapi membiarkan sahaja Kalimantan sesak nafas ‘berasap’.
Mungkin geram dengan sikap pemerintah pusat, penduduk melancarkan kempenGerakan Seribu Koin bagi ‘menyindir’ Jakarta kononnya mereka akan menyewa pesawat bomba udara bagi memadam api di Kalimantan.
palang5.jpg.transformed
Dengan bacaan indeks standard pencemaran udara dikeluarkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik cecah rekod dunia iaitu 3,000 di Palangkaraya, ibu kota wilayah Kalimantan Tengah, memang ‘gila’ penduduknya.
Ironi, Jokowi dilaporkan kurang memberi reaksi dan setelah dikritik, baharulah beliau pada Jumaat mengarahkan semua sekolah di kawasan terjejas akibat jerebu ‘bercuti’ selama sebulan apabila keadaan sudah semakin runcing.
Bayangkanlah ketika Malaysia dan Singapura beberapa kali tutup sesi persekolahan, murid-murid di Kalimantan dan Sumatera sebelum ini masih terpaksa ‘datang’ ke sekolah memakai topeng penutup waima dalam kelas sendiri.
Entahlah Jokowi tidak tahu atau terlepas pandang, kanak-kanak kecil ramai menjadi mangsa jerebu kerana paru-paru mereka bukan macam orang dewasa dan apabila lebih 10 kes maut dilaporkan, baharulah beliau bertindak.
Itupun sehari setelah genap setahun dilantik menjadi presiden ketujuh Indonesia menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono pada 20 Oktober lalu, Jokowi akhirnya mengarahkan pemindahan penduduk dari kawasan jerebu.
Barang kali sudah sampai ke peringkat darurat, beliau dilaporkan mengerahkan kapal perang Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut memindahkan mangsa ke tempat selamat tetapi persoalannya ke mana destinasinya?
Sekali lagi tampak bekas peminat band heavy rock Metallica itu tiada perancangan strategik dan segala-galanya dibuat begitu kelam kabut secara ‘tangkap muat’ atau pun ad hoc selepas keadaan jerebu menjadi semakin buruk.
Sehingga artikel ini ditulis, Jokowi mungkin berasa malu kerana tempoh dua minggu sudah berakhir tetapi beliau tidak memberi sebarang kenyataan rasmi dan secara kebetulan neneknya pula meninggal dunia pada 23 Oktober.
Dalam suasana berkabung sehingga tujuh hari lamanya, Jokowi ‘terselamat’ buat masa ini namun, beliau sekali lagi mencetuskan konroversi apabila bakal melakukan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat (AS) bermula Ahad ini.
Banyak pihak kritik program selama empat hari itu waima Presiden Barack Obama sendiri dilaporkan tiada acara khusus bagi meraikan Jokowi dalam majlis jamuan di White House sebagai mana lazim untuk ketua negara asing.
Bukan itu sahaja, pemimpin AS tidak akan beri sebarang kenyataan bersama di Washington DC sekali gus maksud tersirat, hubungan Jakarta bukan penting meskipun Obama pernah tinggal di ibu kota Indonesia masa kecil dulu.
Tidak hairanlah, ramai kesal dengan sikap Jokowi kerana cuba mengelak berdepan dengan kemarahan rakyatnya dan selamba masih mahu pergi ke AS yang sebenarnya kurang penting selain boleh ditunda pada waktu lain.
Hakikatnya, walaupun Jokowi ada baki empat tahun sebelum penggal pemerintahannya berakhir, beliau berjaya membuktikan teori sains politik bahawa pemimpin popular di mata kasar bukanlah yang terbaik untuk rakyatnya.
Indonesia pernah diperintah Megawati Sukarnoputri; yang satu ‘parti’ dengan Jokowi, sebagai wanita pertama menjadi presiden kerana populariti dirinya, namun beliau gagal memberi kemakmuran kepada warganya sendiri.
Sebaliknya sejarah mendedahkan Susilo atau mesra disebut SBY memerintah Indonesia selama 10 tahun tanpa masalah besar, meskipun bekas jeneral tentera itu tidak popular waima sering difitnah musuh-musuh politiknya.
Jokowi patut malu dengan SBY sehinggakan ada berkata, jika bukan kerana perlembagaan Indonesia melarang penyandang berkhidmat lebih dua penggal, jangan ‘mimpilah’ Jokowi berjaya dipilih sebagai presiden baharu! – Mynewshub.cc

No comments: