Sunday 6 September 2015

KEHILANGAN ANTHONY KEVIN MORAIS : NOMBOR CASIS KERETA TERBAKAR SENGAJA DIHAPUSKAN


HUTAN MELINTANG : Hasil siasatan awal polis mendapati berlakunya unsur jenayah terancang dalam kes sebuah kereta yang ditemui terbakar di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, di sini, kira- kira jam 10 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis gagal mengesan nombor casis pada kereta berkenaan kerana dipercayai sudah dihapuskan dan menunggu laporan kimia untuk mengetahui jenis kenderaan itu. 


Katanya, tiada mangsa yang ditemui di dalam kereta berkenaan dan terlalu awal untuk polis membuat pengesahan kaitan kebakaran kereta itu dengan kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang dilaporkan hilang sejak kelmarin. 

"Kita akan menyiasat penemuan kereta terbabit manakala Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul akan menyiasat kes kehilangan individu berkenaan. 

"Setakat ini kita menyiasat kes mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api kerana tidak menemui mangsa di dalam mahupun sekitar kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media di Jeti Ladang Sungai Bernam, di sini, sebentar tadi. 

'Kereta masih berasap ketika dijumpai' - Saksi

Seorang saksi yang menjumpai kereta terbakar di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini berkata kenderaan tersebut masih lagi berasap ketika beliau menemuinya awal pagi Sabtu.

Penduduk kampung Nasrowi Maslah, 45, yang pada ketika itu dalam perjalanan untuk minum pagi bersama rakannya berkata beliau menjumpai kenderaan tersebut sekitar 7 pagi dan pantas mengambil dua keping gambar sebelum merujuknya kepada pihak berkuasa.

"Kereta itu masih berasap semasa saya jumpa dan saya ambil gambar takut tiada orang lain di sekitar kawasan tersebut, tapi memang ia hangus teruk semasa saya jumpa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sungai Samak, di sini pada petang Ahad.

No comments: